Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan

Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan
Sesungguhnya Ulama' itu Pewaris Nabi

Friday 28 December 2012

TEMPOH PERJALANAN YANG MEMBENARKAN SEMBAHYANG DIQASARKAN


Ulama berbeza  pendapat  tentang  status  musafir  bagi  seorang yang  dalam  perjalanannya  singgah  di  sebuah  daerah  untuk  beberapa hari.  Adakah  orang  tersebut  masih  diperbolehkan  mengqasarkan sembahyangnya  atau  tidak?  Ada  yang  menyatakan  jumlah  hari  yang tertentu  seperti  tiga  hari,  empat  hari,  sepuluh  hari  atau  lapan  belas  hari dan ada  pula  yang beranggapan apabila  seseorang  itu  bermusafir  maka dia  tetap  dibolehkan  mengqasarkan  sembahyang  sehinggalah  dia kembali ke tempat asalnya. Di Malaysia rata-ratanya berpendapat apabila seorang  musafir  singgah  di  suatu  tempat  maka  dia  hanya  boleh mengqasarkan  sembahyang  selama  3  hari  sahaja  dan  untuk  hari  yang keempat  dan  seterusnya  hendaklah  dia  menyempurnakan sembahyangnya.  Namun  begitu  pendapat  bahawa  tidak  ada  batasan tempoh  tertentu  adalah  lebih  menghampiri  kebenaran  disebabkan keumuman  Firman  Allah  Subhanahu  wa  Ta'aladalam  mengsyari’atkan sembahyang qasar ini.

Dan  apabila  kamu  musafir  di  muka  bumi,  maka  kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang.

Nabi  Muhammad  shallallahu  ‘alaihi  wasallam juga  tidak membatasi  jumlah  hari  yang  tertentu  yang  dibenarkan  mengqasar sembahyang.  Malah  kewujudan  hadis-hadis  dengan  jumlah  hari  yang berbeza menunjukkan tidak ada batasan jumlah hari yang tertentu dalam hal  ini.  Perbezaan  jumlah  hari  tersebut  hanyalah  menunjukkan keragaman  corak  musafir Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam .  Mari kita sama-sama melihat hadis-hadis tersebut.Dari  Jabir  bin  Abdillah,  dia  berkata:  “Rasulullah  shallallahu alaihi  wasallam  bermukim  di  Tabuk  selama  dua  puluh  hari  (dan baginda) mengqasarkan sembahyang.”

Diriwayatkan  dari  Imran  bin  Hushain,  dia  berkata:  “Aku berperang bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada saat penaklukan  kota  Mekah,  maka  baginda  bermukim  di  Mekah  selama lapan  belas  malam  dan  tidak  sembahyang  kecuali  sebanyak  dua rakaat (qasar).”

Yahya  bin  Abi  Ishak  berkata:  “Saya  mendengar  Anas  bin Malik berkata: “Kami  pernah musafir bersama Rasulullah  shallallahu alaihi  wasallam  dari  Madinah  ke  Mekah.  Selama  dalam  musafir  itu baginda  melakukan  sembahyang  secara  dua  rakaat  (qasar kecuali Maghrib)  sehingga  kembali  ke  Madinah.  Saya  bertanya:  “Berapa lamakah  anda  berada  di  kota  Makkah?”  Anas  menjawab:  “Kami menginap di Kota Makkah selama sepuluh hari.”

Jelas  dalam  hadis-hadis  di  atas  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi wasallamtidak membatasi  tempoh hari bagi mengqasarkan sembahyang. Malah  Syaikh  Sayyid Sabiq rahimahullah telah membawa beberapa atsar dari  para  sahabat  yang  menunjukkan  mereka  tetap  mengqasarkan sembahyang  walaupun  mereka  singgah  di  satu  daerah  dalam  jangka masa yang lama.

Miswar  bin  Makhramah  berkata:  “Kami  bermukim dengan Sa’ad di salah satu desa di wilayah Syam selama empat puluh  hari.  Selama  itu  Sa’ad  tetap  mengqasarkan  tetapi  kami mencukupkan.”  Berkata  Nafi’:  “Abdullah  bin  ‘Umar  bermukim di  Azerbaijan  enam  bulan  dan  tetap  bersembahyang  dua rakaat ketika tertahan oleh salji waktu memasukinya.” Hafash bin  Ubaidullah  mengatakan  bahawa  Anas  bin  Malik  bermukim di Syam dua tahun dan terus bersembahyang sebagai musafir. Dan  menurut  Anas,  para  sahabat  Nabi  shallallahu  ‘alaihi wasallam bermukim  di  Ramhurmuz  selama  tujuh  bulan  dan tetap mengqasarkan sembahyang, sedang menurut Hassan, dia bermukim dengan ‘Abd al-Rahman bin Samurah di Kabul selama dua tahun dan  ‘Abd al-Rahman  terus mengqasarkan tapi tidak menjamak.  Kemudian  Ibrahim  mengatakan  pula  bahawa  para sahabat  pernah  bermukim  di  Rayy  selama setahun  atau  lebih, dan  di  Sijistan  selama  dua  tahun  (dan  mereka  tetap mengqasarkan sembahyang.)

Demikianlah  amalan  para  sahabat  Nabi radhiallahu  'anhum . Mereka inilah manusia yang paling hampir dengan  Rasulullah shallallahu alaihi  wasallam malah  merekalah  golongan  yang  paling  tahu  tentang ajaran-ajaran  baginda.  Mereka  inilah  (iaitu  golongan  muhajirindan anshar)  juga  yang  telah  dipuji  oleh  Allah  'Azza  wa  Jalla sebagaimana Firman-Nya:

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan  memberi  bantuan)  dari  orang-orang  "Muhajirin"  dan  "Ansar", dan  orang-orang  yang  menurut  (jejak  langkah)  mereka  dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha  akan  Dia,  serta  Dia  menyediakan  untuk  mereka  Syurga-syurga  yang  mengalir di  bawahnya  beberapa  sungai,  mereka  kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

Bahkan  baginda  shallallahu  ‘alaihi  wasallam sendiri  telah  memuji para sahabatnya  radhiallahu 'anhum sebagai generasi terbaik umat ini dan baginda telah memberi satu jaminan sekiranya kita berada di atas manhaj para sahabat maka kita akan termasuk dalam golongan yang selamat.

Telah  bersabda  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam: Umatku  yang  terbaik  adalah umat dikurunku, kemudian umat yang sesudahnya dan umat yang sesudahnya lagi.

Dan  umatku  akan  berpecah   menjadi  tujuh  puluh  tiga golongan, semuanya akan masuk neraka kecuali satu. Para sahabat bertanya:  “Siapakah  golongan  itu  wahai  Rasulullah?”  Baginda bersabda:  “Mereka  yang  mengikuti  jalan  hidupku  dan  para sahabatku.”

Oleh  itu  wajarkah  untuk  kita  masih  ragu-ragu  dengan  sunnah Nabi  shallallahu  ‘alaihi  wasallam serta  amalan  para  sahabatnya radhiallahu 'anhum dalam permasalahan ini sehingga kita lebih utamakan amalan  yang  hanya  diwarisi  secara  turun  temurun  dari  nenek  moyang kita.

Seterusnya  kita  akan  melihat  ulasan  Syaikh  Sayyid  Sabiq rahimahullah berkaitan  dengan  tempoh  perjalanan  yang  dibolehkan mengqasarkan sembahyang:

Seorang  musafir  itu  boleh  terus  mengqasar sembahyangnya  selama  dia  masih  dalam  musafir.  Jika  dia bermukim  di  suatu  tempat  kerana  sesuatu  keperluan  yang hendak  diselesaikannya  maka  dia  tetap  boleh  mengqasarkan sembahyangnya  sebab  dia  masih  dianggap  sebagai  musafir walaupun bermukimnya di sana sampai bertahun-tahun lamanya. Adapun  kalau  dia  bermaksud  hendak  bermukim  di  sana  dalam waktu  yang  tertentu  (yang  telah  diketahui  pada  awal musafirnya-pen)  maka  menurut  pendapat  yang  terkuat  yang dipilih oleh Imam Ibnu Qayyim  rahimahullah , bermukimnya itu belum  lagi  menghilangkan  hukum  musafir,  baik lama  atau sebentar,  selama  dia  tidak  berniat  hendak  menjadi  penduduk tetap di tempat itu.

Setelah  membawa  pelbagai  pendapat  yang  membatasi  jumlah hari  tertentu  yang  dibolehkan  mengqasarkan  sembahyang,  Imam Muhammad bin Ismail al-Shon’ani rahimahullah telah menulis:



Sudah  jelas  tidak  ada  dalil  yang  menunjukkan  Nabi shallallahu  ‘alaihi  wasallam tidak  mengqasarkan  sembahyang selama  masa  safar telah  melebihi  dari  waktu-waktu  yang disebutkan  di  atas.  Apabila  tidak  ada  dalil  yang  menunjukkan penentuan  batas  waktu,  maka  pendapat  yang  lebih  mendekati kebenaran  ialah  boleh  sentiasa  mengqasarkan  sembahyang selama  dalam  perjalanan  itu  sebagaimana  yang  pernah dipraktikkan oleh para sahabat – kerana memang tidak dinamai mukim  dalam  keadaan  ragu-ragu  setiap  hari  dan  juga  tidak dinamai  mukim  bagi  orang  yang  singgah  di  satu  tempat meskipun lama.

No comments:

Post a Comment