Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan

Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan
Sesungguhnya Ulama' itu Pewaris Nabi

Friday 28 December 2012

JARAK PERJALANAN YANG MEMBOLEHKAN SEMBAHYANG DIQASARKAN


Ulama telah  berbeza  pendapat  tentang  jarak  perjalanan  yang dianggap  sebagai  safar sehingga  dibolehkan  sembahyang  diqasarkan serta berbuka puasa. al-Hafidz Ibnu Hajar  rahimahullah telah berkata:

hal  ini  (jarak  perjalanan  yang  dianggap  sebagai musafir)  termasuk  masalah  yang  banyak  diperselisihkan  oleh para  ulama’ .  Dalam  masalah  ini,  Ibnu  Mundzir  dan  selainnya menyebutkan sekitar dua puluh pendapat.

Perbezaan  pendapat  ini  berpunca  dari  beragamnya  hadis-hadis serta  atsar-atsar dari  para  sahabat  Nabi  shallallahu  ‘alaihi  wasallam tentang  jarak  perjalanan  minima  yang  mereka  lalui  lalu  mereka mengqasarkan  sembahyang.    Namun  begitu  pendapat  yang  dipakai  di Malaysia adalah dua marhalah(bersamaan dengan 83 kilometer).

Selanjutnya  Syaikh  Muhammad  bin  Shalih  al-‘Utsaimin rahimahullah mengulas tentang perbezaan jarak ini dengan berkata:

Sebahagian  ulama’ berpendapat  bahawa  jarak perjalanan  yang  dibolehkan  mengqasarkan  sembahyang  ialah lapan  puluh  tiga  kilometer.  Ulama’ yang  lain  berpendapat jaraknya  sesuai  menurut  adat  yang  berlaku.  Iaitu  jika  dia melakukan  perjalanan  yang  menurut  adat  sudah  disebut sebagai  safar maka  dia  telah  melakukan  safar meskipun jaraknya  belum  sampai  lapan  puluh  kilometer.  Adapun jika perjalanannya  menurut  adat  belum  dikatakan  safar meskipun jaraknya 100 kilometer, maka dia belum disebut  safar .

Pendapat  terakhir  inilah  yang  dipilih  oleh  Syaikh  al-Islam  Ibnu  Taymiyah  rahimahullah .  Yang  demikian  ini  adalah kerana  Allah  dan  Nabi  shallallahu  ‘alaihi  wasallam tidak menentukan  jarak  tertentu  untuk  dibolehkan  melakukan qasar.




Syaikh  al-‘Utsaimin  rahimahullah menegaskan  bahawa  ada  dua bentuk pandangan  ulama’ dalam hal jarak perjalanan yang diperbolehkan sembahyang  qasar.  Satu  kelompok membatasi  jarak  yang  tertentu manakala  kelompok  yang  satu lagi tidak  membatasinya  melainkan ianya ditentukan  menurut  adat  kebiasaan  lingkungan  perjalanan  seseorang. Beliau telah menguatkan pendapat kelompok kedua sebagaimana Syaikh al-Islam.  Dengan  ini  dapat  kita  fahami  bahawa  antara  faktor  yang menyebabkan  terdapat  beberapa  hadis  dan  atsar yang  menunjukkan batas  minima  yang  berbeza  jaraknya  dalam  isu  sembahyang  qasar ini adalah  disebabkan  perbezaan  dalam  adat  kebiasaan  perjalanan  yang diklasifikasikan  sebagai  safar di  antara  para  sahabat  Nabi  radhiallahu 'anhum .Nabi  Muhammad shallallahu  ‘alaihi  wasallam sebenarnya  tidak pernah  meletakkan  had  batasan  yang  memperbolehkan  kita mengqasarkan  sembahyang.  Tetapi  baginda  akan  senantiasa mengqasarkan  sembahyang  apabila  baginda  bermusafir  keluar  dari Madinah.  Syaikh  al-Albani  rahimahullah dalam Silsilah  al-Ahadits  al-Shahihah (jld  1,  ms.  367)  telah  menurunkan  kata-kata  Imam  Ibnu Mundzir:

Sungguh  saya  tidak  mengetahui  bahawa  Nabi shallallahu  ‘alaihi  wasallam ada  mengqasarkan  sembahyang dalam satu perjalanan kecuali setelah keluar dari Madinah .

Kenyataan Ibnu Mundzir ini adalah selari dengan sebuah riwayat dari Abdullah ibnu Umar radhiallahu 'anhuma , dia berkata:

Adalah  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam  ketika  keluar
dari  kota  Madinah,  baginda  tidak  menambah  rakaat  sembahyang-sembahyangnya  melebihi 2  rakaat  (kecuali  Maghrib)  sehinggalah baginda kembali ke kota Madinah.

Syaikh Abu Ubaidah Masyhur pula berkata:

Namun pendapat yang shahih menurut para ulama’ yang sangat  teliti  bahawa  jika  menurut  adat  kebiasaan  seseorang satu  jarak  tertentu  sudah  boleh  dianggap  melakukan safar , maka  dia  dianggap  telah  boleh  mengerjakan  jamak mahupun qasar.  Ini  lebih  sesuai  dengan  slogan  Islam  yang  selalu memberikan  kemudahan  kepada  umatnya.  Ini  adalah  kerana dengan  meletakkan  had  batasan  seperti  hanya  boleh mengqasarkan  sembahyang  selama  tiga  hari  atau  batasan-batasan  lainnya,  boleh  mengakibatkan  musnahnya  kemudahan yang diberikan syari’at Islam.
Manakala Syaikh al-Syinqithi rahimahullah pula berkata:

Pendapat yang paling kuat dan dapat dijadikan sebagai hujjah menurutku  adalah  pendapat  orang  yang  menyatakan: Sesungguhnya  semua  yang  dikategorikan  sebagai  safarsekalipun  jaraknya  tidak  jauh  maka  diperbolehkan  pelakunya untuk  mengqasarkan  sembahyang,  sebab  dalam  nas hanya disebutkan safar secara mutlak (tanpa dibatasi dengan ukuran jarak mahupun hari).

Oleh  itu  tiada  sesiapa  yang  berhak  untuk  meletakkan  batasan tentang  jauh  jarak  perjalanan  yang  diperbolehkan  seseorang itu bersembahyang  qasar kecuali  Allah  'Azza  wa  Jalla dan  Rasul-Nya shallallahu  ‘alaihi  wasallam .  Ternyata  Allah  Subhanahu  wa  Ta'aladan Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam tidak  meletakkan  batasan  jarak tersebut  maka  ianya  bergantung  kepada  kebiasaan  lingkungan perjalanan  harian  seseorang  individu.  Apatah  lagi  terdapat  hadis-hadis yang menunjukkan  Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallammengqasarkan sembahyang  dalam  perjalanan  yang  kurang  dari  dua  marhalah.  Apabila Anas  bin  Malik radhiallahu  'anhu ditanya  tentang  solat  qasar  Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,  beliau menjelaskan:

Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam  apabila  keluar  dalam satu  perjalanan  yang  berjarak  tiga  mil  atau  tiga  farsakh(Syu’bah ragu-ragu) maka baginda sembahyang hanya 2 rakaat.

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah :
Ini  merupakan  hadis  yang  paling  shahih  dan  tegas dalam  menjelaskan  hal  tersebut  (jarak  yang  diperbolehkan mengqasar sembahyang).  Namun  para  ulama’ yang  tidak sependapat memahami bahawa yang dimaksudkan adalah batas dimulainya baginda mengqasarkan sembahyang dan bukan batas jarak  akhir  perjalanan.  Akan  tetapi  sangat  jelas  betapa pemahaman  ini  sangat  jauh  dari  kebenaran.  Sementara  al-Baihaqi  telah  menyebutkan  dalam  riwayatnya  melalui  jalur  ini bahawa Yahya bin Yazid radhiallahu 'anhu berkata:




Aku  bertanya  kepada  Anas  tentang  mengqasarkan sembahyang  dan  saat  itu  aku  akan  keluar  menuju  Kufah (iaitu  dari  Bashrah),  apakah  aku  sembahyang  dua  rakaat dua  rakaat  hingga  kembali.”  Anas  juga  berkata:  “Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi  wasallam melakukan perjalanan sejauh  tiga  mil  atau  tiga  farsakh  maka  baginda sembahyang 2 rakaat.”

Nampak  dari  sini  bahawa  beliau  (Yahya  bin  Yazid) bertanya  kepada  Anas  tentang  bolehnya  mengqasarkan sembahyang ketika safar bukan tentang tempat di mana harus dimulakan mengqasarkan sembahyang.

Imam  Muhammad  bin  Ismail  al-Shon’ani  rahimahullah pula berkata berkaitan dengan hadis di atas:

Adapun  yang  dimaksudkan  dengan  kalimat  “Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan perjalanan” itu  ialah  apabila  baginda  sudah  berniat  melakukan  perjalanan sejauh  sedemikian.  Jadi  bukan  dimaksudkan  bahawa  apabila baginda  ingin  berjalan  jauh,  maka  beliau  tidak  mengqasar sembahyang setelah mencapai jarak sedemikian.

Seterusnya sebuah riwayat dari Anas bin Malik radhiallahu 'anhu , dia berkata:

Sesungguhnya  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam bersembahyang  Zuhur  empat  rakaat  di  Madinah  dan bersembahyang Asar di Dzil Hulaifah dua rakaat.

Sebagaimana  yang  telah  sedia  maklum  jarak  perjalanan  dari Madinah ke Dzil Hulaifah adalah 7 mil iaitu bersamaan dengan antara 12 hingga  13  kilometer.  Hadis  ini  juga  adalah  sebagai  bukti  bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamtelah mengqasarkan sembahyang walaupun jarak perjalanan tersebut adalah kurang dari dua  marhalah(83 kilometer).

Syaikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry pula berkata:



Sebuah riwayat dari Ibnu Umar: “Jika aku keluar satu mil,  maka  aku  akan  mengqasar sembahyang.” Ini menegaskan bahawa pengertian  safar dan hukum musafir yang membolehkan  untuk  mengqasarkan  sembahyang,  membuka puasa adalah perjalan sejauh satu mil atau lebih.

Kini  sudah  semakin  jelas  bagi  kita  Insya-Allah ,  dua  marhalah atau  lapan  puluh  tiga  kilometer  bukanlah  batasan  yang  baku  untuk membolehkan  kita  mengqasarkan  sembahyang. Maka  bukanlah menjadi  satu  kesalahan  bagi  mereka  yang  bermusafir  kurang  dari  dua marhalah  untuk  mengqasarkan  sembahyangnya.  Malah  ini  merupakan satu  nikmat  kemudahan  yang  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala anugerahkan kepada hamba-Nya maka kecapilah nikmat anugerah-Nya itu tanpa was-was.

No comments:

Post a Comment