Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan

Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan
Sesungguhnya Ulama' itu Pewaris Nabi

Friday 28 December 2012

Solat jamak qasar adalah sedekah ALLAH SWT


PENGERTIAN SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR

Sembahyang  qasar bererti  memendekkan  sembahyang  yang empat  rakaat  menjadi  dua  rakaat  ketika  dalam  perjalanan  ( safar). Sembahyang  yang  boleh  diqasarkan  adalah  sembahyang  Zuhur,  Asar dan Isyak. Dalil yang mengsyari’atkan sembahyang qasar adalah
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan  apabila  kamu  musafir  di  muka  bumi,  maka  kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu  takut  diserang  oleh  orang-orang  kafir.  Sesungguhnya  orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Mungkin  akan  timbul  persoalan  di  kalangan  para  pembaca bahawa  adakah  dengan  keadaan  semasa  yang  aman  damai  tanpa ancaman dari orang kafir maka sembahyang qasar ini tidak disyari’atkan lagi? Untuk  menjawab persoalan ini  kami membawa sebuah riwayat dari Ya’laa bin Umayyah radhiallahu 'anhu , dia berkata:

Aku  pernah bertanya  kepada  Umar  al-Khattab  radhiallahu 'anhu berkenaan dengan firman Allah “maka kamu tidaklah berdosa "mengqasar kan"  (memendekkan)  sembahyang  jika  kamu  takut diserang  oleh  orang-orang  kafir”   sedangkan  pada  masa  sekarang ini  manusia  telahpun  berada dalam  keadaan  aman.”  Umar menjawab:  “Aku  sendiri  pernah  merasa  hairan  juga  seperti  kamu oleh  itu  aku  telah  bertanya  kepada  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi wasallam tentang hal ini lalu baginda bersabda: “Itu adalah sedekah yang  diberikan  oleh  Allah  kepada  kalian  maka  terimalah  sedekah-Nya.

Di  atas  keumuman  lafaz  firman  Allah  Subhanahu  wa  Ta'alatersebut  dapat  kita  fahami  bahawa  apabila  seseorang  itu  berada  dalam satu  perjalanan  yang  dianggap  sebagai  safar,  secara  automatik  dia dibenarkan  untuk  mengqasarkan  sembahyang  tanpa  sebarang  syarat tambahan.




Sembahyang  jamak pula  bermakna  mengumpulkan  dua sembahyang dalam satu waktu. Contohnya mengumpulkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam satu waktu ataupun Maghrib dan Isyak dalam satu waktu. Jamak pula ada dua jenis iaitu:

1)      Jamak Taqdim (yang  didahulukan)  iaitu  mengumpulkan sembahyang  Asar  bersama  Zuhur  dalam  waktu  sembahyang Zuhur  atau  mengumpulkan  sembahyang  Isyak  dan  Maghrib dalam waktu sembahyang Maghrib.

2)      Jamak Ta’khir (yang  diakhirkan)  pula  ialah  mengumpulkan sembahyang  Zuhur  dan  Asar  dalam  waktu  sembahyang  Asar atau  mengumpulkan  sembahyang  Maghrib  dan Isyak  dalam waktu sembahyang Isyak.

Dalil  disyariatkan  jamak taqdim dan  jamak ta’khir adalah sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu ‘Abbas  radhiallahu 'anhu :

Inginkah  tuan-tuan  saya  ceritakan  perihal  sembahyang Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam  sewaktu  sedang  dalam perjalanan.” Ujar kami: “Baik.” Katanya: “Jika baginda masih berada di rumah semasa matahari telah tergelincir (masuknya waktu Zuhur), baginda  jamakkan  Zuhur  dengan  Asar  (jamak  taqdim)  sebelum berangkat,  tapi  kalau  belum  lagi  tergelincir,  maka  baginda  berjalan hingga  nanti  bila  waktu  Asar  masuk  baginda  pun  berhenti  dan menjamak  sembahyang  Zuhur  dengan  Asar  (jamak  ta’khir).  Begitu juga  jika  selagi  baginda  di  rumah  waktu  Maghrib  sudah  masuk, baginda  jamaklah  sembahyang  Maghrib  dengan  Isyak,  tetapi  kalau waktu  belum  lagi  masuk,  baginda  terus  sahaja  berangkat  dan  nanti bila  waktu  Isyak  tiba,  baginda  pun  berhenti  untuk  menjamak sembahyang Maghrib dan Isyak itu.

Dari  hadis  di  atas  dapat  kita  fahami  sekiranya  kita  memulakan perjalanan setelah masuknya waktu Zuhur maka adalah disunnahkan kita melakukan  sembahyang  jamak taqdim yakni  menghimpunkan sembahyang  Zuhur  dan  Asar  dalam  waktu  sembahyang Zuhur.    Namun begitu  sembahyang  tersebut  tidak  diqasarkan  kerana  kita  secara hakikatnya  belum  memulakan  perjalanan.  Menurut  Syaikh  Salih  bin Fauzan:

Jika  anda  sembahyang  Asar  dan  Zuhur  dengan  jamak taqdim sedangkan waktu itu anda masih berada di rumah, maka anda harus menunaikan sembahyang tersebut dengan sempurna (tidak  menqasarkan),  iaitu  empat  rakaat  baik  untuk sembahyang Zuhur mahupun Asar.


Namun  sekiranya  kita  memulakan  perjalanan  sebelum  masuk waktu  Zuhur  maka  hendaklah  kita  melakukan  jamak ta’khir yakni menghimpunkan  sembahyang  Zuhur  dan  Asar  dalam  waktu  Asar.  Maka ketika  ini  diperbolehkan  untuk  mengqasarkan  sembahyang  tersebut kerana ketika itu kita sedang berada dalam perjalanan. Hadis di atas juga menerangkan  tatacara  menjamak sembahyang  Maghrib  dan  Isyak. Seperkara  yang  perlu  untuk  diberi  perhatian  adalah  tidak  ada  jamakantara sembahyang Subuh dan Zuhur, Asar dan Maghrib atau Isyak dan Subuh.

Walaubagaimanapun di atas bukanlah syarat menjamakkan solat tetapi sunnah  yang utama  untuk diikuti. Antara jamak taqdim  atau jamak takhir, terpulang bagi seseorang  mana  yang sesuai lagi  mudah  baginya. Ingat, jamak adalah satu kemudahan, bukan kesukaran.

No comments:

Post a Comment