Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan

Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan
Sesungguhnya Ulama' itu Pewaris Nabi

Friday 28 December 2012

HUBUNGKAIT NIAT PERJALANAN DENGAN PEMBOLEHAN MENJAMAK DAN MENGQASARKAN SEMBAHYANG


Apa  yang  biasa  difahami  oleh  masyarakat  Islam  di  Malaysia rukhshah (keringanan)  yang  Allah  'Azza  wa  Jalla kurniakan  kepada musafir  seperti  mengqasarkan  dan  menjamakkan  sembahyang  hanya diperbolehkan  ketika  berada  dalam  perjalanan  yang  berbentuk  ketaatan kepada  Allah  'Azza  wa  Jalla ( safar  al-tha’ah )  dan  bukan  untuk  tujuan yang  mengandungi  unsur-unsur  dosa  atau  maksiat. Namun  begitu sebenarnya  rukhshah yang  Allah 'Azza  wa  Jalla berikan  kepada  para musafir  adalah  berbentuk  umum  tanpa  menetapkan  apa-apa  syarat tambahan. Firman-Nya:

Dan  apabila  kamu  musafir  di  muka  bumi,  maka  kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…

Asalkan  sahaja  hamba-Nya  yang  Muslim  berada  dalam perjalanan  maka  diperbolehkan  untuknya  mengqasarkan  mahupun menjamakkan  sembahyangnya.  Menurut  Syaikh  Abdullah  bin Abdurahman al-Jibrin:

Keringanan  perjalanan  dibolehkan  bagi  setiap perjalanan baik perjalanan untuk ketaatan atau untuk maksiat, sedangkan  dosa  adalah  disebabkan  perbuatan  maksiat  itu sendiri  baik  yang  dilakukan  oleh  seorang  musafir  ataupun orang  yang  bermukim.  Pelaku  maksiat  akan mendapatkan  dosa dalam  dua  keadaan  itu  dan  keringanan  yang  diberikan  kepada orang  yang  dalam  perjalanan  adalah  untuk  menghindari kesulitan,  begitu  juga  orang  yang  melakukan  perjalanan kemudian lalu  berbuat maksiat di dalam  perjalanannya itu dan dia  adalah  seorang  Muslim  maka  dia  mendapatkan  ketentuan-ketentuan syari’at Islam dan tidak boleh bagi kita melarangnya untuk  mendapatkan  keringanan  dari  Allah  kerana  perbuatan maksiatnya.

Sesiapa  yang melakukan perjalanan  atas  tujuan  untuk  membuat maksiat maka dia akan dianggap melakukan perbuatan  yang haram dan berdosa di atas perbuatan tersebut namun ini tidak menghindarinya untuk mendapat  rukhshah dalam  menjamak dan  mengqasarkan  sembahyang.


Contohnya  seorang  yang  mencuri  sehelai  baju  lantas  dipakainya  baju tersebut  untuk  mengerjakan  sembahyang.  Maka  perbuatannya  mencuri baju adalah haram tetapi sembahyangnya tetap sah.

Manakala  Syaikh  al-Syinqithi  dalam  Adhwaa’ul  Bayaan (Jilid  1, halaman 360) pula berpendapat :

Para  ulama’ ber ijma’ (bersepakat)  bahawa  mengqasarsembahyang  empat  rakaat  menjadi  dua  rakaat  ketika  safar memang benar disyari’atkan… Ada juga orang yang menyatakan bahawa  mengqasarkan  sembahyang  hanya  boleh  ketika  safar dalam  ketaatan  syari’ay.  Pendapat  seperti  itu  merupakan pendapat yang tidak dipercayai oleh para ulama’ .

Dari ini dapat kita fahami  bahawa menjamak dan mengqasarkan sembahyang  diperbolehkan  dalam  segala  bentuk  perjalanan  samada atas  tujuaan  ketaatan  atau  maksiat.  Semoga  dengan  rukhsah ini  akan dapat  memberi  perangsang  kepada  mereka  yang  memiliki  tujuan  yang tidak baik dalam sesuatu perjalanan untuk bersembahyang dan mungkin melalui  sembahyangnya  itu  akan  membuka  hati  mereka  untuk membatalkan  hasrat  menempuhi  perjalanan  yang  tidak  baik  tersebut. Sebagaimana  yang  kita  sedia  maklum  ibadah  sembahyang  itu  dapat menghindari kita dari melakukan perkara yang keji dan mungkar.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

sesungguhnya  sembahyang  itu  mencegah  dari  perbuatan yang keji dan mungkar…



PENUTUP

Penulis  yakin  setelah  kita  benar-benar  faham  dengan  beberapa hukum  berkaitan  dengan  sembahyang  jamak dan  qasar ini,  maka  akan terserlah  kepada  kita  betapa  indahnya  hukum-hakam  Allah  Subhanahu wa  Ta'ala  dalam  hal  ini . Rukhshah (keringanan)  yang  Allah Subhanahu wa  Ta'ala berikan  kepada  kita  melalui  sembahyang  jamak dan  qasar mengukuhkan  lagi  bahawa  Dia  benar-benar  bersifat al-Rahmah (kasih sayang)  terhadap  makhluk-Nya.  Sewajarnya  kita  mempergunakan sepenuhnya anugerah serta sedekah yang Allah 'Azza wa Jalla kurniakan kepada  kita.  Apatah  lagi  perkara-perkara  yang  penulis  ketengahkan  di atas  ada  dalilnya dari al-Qur’an dan  al-Sunnah sebagaimana  yang diamalkan  oleh  para  sahabat  Nabi  radhiallahu 'anhum .  Bagi  penulis batasan-batasan  yang  telah  digariskan  dalam  sesetengah  kitab-kitab fardhu  ‘ain di  Malaysia  berkaitan  dengan  sembahyang  jamak dan  qasar seolah-olah  menafikan  serta  menghancurkan  kemudahan  syari’at Islam. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Syaikh Abu Ubaidah Masyhur:Ini  kerana  dengan  meletakkan  had  batasan  seperti hanya  boleh  mengqasarkan  sembahyang  selama  tiga  hari  atau batasan-batasan  lainnya,  boleh  mengakibatkan  musnahnya kemudahan yang diberikan syari’at Islam.

Antara  manhaj Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam dalam membuat  pilihan  ketika  memberi  pandangan  adalah  sebagaimana  yang dikhabarkan oleh  Umm al-Mukminun‘Aishah  radhiallahu 'anha :

Tidaklah  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam  jika  diberi dua pilihan kecuali baginda memilih yang paling mudah di antaranya selagi tidak mengandungi dosa .

Semoga  kemudahan  yang  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala anugerahkan  kepada  kita  semua  akan  menjadi  pilihan  kita  kerana mustahil  apa  yang  datangnya  dari  Allah  dan  Rasul-Nya  serta  menjadi amalan para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum akan mengandungi unsur-unsur  dosa.  Sesungguhnya  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala  hanya menginginkan  kemudahan  kepada  hamba-hamba-Nya  dan  tidak  mahu memberati kita semua. Ini sebagaimana Firman-Nya:

(Dengan  ketetapan  yang  demikian itu)  Allah  menghendaki kamu  beroleh  kemudahan,  dan  Ia  tidak  menghendaki  kamu menanggung kesukaran…

Allah  tidak  memberati  seseorang  melainkan  apa  yang terdaya  olehnya.  Ia  mendapat  pahala  kebaikan  yang diusahakannya...

Dan  orang-orang  yang  beriman  serta  beramal  soleh (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati  diri  seseorang  (dengan  kewajipan)  melainkan  sekadar yang  terdaya  olehnya,  merekalah  ahli  Syurga,  mereka  kekal  di dalamnya.

_SEMOGA BERMANFAAT HENDAKNYA_

No comments:

Post a Comment