Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan

Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan
Sesungguhnya Ulama' itu Pewaris Nabi

Friday 28 December 2012

MENJAMAK SEMBAHYANG BUKAN TERHAD KETIKA DALAM PERJALANAN (SAFAR)


Tidak  ada  yang  mempertikaikan  tentang  bolehnya  menjamak sembahyang ketika berada dalam perjalanan. Terdapat hadis-hadis yang banyak  menunjukkan  bahawa  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam memang pernah menjamak sembahyang ketika bermusafir.

Bahawa  Nabi  shallallahu  ‘alaihi  wasallam  sewaktu  perang Tabuk,  selalu  menjamak  sembahyang  Zuhur  dengan  Asar  (jamak taqdim-pen)  bila  berangkat  sesudah  tergelincir  matahari  (setelah masuk waktu Zuhur), tetapi apabila berangkatnya sebelum matahari tergelincir  (sebelum  waktu  Zuhur)  maka  sembahyang  Zuhur diundurkan  baginda,  dan  dihimpunnya  sekali  dengan  Asar  (jamak ta’khir-pen). Begitu pula dalam sembahyang Maghrib, iaitu sekiranya baginda  berangkat  sesudah  matahari  terbenam  (telah  masuk  waktu Maghrib),  dijamaknya  Maghrib  dengan  Isyak  (jamak  taqdim-pen), tetapi  kalau  berangkatnya  itu  sebelum  matahari  terbenam, diundurkannyalah  Maghrib  itu  sampai  waktu  Isyak  dan  dijamaknya dengan sembahyang Isyak (jamak ta’khir).

Kebanyakan  umat  Islam  di  Malaysia  berpendapat  bahawa menjamak sembahyang  hanya  dibenarkan  kepada  mereka  yang bermusafir  sahaja.  Sebenarnya  berada  dalan  keadaan musafir  hanyalah salah  satu  dari  faktor  yang  membenarkan  sembahyang  dijamakkan. Faktor  sebenar  yang  menentukan  samada  sembahyang  boleh dijamakkan  atau  tidak  adalah  kesulitan  yang  dialami  oleh  seseorang untuk menjalankan ibadah sembahyangnya walaupun dia bukan seorang musafir.  Tentang  hubungan  antara  menjamakkan  sembahyang  dan musafir, Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah menulis:

Jamak itu  tidak  berkait  dengan  qasar tetapi  terkait dengan  keperluan.  Apabila  sahaja  seseorang  itu  perlu  untuk menjamak sembahyangnya  baik  ketika  dia  bermukim  mahupun ketika  dalam  perjalanan  maka  dia  boleh  menjamak sembahyangnya.  Oleh  kerana  itu  manusia  melakukan  jamak ketika  hujan  yang  menyulitkan  mereka  untuk  kembali  ke masjid.  Juga  dibolehkan  menjamak sembahyang  bila  terjadi angin  kencang  di  musim  dingin  yang  menyukarkan  mereka keluar menuju masjid. Juga dibenarkan menjamak sembahyang jika dia takut keselamatan hartanya atau yang semisalnya .


Inilah  rukhshah (kelonggaran)  sebenarnya  yang  Allah  'Azza  wa Jallakurniakan  kepada  hamba-Nya  sesuai  dengan  sifatnya  yang  Maha Pengasih  lagi  Penyayang.  Maka  sewajarnya  kita  bersyukur  atas kurniaan-Nya  itu  dengan  menggunakan  rukhshah tersebut  dan  tidak mencipta  batasan-batasan  tertentu  yang  tidak  disyari’atkan  oleh  Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya  shallallahu ‘alaihi wasallam. Apatah lagi  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam pernah  menjamakkan sembahyang  bukan  kerana  musafir  atau  hujan  hanya  bertujuan  untuk memudahkan  umatnya.  Ini  sebagaimana  hadis  dari  Ibnu  ‘Abbas radhiallahu 'anhu , dia berkata:

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang di Madinah (bukan dalam musafir) sebanyak tujuh dan lapan rakaat iaitu dengan menjamak Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak.

Ibnu ‘Abbas  radhiallahu 'anhu  menerangkan:

Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam  pernah  menjamak sembahyang  Zuhur  dan  Asar  serta  Maghrib  dan  Isyak  di  Madinah (bukan  dalam  musafir),  bukan  kerana  dalam  ketakutan  atau  hujan.” Lalu  orang  bertanya  kepada  Ibnu  ‘Abbas:  “Kenapa  Nabi  shallallahu alaihi  wasallam  berbuat  sedemikian?”  Jawabnya:  “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.”

Kedua-dua  hadis  di  atas  sudah  memadai  untuk  membatalkan pendapat  mereka  yang  hanya  menghadkan  sembahyang  hanya  boleh dijamakkan  ketika dalam  perjalanan kerana  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi wasallammenjamak sembahyangnya  ketika  baginda  berada  di  Madinah iaitu dalam keadaan bermukim. Malah hadis dari Ibnu ‘Abbas  radhiallahu'anhu ini  dijadikan  hujjah oleh ulama’ untuk  membolehkan  sembahyang itu  dijamak asalkan  terdapat  keperluan  yang  mendesak  dan demi untuk  menghindari  kesulitan  yang  dihadapi  itu.    Malah  kata-kata  Ibnu Abbas  “bukan  kerana  dalam  ketakutan  atau  hujan” secara  tidak langsung menunjukkan bolehnya menjamak sembahyang jika kita berada dalam kedua-dua situasi tersebut.
Berkata  Syaikh  Muhammad  Shalih  al-‘Utsaimin  rahimahullah

setelah membawa hadis Ibnu ‘Abbas  radhiallahu 'anhu tersebut:


Inilah  rambu-rambunya,  setiap  kali  seseorang  merasa kesulitan  sekiranya  tidak  melakukan  jamak maka  dia  boleh melakukannya.  Namun  jika  dia  tidak  mengahadapi  kesulitan maka  tidak  perlu  menjamak.  Namun  safar adalah  tempat kesulitan  jika  tidak  melakukan  jamak.  Untuk  itu  dibolehkan musafir  untuk  menjamak sembahyang  baik  ketika  dalam perjalanan  atau  ketika  singgah  di  suatu  tempat,  hanya  sahaja jika  dia  sedang  dalam  perjalanan  maka  menjamaknya  lebih utama  sedangkan  ketika  singgah  meninggalkan  jamak lebih utama.

Syaikh  Abu  Ubaidah  Masyhur  pula  berkata  selain  dari  dalam ketakutan ataupun hujan yang lebat:

Diperbolehkan  menjamak sembahyang  ketika  tanah dalam keadaan berlumpur, udara yang dingin, turun salju, sakit, angin  kencang  bahkan  kerana  adanya  uzur  atau  kepentingan lain…Ibnu  Taymiyyah  berkata:  “Mazhab  Fiqh  yang  paling longgar  dalam  masalah  menjamak sembahyang  adalah  mazhab al-Imam  Ahmad.  Sebab  beliau  telah  membolehkan  menjamakantara  dua  sembahyang  hanya  disebabkan  adanya  keperluan ataupun ketika sedang sibuk.”

Selanjutnya Syaikh Sayyid Sabiq  rahimahullah berkata:

Dalam Syarah  Muslim,  Imam  al-Nawawi rahimahullah berkata: “Beberapa imam membolehkan jamak bagi orang yang tidak musafir, bila ia ada suatu kepentingan, asal sahaja hal itu tidak  dijadikan  kebiasaan.  Ini  juga  merupakan  pendapat  Ibnu Sirin  dan  Asyhab  dari  golongan  Maliki,  dan  menurut  al-Khaththabi juga pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari golongan Syafi’i, juga dari Ishak Marwazi dan dari jemaah ahli hadis, serta inilah pula yang dipilih oleh Ibnul Mundzir.

Telah  jelas  bagi  kita  bahawa  sembahyang  jamak bukan  hanya disyari’atkan  ketika  dalam  musafir.  Sekiranya  memang  ada  keperluan yang  begitu  mendesak  maka  dibenarkan  untuk  menjamakkan sembahyang.  Hanya apa  yang ingin  penulis  tekankan  jangan kita  terlalu bermudah-mudah  dalam  isu  sembahyang  jamak ini  sehingga  menjadi kebiasaan untuk  manjamakkan sembahyang tanpa  sebab  atau  kesulitan yang  dihadapi  seperti  diamalkan  golongan  syi’ah .  Ini  adalah  kerana hukum asal sembahyang itu adalah mengikut waktu yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya  sembahyang  itu  adalah  satu  ketetapan  yang diwajibkan  atas  orang-orang  yang  beriman,  yang  tertentu waktunya.

Menurut Syaikh Abu Ubaidah kaedah umum yang disepakati oleh Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah:

Hendaklah  setiap  sembahyang  itu  dikerjakan  pada waktunya  yang  telah  ditetapkan  dan  telah  di nas kan  dalam hadis-hadis  Nabi,  tanpa  mengawalkan  atau  mengakhirkannya, kecuali  jika  ada  beberapa  sebab  yang  telah  disebutkan  dalam beberapa  kitab  fiqh  dan  sebab  itu  diperkuatkan  oleh  dalil syari’at yang diakui (keshahihannya).

No comments:

Post a Comment