Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan

Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan
Sesungguhnya Ulama' itu Pewaris Nabi

Friday 28 December 2012

HUKUM MENGQASARKAN SEMBAHYANG KETIKA DALAM PERJALANAN


Hukum  mengqasarkan  sembahyang  dalam  musafir  masih diperselisihkan oleh para  ulama’ . Sebahagian  ulama’ menganggap ianya adalah  sunat  mu’akkadah dan  ini  adalah  pandangan  Imam  al-Syafi’i  rahimahullah . Namun pendapat yang lebih hampir kepada kebenaran dan dipegang oleh majoriti generasi salaf adalah mengqasarkan sembahyang ketika perjalanan (safar) adalah wajib.

Syaikh Abu Ubaidah Masyhur menulis:

Di antara mereka yang  memilih pendapat ini (wajibnya mengqasarkan  sembahyang  dalam  musafir)  adalah  ulama’ bermazhab  Hanafi.  Pendapat  ini  juga  telah  diriwayatkan  dari Ali bin Abi Thalib dan  Umar radhiallahu 'anhuma sebagaimana yang disebut dalam Nailul Authar Jilid 3 halaman 245(Kitab karangan Imam  Muhammad  al-Syaukani  rahimahullah -pen). Al-Khatthabi  berpendapat  ini  adalah  pendapat  majoriti ulama’ salaf dan  juga  dipegang  oleh  Umar,  Ali,  Ibnu  Umar,  Jabir, Ibnu Abbas, Umar bin Abdul Aziz, al-Hassan dan Qatadah.

Menerusi hadis-hadis  yang sabit datangnya dari  Nabi shallallahu alaihi  wasallam, kita  dapati  baginda  sentiasa  mengqasarkan sembahyang  sekiranya  baginda  bermusafir.  Imam  Ibnu  Qayyim rahimahullah berkata:

Baginda mengqasarkan sembahyang yang empat rakaat, memendekkannya  menjadi  dua  rakaat  semenjak  memulakan perjalanan  sehingga  kembali  ke  Madinah.  Sama  sekali  tidak pernah  diriwayatkan  bahawa  baginda  mengerjakan  empat rakaat secara sempurna dalam perjalanannya.


Dalil  yang  dijadikan  sandaran  dalam  mewajibkan  sembahyang qasar ketika  bermusafir  adalah  sebuah  hadis  yang  diterangkan  oleh Aisyah  radhiallahu 'anha :

Allah mewajibkan sembahyang pada saat memfardhukannya (pertama  kali)  sebanyak  dua  rakaat  dua  rakaat  baik  ketika  hadir (tidak  bermusafir)  mahupun  ketika  musafir.  Kemudian  ditetapkan pada  sembahyang  perjalanan  (sebanyak  dua  rakaat)  dan  ditambah lagi (sebanyak dua rakaat) pada sembahyang hadir.

Dalam  hadis  di  atas  jelas  menunjukkan  pada  peringkat  awal ibadah  sembahyang  di fardhu kan  keatas  umat  Islam,  bagi  sembahyang fardhu dan  sembahyang  ketika  musafir  ( qasar)  jumlah  rakaatnya  adalah sama iaitu sebanyak dua rakaat. Kemudiannya ditambah dua rakaat lagi pada  sembahyang  Zuhur,  Asar  dan  Isyak  manakala  sembahyang  qasarkekal diwajibkan sebanyak 2 rakaat.

Imam  Muhammad  bin  Ismail  al-Shon’ani  rahimahullah mentafsirkan hadis di atas sebagai berikut:

Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa mengqasarkan sembahyang  ketika  bermusafir  hukumnya  wajib.  Ini  adalah kerana kalimah faradha !(dalam hadis di atas) ertinya sama dengan aujaba(artinya: mewajibkan).

Terdapat  beberapa  lagi  hadis  yang  sabit  dari  Rasulullah shallallahu  ‘alaihi  wasallam yang  memberikan  petunjuk  bahawa mengqasar sembahyang  apabila  berada  dalam  perjalanan  adalah diwajibkan.

Ibnu Umar  radhiallahu 'anh berkata:

Aku  pernah  menemani  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi wasallam  dan  baginda  tidak  melebihkan  sembahyangnya  dari  dua rakaat  dalam  perjalanan  (safar),  begitu  juga  oleh  Abu  Bakar,  Umar dan Uthman.

Berkenaan hadis di atas Imam al-Syaukani berkata: “Di dalamnya terkandung  pengertian  bahawa  Nabi  shallallahu  ‘alaihi  wasallam pasti sembahyang  qasar dan  tidak  pernah  sembahyang  tamam(menyempurnakan sembahyang).”

Ibnu ‘Abbas  radhiallahu 'anh berkata:

Difardhukan  sembahyang  melalui  lisan  Nabi  shallallahu alaihi  wasallam  bagi  orang  bermukim  empat  rakaat,  bagi  musafir dua  rakaat  dan  bagi  orang  yang  takut  (diserang  musuh)  satu rakaat.

Umar al-Khatthab radhiallahu 'anh  berkata:

Sembahyang  dalam  perjalanan  (safar)  dua  rakaat, sembahyang  Jumaat  dua  rakaat,  sembahyang  ‘Id  (hari  raya)  dua rakaat,  itu  semua  adalah  tamam  (sembahyang  yang  sempurna), bukan  qasar menurut  keterangan  dari  lidah  Muhammad  shallallahu alaihi wasallam.

Menurut Imam al-Syaukani tentang hadis di atas:

Hal  ini  menunjukkan  bahawa  sembahyang  ketika  dalam safar (perjalanan)  sudah  diwajibkan  seperti  itu  (dua  rakaat) sejak  awal,  dan  bukan  asalnya  empat  rakaat  lalu  diqasarkan menjadi  dua  rakaat.  (Dalam)  kata-kata  “menurut  keterangan dari lidah Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam”,  terdapat penegasan tentang kuatnya hal itu dari perkataan baginda.

Ibnu Umar  radhiallahu 'anh  berkata:




Sesungguhnya  Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam datang  kepada  kami,  ketika  kami  kesesatan  (jalan)  lalu  baginda mengajari  kami,  dan  di  antara  yang  diajarkan  kepada  kami,  bahawa Allah  'Azza  wa  Jalla  memerintahkan  kami  agar  sembahyang  dua rakaat dalam perjalanan (safar).

Sebagaimana  yang  telah  sedia  maklum,  telah  dinukil  dari  Nabi shallallahu  ‘alaihi  wasallam25,  kemudahan  untuk  mengqasarkan sembahyang  adalah  hadiah  dari  Allah  'Azza  wa  Jalla sebagai  rukhshah, maka sepatutnya kita menghormati pemberian-Nya  yang tidak ternilai ini. Apatah  lagi  Allah  'Azza  wa  Jalla menyukai  sekiranya  kita  menerima anugerah-Nya itu. Ibnu Umar radhiallahu 'anhu  berkata:

Rasulullah  shallallahu  ‘alaihi  wasallam  bersabda:  “Bahawa Allah  menyukai  jika  dilaksanakan  sesuatu  yang  telah  diizinkan-Nya (diberi  keringanan)  sebagaimana  Allah  membenci  (terhadap seseorang)  yang  melakukan  perlanggaran  maksiat  (perkara  yang dilarang-Nya).

Hadis di atas ini telah menyanggah tanggapan sesetengah pihak yang  menyatakan  menyempurnakan  sembahyang  ketika  bermusafir adalah  lebih  afdhal kerana  apa  yang  sebenarnya  lebih  afdhal adalah menerima rukhshah pemberian Allah Subhanahu wa Ta'ala tersebut.

Manakala  tentang  pendapat  yang  menyatakan  bahawa  dengan keselesaan  dalam  perjalanan  serta  kecanggihan  sistem  pengangkutan pada  zaman  moden  ini  menyebabkan  keperluan  untuk  mengqasar atau menjamak sembahyang  sudah  tidak  relevan  lagi,  Syaikh  Abu  Ubaidah Masyhur telah menulis:

Ada juga yang menyatakan bahawa musafir pada zaman sekarang ini boleh ditempuh dengan kapal terbang, kereta dan kereta  api.  Oleh  sebab  itu  ramai  yang  tidak  merasakan kesulitan  dalam  bermusafir.  Berbeza  dengan  musafir  pada zaman  dahulu,  atau  orang  yang  pekerjaannya  yang mengharuskan  dia  selalu  bermusafir.  Apakah  orang-orang seperti  ini  juga  masih  diperbolehkan  mengqasarkan sembahyang?



Untuk  mejawab  persoalan  ini  Syaikh Abu  Ubaidah  telah  menukil kata-kata Syaikh Sayyid Sabiq  rahimahullah :

Dalam  hal  ini  tidak  ada  perbezaan  musafir  itu menggunakan  kapal  terbang,  kereta  api  dan  lain-lain,  juga samada  perjalanan  itu  bertujuan  menunaikan  perintah  Allah ataupun  untuk  tujuan-tujuan  lain,  dan  termasuk  juga perjalanan orang-orang yang pekerjaanya mengharuskan selalu berada  dalam  keadaan  musafir  seperti  kelasi  kapal  laut, konduktor  kereta  api  dan  lain-lain,  sebab  pada  hakikatnya  itu juga  termasuk  dalam  musafir.  Oleh  sebab  itu  dia  boleh mengqasar, berbuka puasa dan lain-lain.

Ini  adalah  kerana  keumuman  Firman  Allah  Subhanahu wa Ta'ala:

Dan  apabila  kamu  musafir  di  muka  bumi,  maka  kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…

Hukum  mengqasarkan  sembahyang  ketika  bermusafir  adalah untuk setiap tempat dan zaman. Yang boleh membatasi keumuman hukum  syari’at hanyalah  Allah  'Azza  wa  Jalla dan  Rasul-Nya shallallahu alaihi  wasallam .  Sewajarnya  mereka  yang  memiliki  pemikiran  yang bingung  ini  men tadabbur (menghayati)  Firman  Allah  Subhanahu  wa Ta'ala  yang berikut:

Dan  (Allah  menjadikan)  kuda  dan  baghal  serta  keldai  untuk kamu  menunggangnya,  dan  untuk  menjadi  perhiasan;  dan  Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Berkenaan  ayat  di  atas  Syaikh  Abu  Ubaidah  Masyhur menerangkan:

Tuhan  telah  memberitahu  kepada  kita  semua  bahawa Dia telah menciptakan beberapa haiwan tunggangan yang tidak kita ketahui. Dia juga akan terus menciptakan perkara-perkara lain  yang  tidak  ada  pada  waktu  diwahyukan  ayat  ini  seperti kapal  terbang,  kereta  api,  kereta  mahupun  kenderaan-kenderaan yang lain.


Orang  yang  telah  disebutkan  di  atas  (mereka  yang menganggap  qasar sudah  tidak  relevan  di  zaman  moden  ini)benar-benar memiliki pemikiran yang aneh ketika beranggapan kapal  terbang,  kereta  api  mahupun  kereta  bukan  dalam kategori  perjalanan,  sehingga  tidak  boleh  mengqasar sembahyang.  Bukankah  semua  jenis  kenderaan  termasuk ciptaan  Allah?  Atau  adakah  mereka  menganggap  Allah  tidak mengetahui  kewujudan  kenderaan-kenderaan  tersebut  pada masa yang akan datang. Hal ini tidak mungkin akan terjadi.

Oleh  itu  hukum  mengqasarkan  sembahyang  ketika  bermusafir tetap  relevan  untuk  setiap  tempat  dan  zaman  tanpa  mengira  setinggi mana  teknologi  yang  bakal  dicipta  di  masa  hadapan.  Justeru  jangan persia-siakan  sedekah  dari  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala ini  apatah  lagi setelah  kita  tahu  pendapat  yang  lebih  tepat  tentang  hukum mengqasarkan sembahyang ketika musafir adalah wajib.

No comments:

Post a Comment