Hakikat dua kalimah Syahadah
أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلَــــهَ إِلَّا اللهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ
Aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah.
Pengajaran :
1. Semua umat Islam sangat maklum kedududkan Dua Kalimah Syahadat.
Sebagai rukun Islam pertama dalam senarai rukun-rukun Islam yang lima
memberi isyarat betapa tinggi nilai Dua Kalimah Syahadat dalam Islam.
Seseorang belum dianggap muslim / muslimat jika enggan mengucapkannya.
Namun demikian, sampai dimanakah kepahaman umat Islam terhadap Dua
Kalimah Syahadat ? Apakah makna perkataan Syahadat ? Apakah Rukun-Rukun
Dua Kalimah Syahadat ? Tulisan ringkas ini hanya akan mendedahkan
beberapa aspek saja dari Dua Kalimah Syahadat.
2. Syahadat pertama : ( أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ ) : Aku
bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, disebut
sebagai Syahadat Tauhid ; dan Syahadat kedua : ( ( وأشْهَدُ أنَّ
مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ : Aku bersaksi sesungguhnya Muhammad adalah
pesuruh Allah, disebut sebagai Syahadat Risalah. Jika seseorang hanya
mengucap Syahadat Pertama, tetapi enggan mengucap Syahadat Kedua, maka
dia belum layak dikatakan muslim atau muslimat. Sebab Ahli Kitab, sama
ada Yahudi atau Nasrani juga percaya bahawa Allah tuhan mereka, tetapi
mereka tetap kafir kerana enggan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW
sebagai Rasul yang terakhir.
3. Perakataan ( شَهَادَة ) : Penyaksian, diambil daripada perkataan (
أَشْهَدُ ) : Aku bersaksi atau aku naik saksi. Terjemahan ini sudah
betul maknanya, sebab (شَاهِدٌ ) maknanya saksi. Sabda Nabi SAW ( لَا
نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ ) : Tidak sah nikah kecuali
dengan seorang wali dan dua orang saksi. Hanya saja umat Islam
barangkali banyak yang masih kabur tentang “ apakah makna aku bersaksi “
yang terletak didepan ( لَاإِلَهَ إِلَّا الله ) dan ( مُحَمَّدٌ رَسُولُ
الله ). Dan kerana perkataan ( أَشْهَدُ ) berasal daripada bahasa Arab,
maka kita hendaklah merujuk ke dalam kamus bahasa Arab, apakah makna
sebenar dari perkataan ( أَشْهَدُ ) : aku bersaksi itu.
4. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya “ Ushul Al-Da’wah “
terdapat lima makna bagi perkataan ( أَشْهَدُ ) iaitu 1. ( أَعْتَرِفُ ) :
Aku I’tiraf atau aku mengakui ; 2. ( أُقِرُّ ) : Aku berikrar atau aku
berjanji ; 3. ( أَعْتَقِدُ ) : Aku beri’tiqad atau aku berkeyakinan ; 4.
( أَعْلَمُ ) : Aku berilmu atau aku mengetahui ; 5. ( أُبَيِّنُ ) : Aku
menyatakan dalam bentuk sikap. Jadi apabila kelima-lima maknanya kita
masukkan dalam terjemahan Dua kalimah Syahadat, maka makna panjangnya
ialah sebagaimana berikut :
Aku mengakui, aku berjanji, aku berkeyakinan, aku mengetahu bahawa tiada
tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad
itu pesuruh Allah, dan selanjutnya aku nyatakan dalam bentuk tindak
tanduk dan perlakuanku dengan mentaati Allah dan Rasul-Nya dalam
kehidupanku.
5. ( أَعْتَرِفُ ) : Aku I’tiraf atau aku mengakui ; Jika seorang dokter
pakar sudah diiktiraf oleh masyarakat atau orang ramai maka biasanya
kita akan akur dan patuh dengan nasihat pakar tersebut. Nasihat pakar
akan dipatuhi kerana kepakarannya. Segala suruhannya akan kita lakukan
dan pantang larangnya akan dijauhi. Demikianlah sikap seseorang apabila
berhadapan dengan pakar. Tetapi sayangnya, mengapa umat Islam yang sudah
iktiraf atau membuat pengakuan terhadap Allah dan Rasul-Nya, kita lihat
masih tidak patuh kepada Allah dan Rasul-Nya, padahal Allah tidak
pernah berbuat salah dan Rasul-Nya pula maksum tidak pernah tersilap.
Sedangkan dokter walau bagaimanapun pakarnya, dia pasti pernah tersilap
menentukan obat bagi pesakitnya.
6. ( أُقِــرُّ ) : Aku berikrar atau aku berjanji ; Di antara janji kita
anak cucu Adam kepada Allah ialah tidak akan mematuhi syaitan sebab dia
adalah musuh kita yang nyata. Firman Allah : Bukankah aku telah
berjanji dengan kamu wahai anak cucu Adam agar kamu jangan menyembah
syaitan, sesungguhnya dia bagi kau adalah musuh yang nyata. ( Yasin : 60
). Malahan sejak alam roh lagi setiap insan telah berikrar bahawa Allah
adalah Tuhan mereka. Oleh itu, bukankah setiap janji wajib ditepati ?
Berapa banyak umat Islam yang telah mengucap Dua kalimah Syahadat tetapi
lalai mentaati Allah dan Rasul-Nya ? Bukankah mungkir janji itu salah
satu sifat orang-orang munafiq ?
7. ( أَعْتَقِدُ ) : Aku beri’tiqad atau aku berkeyakinan ; Perkataan
I’tiqad sama dengan perkataan aqidah iaitu simpulan yang kokoh dan kuat.
Jika simpulan tali tidak mudah dibuka atau dilerai, maka demikianlah
jika sesuatu itu sudah menjadi I’tiqad atau aqidah seseorang maka ia
tidak mudah goyang. Oleh itu, sampai dimanakah kesahihan keyakinan
seseorang jika tidak terserlah dalam tindakan apa yang emnjadi
keyakinannya ?
8. ( أَعْلَمُ ) : Aku berilmu atau mengetahui ; Antara makna saksi yang
paling utama adalah ilmu atau pengetahuan. Hubungan antara saksi dengan
ilmu sangat erat. Sebab seseorang pasti tidak mampu memberi sesuatu
penyaksian tanpa ilmu pengetahuan. Maksudnya : Setiap orang yang sanggup
untuk menjadi saksi bagi sesuatu kes di depan mahkamah tentu saja
mestilah mengetahui perkara yang akan dipersaksikannya. Jika dia sanggup
menjadi saksi hanya untuk membela kawannya, sedangkan dia sendiri tidak
tahu perkara sebenarnya, maka dia boleh digolongkan sebagai “Saksi
Palsu”. Oleh itu, jika anda telah meletakkan “ Aku bersaksi “ di hadapan
perkataan Allah dan Muhammad, anda perlu bertanya : Sudah sampai
dimanakan ilmu anda tentang Allah dan Muhammad ? Ataukah anda lebih
kenal riwayat hidup dan biodata pembesar-pembesar Negara di dunia ,
bintang filem atau penyanyi ?
9. ( أُبَيِّنُ ) : Aku menyatakan dalam bentuk sikap. Setelah membuat
pengakuan, janji, yakin, mengetahui siapa Allah dan Rasul-Nya lalu
diikuti pula dengan tingkah laku dan perlakuan seharian yang menunjukkan
ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Suruhan-suruhan-Nya akan
dilaksanakan dan larangan-larangan-Nya pula akan dihindari. Dalam hal
ini, berapa banyak umat Islam yang tidak mengotakan apa-apa yang sudah
mereka katakan ? Laa Haula Walaa Quwwata Illaa Billah.
10. Itulah sebabnya para ulama Aqidah sepakat mengatakan bahawa Rukun
Dua Kalimah Syahadat ada tiga. Iaitu : 1. Mengucapkannya dengan lidah ;
2. Membenarkannya dengan hati ; 3. Melaksanakannya dengan anggota.
Itulah sebabnya jika Dua kalimah Syahadat hanya sudah diucapkan dengan
lidah dan dibenarkan maksudnya di dalam hati tanpa ragu bahawa Allah
Tuhannya dan Muhammad Rasulnya, masih belum lagi terpenuhi rukun
syahadat jika dia tidak melaksanakan tuntutan Dua Kalimah Syahadat dalam
kehidupannya. Berapa banyak umat Islam yang mengucap Dua kalimah
Syahadat dengan fasih dan lancar serta faham pula maksudnya tetapi
suruhan Allah dan Rasul tidak diperbuat malahan masih banyak yang
bergelumang dengan maksiat.
11. Pendedahan ini tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan sesiapa.
Hanya mengharap kiranya menjadi bahan renungan bagi setiap muslim dan
muslimat. Sudah sampai dimanakah kita memenuhi tuntutan lima makna
syahadah dan sudahkah dipenuhi atau belum ketiga-tiga rukum Dua Kalimah
Syahadah ? Jika sudah sempurna Al-Hamdulillah, tetapi jika belum,
marilah kita sama-sama berusaha untuk menyempurnakannya selagi peluang
masih ada. Sebenarnya saya sudah menulis buku bertajuk : Hakikat Dua
Kalimah Syahadat, sejak tahun 1983 lagi. Ia adalah buku pertama yang
saya tulis sejak tiba di Malaysia mengingat betapa pentingnya tajuk
tersebut. Pendedahan ini hanya sekelumit kandungannya. Buku setebal 222
halaman yang sedang diulang cetak itu juga mengandungi syarat-syarat
Kalimat Tauhid dan perkara-perkara yang boleh membatalkan Dua Kalimah
Syahadat. Jika anda ingin mendapat ulasan lebih lanjut silakan baca buku
tersebut.
This entry was posted in Blog :
http://drabdullahyasin.com/2011/03/29/hakikat-dua-kalimah-syahadah/
No comments:
Post a Comment