Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan

Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan
Sesungguhnya Ulama' itu Pewaris Nabi
Showing posts with label hadis. Show all posts
Showing posts with label hadis. Show all posts

Friday, 2 December 2011

Waktu Asar, Isyak Dan Subuh

Hadith :
"Daripada Abu Barzah al-Islami r.a. katanya, "Rasulullah s.a.w telah bersembahyang Asar. Kemudian salah seorang daripada kami telah kembali ke tempat kediamannya dipinggir bandar ketika matahari masih cerah. Baginda Rasulullah suka mentakhirkan sembahyang isyak, dan baginda tidak suka tidur sebelumnya serta bercakap-cakap selepasnya, Baginda selesai menunaikan sembahyang subuh ketika seorang itu boleh mengenali orang yang duduk disebelahnya dan Baginda membaca 60 ayat sehingga 100 ayat al-Quran".
 
(al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Huraian
1. Seseorang hendaklah menyegerakan sembahyang Asar diawal waktunya

2. Sunat mentakhirkan sembahyang Isyak kepada 1/3 dari malam sekiranya tidak memberatkan sembahyang secara berseorangan atau berjamaah.
3. Makruh bagi seseorang tidur sebelum sembahyang isyak kerana takut terlupa atau terlewat daripada waktu.

4. Seseorang hendaklah segera menunaikan sembahyang subuh dan keluar dari masjid setelah terang.

5. Setelah selesai sembahyang subuh Rasulullah s.a.w membaca 60 ayat sehingga 100 ayat al-Quran.

Bertafakur

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun.”

 
Riwayat ad-Dailani
 
 
Huraian
i) Islam menyediakan suatu jalan yang sempurna untuk manusia beribadat.Di mana setiap aspek ibadat bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang.

ii) Ibadat bukan hanya himpunan amal seperti sembahyang, puasa, haji, doa dan sumpamanya tetapi apa jua perkara yang dilakukan dengan niat atau tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

iii) Ibadat terbahagi kepada 4 aspek iaitu:

a) ibadat akal-ia dicapai dengan cara berfikir, merenung, mengkaji sesuatu makhluk Allah serta memerhatikan keindahan dan keagungan ciptaan Allah S.W.T.
b) Ibadat jiwa- ia dilakukan dengan adanya sifat khusyuk, tawakkal, redha terhadap qadha dan qadar, bersyukur, ikhlas, cinta, belas kasihan, al-khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Tanpa sifat-sifat ini maka sesuatu ibadat itu dikatakan ibadat yang mati dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.
c) Ibadat badan – iaitu segala amalan anggota tubuh termasuklah segala gerak-geri seperti mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya. Termasuk juga segala perkataan dan perbuatan.
d) Ibadat harta- iaitu dengan cara mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, memberi nafkah dan mengorbankan harta fi sabilillah, bersedekah, dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai (wakaf).

Wudhuk

Hadith :
Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat.”
 
(Muslim)
 
 
Huraian
Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada enam rukun tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu daripada rukun itu, maka wudhuk dikira tidak sah. Rukun-rukun wudhuk ialah:-

1. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang ertinya "Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala".

2. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka yang dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri- disunatkan sebanyak 3 kali.

3. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air dari bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.

4. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. - 3 kali.

5. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah kanan dahulu. - 3 kali.

6. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.

Mati Dalam Perbuatan Syirik

Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:“Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara: Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua, atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ianya adalah seburuk buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari qiamat pada hal hari qiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya”
 
Riwayat Hadith At-Tarmizi
 
 
Huraian
1. Umat Islam dilarang menangguh-nangguh dan berlambat-lambatkan amal ibadat yang diamanahkan kepada mereka.
2. Kekayaan dan kemiskinan tidak menghalang seseorang itu menambah amalan untuk beribadat kepada Allah kerana kekayaan dan kemiskinanan merupakan satu dari ujian kehidupan.
3. Terdapat setengah golongan yang menjadi sibuk dan leka dengan kekayaan dan ada pula menjadi kufur disebabkan hidup menjadi fakir.

Menjauhi Syirik Dalam Segala Bentuknya

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yangkecil itu) ialah riak - Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu ( untuk menunjukan kepada meraka ), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"
 
(Mahmud bin Labid r.a)

Huraian
Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yangkecil itu) ialah riak - Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu ( untuk menunjukan kepada meraka ), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"