Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan

Tokoh Tokoh Ulama' Kelantan
Sesungguhnya Ulama' itu Pewaris Nabi

Monday 5 December 2011

SEJARAH RINGKAS NUSANTARA

Sebelum kedatangan Islam  di Nusantara,  penduduk  di Asia Tenggara  adalah terdiri daripada penganut fahaman Buddha Syinrawath ( Buddha Puja Dewa ). Pada ketika itu penganut-penganutnya  sudah  pun sedia mengamalkan perkara-perkara luar biasa  yang menyalahi  kebiasaan iaitu " Mencarik adat "  yang lahir  hasil daripada pemuJaan ‘ dewa-dewi’, jampi serapah atau yang seumpamanya. Keadaan ini berlaku adalah hasil daripada  pertolongan jembalang-jembalang yang terdiri daripada Jin  samada  dengan menjelma ke dalam diri pemujanya ( Tanasukh Aruah ), Istidraj, Sihir atau silap mata.  Semua amalan ini amat kuat  pengaruhnya  dalam kehidupan seharian  mereka pada waktu itu. Mereka mengabdikan diri  hanya kepada Dewa-Dewi semata-mata. Dalam konteks ini pegangan  fahaman beragama  adalah bersumberkan  daripada  Rahib-rahib yang dikatakan mendapat ilham dari tuhan dewa-dewi  samada Dewa Rama, Dewa Sita, Dewa Siva  dan yang seumpamanya.


Ketika Islam tersebar luas di Semenanjung Arab hingga ke Eropah  dan juga ke Asia, maka banyaklah  mubaligh-mubaligh  Islam dari kalangan  orang-orang Arab  dan bukan Arab yang  datang  membawa agama Islam ke sebelah Asia Tenggara  sebagai pedagang. Dari situ  Islam mula bertapak  dengan kuatnya di negeri-negeri bawah angin ini.
Gejala isma-isma  yang tidak sihat pada waktu itu  beransur-ansur hilang kegemilangannya bahkan di sesetengah tempat, umpamanya Acheh  isma-isma tersebut telah di benteras sehingga ke akar umbinya. Inilah hasil daripada tarbiah dan didikan  mubaligh-mubaligh  dan para Daei  Islam  yang benar-benar alim  lagi sufi. Kehadiran  mubaligh-mubaligh tersebut seumpama  membawa sirna kegemilangan dan kecemerlangan  kepada penduduk tempatan sehingga pada satu ketika  Acheh   mendapat jolokan sebagai Serambi Mekah.
Setelah sekian lama gejala pemujaan  jampi serapah hilang, akhirnya ia timbul semula setelah Portugis,  Belanda, Spanyol, Perancis, Amerika dan Inggeris berusaha menakluki  Asia Tenggara dengan memperkenalkan  agama Kristian di samping perdagangan  yang menyebabkan orang Islam  bangun menentang mereka. Pada suatu ketika  Belanda telah membunuh  lebih daripada 6,000 Ulama Islam di Tanah Jawa. Pada ketika itu ulama merupakan  tokoh pemimpin  yang utama dalam semua aktiviti  harian bermula dari aspek agama, sosial dan kemasyarakatan, ketenteraan  hinggalah kepada perubatan dan sebagainya. Mereka inilah  yang banyak memainkan peranan  penting dalam  menggerakkan penentangan  terhadap penjajahan barat, kerana merekalah yang terlebih dahulu  mengenali erti hidup beragama serta beramal dengannya, lebih dahulu merasai bahang campurtangan asing, lebih dahulu menghidu bau  najis  Mughalazah  penjajahan dalam kebudayaan, tipu daya pemerintahan dan tipu daya dalam ketenteraan dan sebagainya ke atas negerinya dan anak-anak bangsanya.


Akibat daripada peristiwa itu, maka saki baki pahlawan Islam yang hilang pedoman telah  cuba meneruskan perjuangan menentang Belanda dan Inggeris  dengan kekuatan  dan  keilmuan apa saja yang ada pada mereka asalkan mereka mampu. Dalam keadaan terdesak itu mereka berusaha memperolehi  daya kekuatan yang  yang luar biasa  melalui amalan-amalan cara hulubalang, wirid-wirid, jampi serapah dan yang seumpama dengannya,  melalui kaedah biasa dan setengah daripada mereka  melalui Uzlah ( bertapa dan riadah ), maka datanglah pula jembalang-jembalang  daripada Jin  samada Jin Islam atau   Jin Kafir  yang berhubung dengan mereka, dengan cara  Tanasukh Aruah ( penjelmaan  ke dalam diri ), istidraj, sihir atau silap mata  yang menolong mereka  menghasilkan hajat  mereka, yang pada sangkaan mereka  adalah malaikat-malaikat atau wali-wali atau Nabi Khaidir  yang telah datang berhubung dengan mereka.


Sementara itu  di Tanah Jawa timbul pula fahaman  Wahdatu Ujud  yang tidak dapat membezakan  di antara Wahdatul Ujud Marhumah  ( dalam bab Sufi )  dengan   Wahdatul Ujud Mazmumah ( dalam I’tiqad di panggil  Hulluliah, Mulhid, Zindik )   sehingga tertegaklah kerajaan  yang seumpama itu, iaitu kerajaan  Mataram. Fahaman ini  adalah hasil  daripada pengaruh Syiah.  Bermula dari sinilah  wujud semula  berbagai-bagai rupa  bentuk amalan kerohanian, wirid-wirid dan jampi serapah yang menyeleweng  dari aqidah  syari’at  Ubudiah Islamiah yang sebenar ke hadrat Allah seperti  yang dibentangkan  oleh ulama-ulama terdahulu yang mahir  dan ahli pada babnya di dalam kitab-kitab karangan mereka.
Terdapat juga dari golongan ini  yang memesongkan  amalan-amalan mereka  bagi kepentingan diri, dengan tujuan :


1. Langkah  mempertahankan diri bagi mendapatkan  kemegahan dunia
 ( hanya kepada bangsa semata-mata )
2. Amalan-amalan kebatinan dalam menuntut kemegahan.
3. Perubatan ( bomoh, tok pawang, tok bidan dan sebagainya )
4. Berlagak jadi tok sufi ( wali )  yang sentiasa mendapat jazbah  ketuhanan.

Dari sini merebaklah amalan -amalan karut yang mendapat kekuatan luar biasa daripada bantuan Jin-Jin. Maka ramailah  pahlawan-pahlawan  Melayu mengambil  amalan-amalan  ini  dengan tujuan untuk mempertahankan diri sendiri dan untuk menewaskan musuh di samping  untuk kepentingan masyarakat sekitarnya.  Akhirnya mereka  telah lupa kepada ajaran-ajaran  agama yang telah disampaikan  kepada mereka, lalu  mereka lebih  mementingkan  kekuatan material dan kebendaan semata-mata daripada kepentingan akhirat.  Lebih jahat lagi, mereka menjadikan adat resam keturunan  ke dalam syariat agama Islam sebagai satu amalan yang dimestikan, walaupun terang-terang amalan itu menyalahi ajaran Islam, samada dari segi Fiqh, Akidah,  dan  Akhlak.
 
 
 
 


 KEPERCAYAAN ORANG-ORANG MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM

Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, anutan masyarakat Melayu  pada ketika itu, boleh di bahagikan kepada tiga kumpulan agama yang terbesar iaitu :


1. Agama Buddha Puja Dewa
2. Agama Hindu Puja Dewi
3. Amalan orang-orang Asli. ( Animisme )

Orang-orang Asli sangat kuat berpegang kepada  berbagai-bagai kaedah pemujaan Jin sehingga Tok-tok Batin orang Asli di ukur akan kehebatan diri mereka, dengan had  ukuran panjang rambut di kepala  mereka.


Percantuman 3 puak ini samada melalui nikah kahwin atau seumpamanya menghasilkan suatu  kemantapan yang kukuh dalam adat resam dan istiadat  kebudayaan orang Melayu, di samping  membuahkan pelbagai rupa bentuk ilmu, amalan dan kaedah  pemujaan   dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu  perkara yang luar biasa dan mencarik adat, berlumba-lumba  untuk menjadi jaguh atau orang yang paling handal di kalangan mereka,  untuk bermegah-megah, gagah, orang yang paling berkuasa, orang yang paling di hormati, di segani dan sebagainya. 

(Lihat carta amalan-amalan Khurafat )
Islam datang ke Asia Tenggara samada melalui Negeri China, Yaman, Parsi atau India dan bertapak  kukuh sehingga lebih kurang 200 tahun sahaja. Selepas itu  masuklah pula  pengaruh agama Kristian melalui penjajahan kuasa-kuasa Barat. Manakala  di dalam masyarakat Islam  sendiri pula  telah di pengaruhi oleh pengaruh-pengaruh Rafidiah, Kharijiah, Qadariah, Jabariah  dan sebagainya sehingga menimbulkan  berbagai-bagai kefahaman dan aliran dalam mempraktikan  ajaran Islam. Keadaan ini menyebabkan sesetengahnya pula terjerumus kedalam gaung kesesatan berikut :

1. Bida’ah Dholalah yang Karohah dan Bida’ah yang haram dalam  Syariat
2. Berada dalam salah satu daripada 72 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab Aqidah.
3. Berada dalam salah satu daripada 13 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab Sufi
Daripada  pecahan di atas maka wujudlah  berbagai-bagai kelompok  masyarakat Melayu yang mempunyai fahaman dan amalan masing-masing . Dari situ lahirlah amalan-amalan  yang di panggil amalan "Kebatinan ´ atau  " Ilmu Hakikat " ( Ilmu Isi ) yang meninggalkan  amal syariat sehinggakan sembahyang hanyalah dengan niat sahaja. Puak-puak yang sesat ini dapat di lihat menerusi  amalan yang mereka lakukan dalam menunaikan ibadat kepada Allah.
Ringkasnya apa jua amalan yang tidak mengikut garis panduan Al-Quran, Hadis Rasullullah s.a.w, Ijma dan Qias adalah termasuk  dalam salah satu daripada fahaman-fahaman yang sesat daripada tiga kelompok besar di atas.


Jenis Amalan Beragama Orang-Orang Melayu Sebelum Islam.
Pada dasarnya amalan beragama orang-orang Melayu sebelum kedatangan Islam bolehlah dibahagikan kepada tiga kepercayaan yang besar iaitu :-
1. Orang-orang Melayu yang beragama  Buddha Puja Dewa
2. Orang-orang Melayu yang beragama Hindu Puja Dewi
3. Orang-orang Melayu yang berpegang  dan beramal dengan amalan orang-orang Asli. 


( Animisme )
Akibat dari  ajaran dan pegangan mereka itu  lahir dan wujudlah berbagai-bagai bentuk  kebudayaan dan adat resam  mengikut jenis agama dan kepercayaan yang mereka anuti. Kedatangan Islam  ke Nusantara  selepas itu telah berjaya  membasmi kepercayaan karut  dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Namun tidak  semua masyarakat Melayu yang  mahu meninggalkan  kepercayaan mereka secara keseluruhan dan sehingga ke hari ini,  kita masih dapat melihat  betapa amalan Khurafat itu masih  tegak dan tetap hidup  dalam adat resam  dan kebudayaan Melayu terutamanya dalam majlis perkahwinan, kematian, perbomohan dan perbidanan, latihan pertahanan diri dan sebagainya. Di samping itu  kepercayaan kepada benda-benda keramat seperti keris, kubur, pokok besar, batu dan sebagainya begitu kuat  sehingga dapat di lihat sesetengah  orang Melayu yang masih menjaga dan menyimpan dengan baik keris pesaka sejak turun temurun, yang dikatakan  sebagai  "Penjaga keluarga."


Kepercayaan seperti ini  ada hubungannya dengan asal-usul orang Melayu  yang kebanyakannya berasal dari Kepulauan Indonesia yang memang terkenal pada suatu masa dahulu  dengan adat dan kepercayaan Hindu serta Buddha. Walaupun Islam  mula bertapak di Mataram, Majapahit  dan seluruh Kepulauan Jawa namum sisa-sisa peninggalan  Hindu dan Buddha  masih kuat dalam pegangan  mereka.


Di  Semenanjung Malaysia  sendiri terdapat berbagai keturunan seperti Melayu, Bugis, Mendiling, Rawa, Jawa, Banjar, Petani, Siam dan sebagainya  dan terdapat juga  yang berasal  dari keturunan orang-orang Asli. Setelah memeluk Islam mereka telah membawa  adat resam masing-masing di dalam agama Islam. Walaupun  mereka berbeza dari segi suku keturunannya, namun mereka masih lagi  tidak terlepas dari adat resam  Hindu dan percampuran dengan adat dan amalan orang Asli.


Amalan-amalan kuno seperti puja tanduk lembu/kerbau, hantaran perkahwinan, sireh junjung, nasi tinggi, kelapa-garam-gula dan sebagainya, lenggang perut,  kenduri 40/100 hari selepas kematian, sembelih  ayam semasa buka gelanggang  latihan pertahanan diri, sangkak/ancak untuk jamu Jin dan sebagainya adalah  contoh amalan yang ada hubungan dengan pengaruh Hindu dalam adat resam orang-orang Melayu. Begitu juga adat resam, tingkah laku orang-orang asli sebelum  Islam di ambil sebagai  adat resam atau sebagai cara beragama yang mesti didahulukan, di tokok tambah lagi dengan redha dan lahapnya kita menerima  membabi buta pengaruh kebudayaan penjajah yang memang  merupakan suatu perancangan jangka panjang  Yahudi dan Kristian khasnya untuk membunuh keperibadian muslim  orang-orang Melayu yang berpegang teguh dengan agama Islam.


Sehingga kini amalan-amalan tersebut masih lagi hidup subur, walaupun telah berkali-kali seruan dakwah sampai kepada mereka  supaya meninggalkan amalan tersebut, namun bagi sesetengah daripada mereka itu telah beranggapan  bahawa adat-adat tersebut seolah-olah sebahagian daripada ajaran Islam yang mereka anuti. Maka dengan sebab itulah  mereka telah  mencampuradukkan  antara ajaran Islam yang suci ini dengan adat resam yang karut lagi menyesatkan itu, yang semata-mata mengikut khayalan, kebijaksanaan pemikiran dan  tahsinul ‘aqli   mereka  semata-mata sahaja..


Perkara Luar Biasa Yang Mencarik Adat
Allah telah menganugerahkan  kepada manusia khusus dan awam 8 perkara luar biasa yang mencarit adat   yang boleh berlaku ke atas manusia. Perkara luar biasa itu bolehlah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu, 4 perkara yang di puji dan 4 perkara yang di keji dan menyalahi ajaran Islam. Ramai daripada kalangan orang Islam sendiri yang terkeliru  tentang konsep dan perbezaan perkara-perkara tersebut, kadang-kala masyarakat tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana  mesti dijauhi. Bagi menjelaskan kekeliruan itu  maka diperturunkan serba ringkas tentang perkara-perkara tersebut, agar pembaca semua dapat membuat penilaian dengan sebaik-baiknya.


Empat Perkara Yang Di Puji

1.    Irhas.
Irhas ialah perkara luar biasa yang di anugerahkan oleh Allah kepada Nabi-Nabi dan rasul-rasul semasa baginda masih kecil. Contohnya seperti Nabi Isa boleh bercakap semasa baginda masih dalam buaian. Perkara ini tidak menjadi kekeliruan kerana Nabi dan rasul telah tiada  pada masa sekarang.

2.    Mukjizat.
Mukjizat ialah suatu perkara luar biasa  yang dikurniakan oleh Allah hanya kepada Nabi-Nabi dan rasulnya sahaja bagi melancarkan usaha rasul-rasul tersebut menyampaikan dakwah dan risalah Allah. Contohnya seperti  Mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh  memahami bahasa semua binatang.

3.    Karamah.
Karamah ialah suatu perkara luar biasa  yang Allah kurniakan  kepada orang-orang mukmin yang berakhlak rasul  dan benar-benar  berpegang dengan ajaran Islam zahir dan batin. Hal ini  adalah perkara biasa bagi Mereka. Karamah merupakan suatu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada  diri zahir dan batin  hamba-hambanya  yang arif tentang Allah (  Arifbillah ) .
Mereka ini adalah merupakan orang-orang yang alim  dan sentiasa beramal soleh. Mereka mahir sekurang-kurangnya  tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin,  Fekah dan tasauf  serta mereka sentiasa  beramal dengannya pada setiap masa dan kelakuan. Ikatan diri mereka  sentiasa dengan Allah tanpa dapat dipengaruhi oleh alam sekeliling. Mereka dimuliakan oleh ahli di langit dan diperhinakan oleh kebanyakan ahli di bumi.

4.    Maunah.

Maunah ialah  perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang mukmin awam yang soleh, yang apabila  di timpa sesuatu  musibah atau hal  ke atas dirinya, mereka terus melipat gandakan  pergantungan  dan keimanan kepada Allah serta memantapkanya melalui berbagai-bagai wirid, jampi dan doa serta amalan-amalan sunat yang lain.
Maunah ini  merupakan satu kemuliaan  yang Allah kurniakan  kepada  diri zahir dan batin  hamba-hambanya  yang  soleh. Mereka arif tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf tetapi  kemampuan beramal mereka adalah terhad. Apabila  berlaku  sesuatu hal  ke atas diri mereka  samada  mutlak dari Allah atau yang bersangkut paut dengan manusia, mereka terus melipatgandakan  pergantungan diri dan keimanan kepada Allah  serta memantapkan  lagi dengan berbagai-bagai  wirid, jampi, doa dan segala  amalan sunat. Mereka tidak merasa sedih atau  kecewa sekiranya permintaan mereka tidak ditunaikan oleh Allah.
 

Empat Perkara Yang Di Keji
Perkara luar biasa yang di keji oleh  Allah ialah perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang biasa  melalui pertolongan selain daripada Allah. Contohnya melalui pertolongan khadam-khadam yang terdiri daripada Jin dan Syaitan dan sebagainya. Perkara luar biasa jenis ini mestilah di jauhi oleh setiap orang Islam kerana ianya sesat dan menyesatkan. Perkara-perkara tersebut ialah :-

1.    Istidraj

Istidraj ialah  perkara luar biasa yang Allah kurniakan  kepada mereka yang berpura-pura beramal dengan amalan soleh, walaupun diri mereka mahir dengan fardhu ain, Usuluddin, fekah dan tasauf. Mereka berbangga  dengan perkara luar biasa yang berlaku ke atas diri mereka sedangkan  mereka mengetahui  punca sebenar datangnya  perkara luar biasa tersebut. Lazimnya golongan ini  terikat dengan perjanjian  serta  mewujudkan  pantang-larang yang selari  dengan hukum  syarak. Ini kerana  khadam-khadam mereka adalah  terdiri daripada  golongan  Jin Islam samada yang soleh, fasik atau terdiri daripada Jin yang  kafir.
Setiap amalan  wirid, jampi dan doa itu ada penjaganya (Khadam). Orang yang beramal dengan kaedah ini kebiasaannya  mempunyai suatu perasaan tidak baik yang telah tersemat dalam diri mereka. Antara matlamat mereka ialah :-

a) Ingin di puja.                                                         b)  Ingin dikunjungi oleh orang ramai

c) Cinta kepada pangkat dan kebesaran             d)  Ingin mendapatkan harta dan kuasa

Golongan khadam ayat dari golongan puak rohani alam rendah   memang dijadikan Allah untuk menyukakan golongan yang seumpama itu dengan beberapa perkara luar biasa. Mereka pada zahirnya kelihatan seperti orang yang  beriman  dan sentiasa menjaga syariat Islam serta berakhlak Rasul tetapi sebenarnya  mereka beramal dengan perkara-perkara kufur dan telah terjun  ke lembah kekufuran, samada mereka  sedari atau tidak.



Punca kesesatan golongan ini ialah apabila rohani-rohani alam yang rendah mengunjungi  mereka dalam tidur ataupun semasa jaga, dengan rupa  atas nama-nama  orang-orang soleh samada yang masih hidup ataupun yang  telah mati atau mereka membuat Tajalli ketuhanan. Lazimnya mereka dibebankan dengan beberapa syarat yang menepati hukum syarak untuk diamalkan sebagai syarat perjanjian persahabatan dalam semua kelakuan melalui lidah,  anggota dan hati, di semua tempat, waktu dan masa. Maka bermula  di saat itu  diri mereka berada di dalam Syirik Uluhiyyah  dan segala rupa bentuk amalan syariatnya tidak ada nilai di sisi Allah.



Mereka sebenarnya mengetahui dari mana datangnya  zahir perkara luar biasa pada perkataan, perbuatan dan kasad hati, tetapi mereka enggan meninggalkan amalan tersebut kerana  mereka ingin menjadi jaguh dalam bidang perubatan dengan mengadakan beberapa keajaiban dari berbagai-bagai jenis ubatan, kaedah perubatan dan sebagainya. Kadang-kadang melalui langkah mempertahankan diri. Mereka juga terjebak dalam permainan tunjuk kuat kebatinan  supaya mereka di anggap orang yang paling makbul doanya atau paling keramat. Jika dia seorang ulama, maka dia inginkan supaya di kunjungi, di puja  dan di hormati sebagai seorang  Ahlillah secara mutlak, sedangkan dalam masa yag sama dia akan terasa hina dan hilang kewibawaan sebagai ulama, jika tiada pada dirinya, nyata beberapa perkara yang luar biasa.



2.    Sihir.

Sihir ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan  kepada orang-rang Islam yang  durhaka (‘asi ) yang tidak faham aqidah, syariat dan ubudiah serta tidak beramal dengannya  dan orang-orang yang fasik. Sihir juga diberikan oleh Allah kepada  pendita-pendita bukan Islam samada Yahudi, Buddha, Nasrani, Majusi dan yang seumpama dengannya. Sihir ini terjadi  melalui pertolongan daripada rohani Jin Islam yang fasik dan Jin-Jin yang kafir melalui perjanjian tertentu. Kebiasaannya golongan ini  terikat  dengan perjanjian dan mengadakan  jamuan yang  harus dan haram di sisi Syarak. Mereka  mendapat perkara yang luar biasa ini adalah melalui pertolongan  kumpulan Jin  Islam  yang fasik  dan daripada Jin yang kafir.
Golongan orang Islam yang mendapat perkara luar biasa melalui kaedah ini selalunya sentiasa bergelumang dengan kejahatan dalam semua hal. Golongan ini sebenarnya Mulhid dan Zindik  dalam bab aqidah. Selalunya mereka  akan mengadakan berbagai cara atau upacara yang berselindung di sebalik ajaran Islam.  Antara  mereka yang termasuk dalam golongan ini ialah :-
a)  Kumpulan Hassan Anak Harimau
b)  Wali Suci
c)  Budi (Buddha) Suci
d)  Batin Sakti
e)  Hakikat Insan
f)  Pati Geni
g)  Fahaman Wahdatul Ujud dalam I’itiqad
h)  Baginda Mukhtar
i)  Lain-lain kumpulan yang tumbuh bagaikan cendawan  di negara ini.


3.    Silap Mata.

Silap Mata adalah perkara luar biasa  yang Allah kurniakan kepada orang-orang Islam yang fasik dan juga kepada orang-orang kafir, melalui pertolongan daripada Jin kafir. Oleh itu mereka juga terikat  dengan perjanjian  dan membuat perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak.


4.    Sya’wazah.

Sya’wazah  ialah  perkara yang di kurniakan oleh Allah, yang berlawanan sama sekali daripada kehendak asal. Kebiasaannya perkara ini Allah berikan kepada golongan yang angkuh daripada orang-orang kafir. Misalnya  apabila mereka meminta sesuatu yang baik, tetapi Allah kurniakan dengan sesuatu kejahatan yang berlipat ganda.
 
 
 
 



BALA TENTERA ALLAH

Allah mempunyai  bala tenteraNya yang tersendiri yang terdiri daripada sekelian makhluknya samada  daripada manusia, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang di lautan, daratan dan yang seumpama dengannya seperti angin, api dan segala carkawala di angkasa raya. Bala tentera Allah tersebut terbahagi kepada beberapa kumpulan yang akan diperintahkan oleh Allah untuk membantu manusia apabila dikehendakiNya.
Antara bala tentera Allah tersebut  adalah terdiri daripada :


A.    Bala Tentera alam atas yang terdiri daripada seluruh malaikat alam tinggi.

Bala tentera ini apabila diperintahkan oleh Allah untuk menolong para nabi dan rasul-rasul, maka pertolongan yang menzahirkan perkara yang luar biasa itu akan dinamakan sebagai Mukjizat. Manakala pertolongan yang menzahirkan perkara luar biasa yang terjadi kepada nabi dan rasul semasa kecil pula, dinamakan sebagai Irsad. Bentuk pertolongan tersebut samada  melalui lidah, anggota, kasad hati atau melalui ketiga-tiga bentuk tersebut secara sekali gus.
Jika mereka  menjadi penolong kepada ulama-ulama dan orang-orang soleh yang arif billah ( iman, syariat dan akhlak mereka menepati sebagaimana iman, syariat rasul zahir dan batin ) maka pertolongan tersebut dinamakan sebagai Keramat.
Perkara luar biasa yang berlaku kepada ulama-ulama dan orang-orang saleh  yang apabila, mereka di timpa bala dan musibah, maka mereka  melipat gandakan ubudiah dan pergantungan kepada Allah dengan penuh  ikhlas diri dan amalan mereka, maka perkara luar biasa tersebut dinamakan sebagai Maunah.


B.    Bala tentera Allah Alam rendah

Bala tentera  Allah alam rendah pula adalah terdiri daripada sekelian  rohani jin-jin Islam  yang soleh dan jin-jin Islam yang fasik dan kafir serta semua manusia dan makhluk Allah yang  lain yang menghuni alam ini, seperti haiwan, tumbuhan, angin, batu dan sebagainya
Manakala rohani Jin Islam yang alim dan soleh daripada alam rendah yang apabila diperintahlan oleh Allah  datang memberi pertolongan  kepada manusia yang  alim dan soleh yang  wujud dalam diri mereka itu sifat-sifat mazmumah, maka pertolongan tersebut dinamakan sebagai  Istidraj. Perkara luar biasa tersebut dinamakan sebagai istidraj kerana  rohani jin Islam  yang soleh tersebut akan mengenakan beberapa syarat  yang menepati hukum syarak sebelum memberi pertolongan tersebut.


Jika rohani jin  Islam yang fasik atau jin  kafir  diarah memberi pertolongan  kepada manusia Islam yang fasik atau manusia yang pura-pura beriman atau yang seumpama dengannya pula dinamakan sebagai sihir atau silap mata, kerana mereka mengenakan beberapa syarat yang harus pada hukum syarak.



Jika jin -jin yang kafir atau anak keturunannya diperintahkan memberi pertolongan  kepada manusia yang kafir yang terdiri daripada rahib-rahib, padri-padri, sami-sami atau yang seumpama dengannya, maka pertolongan tersebut dinamakan sebagai silap mata atau sihir peringkat tinggi, kerana mereka mengenakan syarat-syarat yang haram pada hukum syarak.

 
 
 



JIN

Makna Jin.
Jin  adalah satu nama jenis  dan dalam bahasa Inggeris di sebut Ginie  - perkataan tunggalnya  " Jinny "  yang bermaksud   yang tersembunyi, yang tertutup  atau  yang  gelap pekat.
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang Jin. Antaranya  :-
1. Surah Al-Hijr ayat 26 - 27 :
Yang bermaksud :  Dan sesungguhnya  Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat yang kering kontang yang berasal dari lumpur hitam yang di beri bentuk  dan Kami telah ciptakan Jin sebelum di ciptakan manusia  daripada api yang sangat panas.
2.  Surah Ar-Rahman ayat 15 :
Yang  bermaksud :  Dia ( Allah ) menciptakan Jann ( Jin )  dari nyalaan api ( Pucuk api yang menyala-nyala atau Maarij )
3.  Surah Al-‘Araf ayat 12 :
Yang bermaksud :  " Engkau ciptakan aku  ( kata Iblis )  dari api sedangkan ciptakan dia ( Adam ) dari tanah.
4.  Dari Hadis Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Muslim r.a
Maksudnya :  " Malaikat diciptakan  dari cahaya, Jaan diciptakan  dari lidah api sedangkan Adam diciptakan dari  sesuatu yang telah disebutkan kepada kamu  ( tanah ).


Asal Kejadian Jin.

Keterangan "Al-Maarij "
Maarij  bermaksud nyalaan api yang sangat  kuat dan sangat  panas bahangnya atau " Al-Lahab " iaitu jilatan api  yang sudah bercampur  antara satu sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru. Sesetengah ulama pula mengatakan  " Al-Maarij " itu ialah  api yang sangat terang yang memiliki  suhu yang amat tinggi sehingga bercampur antara merah,  hitam, kuning dan biru.


Sesetengah pendapat pula mengatakan Al-Maarij itu ialah  api yang bercampur warnanya dan  sama maknanya dengan " As-Samuun "  iaitu api yang tidak berasap tetapi sangat tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah jadikan Jaan.

Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud  pula menyatakan bahawa angin Samuun  yang dijadikan  Jaan itu  hanyalah  satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian angin Samuun yang sangat panas itu.


Dari api yang amat panas inilah Allah telah menciptakan Jin, iaitu dari sel  atau atom atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah masukkan roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah. Jin juga di beri izin oleh Allah  menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah s.a.w mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Jin juga  diperintahkan oleh Allah  menerima syariat Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia. Rupa bentuk Jin  yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya. Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan  dan perangai Jin adalah 90 peratus mirip kepada manusia.



Asal kejadian manusia  ialah campuran  daripada Jisim Kathif  iaitu tanah dan air, Jisim Syafaf  iaitu  campuran api dan angin dan Nurani,  iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang dinamakan   "Latifatur-Rabbaniah " sesuai dengan  manusia sebagai sebaik-baik kejadian  yang diciptakan Allah dan sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Manakala kejadian Jin pula  ialah campuran Jisim Syafaf  iaitu  campuran api dan angin dan Nurani  iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai  dan sepadan dengan kejadian Jin. Manakala mahkluk-makluk lain pula Allah  jadikan daripada salah satu unsur tersebut, contohnya, binatang yang dijadikan daripada campuran  Jisim Ksayif dan Jisim Syafaf  sahaja. Batu dan tumbuh-tumbuhan pula dijadikan daripada  Jisim Kasyif semata-mata.  Manakala  Malaikat  pula dijadikan daripada  Nurani semata-mata.



Cara pembiakan Jin.

Manusia memerlukan masa mengandung selama sembilan bulan untuk melahirkan zuriat  dan anak manusia juga memerlukan masa yang lama  untuk  matang dan menjadi  baligh.  Berbeza dengan Jin  di mana, apabila  di sentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan beranak dan anak Jin yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah keadaanya sehingga ke hari kiamat. Iblis pula  apabila menyentuh  paha kanan dengan paha kiri akan mengeluarkan 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu  apabila menyentuh  paha kanan dengan paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu. Begitulah proses pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat.

Bunian  atau lebih masyhur di kalangan orang-orang Melayu  dengan panggilan  orang Ghaib  pula ialah  hasil campuran  lelaki atau perempuan Jin  dengan lelaki atau perempuan dari kalangan  manusia. Anak yang terhasil daripada percampuran itu dikenali dengan nama  Bunian.  Perangai dan tingkah laku serta rupa bentuknya  orang Bunian ini  dalam  beberapa perkara  mengikut manusia dan dalam beberapa perkara pula mengikut Jin.


Jika asal usul datuk manusia ialah Nabi Adam, maka asal usul datuk Jin pula ialah " Jaan "   yang asalnya adalah beriman kepada Allah dan melahirkan keturunan yang beriman. Selepas itu terdapat pula dari keturunan Jaan  yang kufur dan melahirkan pula keturunan yang kufur. Anak cucu Jaan  yang asal beriman itu ada yang kekal  dalam iman dan ada pula yang kufur dan ada pula yang kembali beriman kepada Allah.


Agama puak-puak Jin.

Jin Juga seperti manusia, iaitu  ada yang baik, ada yang jahat, ada yang soleh, ada yang  tidak soleh, ada yang alim lagi mukmim,  ada  ada yang kufur, ada yang murtad, fasik dan zalim, ada yang masuk syurga dan ada yang dihumbankan oleh Allah ke dalam neraka di hari akhirat kelak.

Majoriti puak-puak Jin terdiri daripada  golongan Jin kafir. Golongan Jin kafir ini kebanyakanya beragama Yahudi, Kristian, Komunis dan sangat sedikit daripada mereka yang beragama Buddha dan Majusi. Terdapat juga golongan  Jin yang tidak beragama. Golongan  Jin  yang memeluk Islam hanyalah  sedikit bilangannya dan terdiri daripada  golongan manoriti jika di bandingkan dengan keseluruhan bilangan Jin.


Seperti juga manusia biasa, Jin juga berada  dalam  tingkat-tingkat iman, ilmu dan amalan yang tertentu berdasarkan kepada keimanan dan amalan  mereka kepada Allah. Antaranya ada  Jin Islam  yang bertaraf awam sahaja , Jin Islam yang di tingkat iman Khawas dan Jin Islam yang berada ditingkat iman yang Khawasil-Khawas.



Walaupun Jin Islam yang paling tinggi imannya dan paling soleh  amalannya serta paling luas serta banyak ilmunya , tetapi masih ada  pada diri mereka sifat-sifat  mazmumah  seperti takbur, riak,  ujub dan sebagainya, tetapi mereka  mudah menerima  teguran dan pengajaran. Mungkin inilah yang sering diperkatakan bahawa " sebaik-baik Jin itu ialah sejahat-jahat manusia yang fasik. " Tetapi yang berbezanya manusia yang paling jahat  susah menerima  pengajaran dan teguran yang baik.



Golongan Jin  Islam yang awam  dan Jin kafir suka merasuk  manusia yang awam dengan   berbagai-bagai cara, kerana pada pandangan mereka  manusia-manusia yang awam  itu bukanlah manusia sebenarnya, sebaliknya  adalah  rupa seekor binatang. Manusia  yang Khawas dan Khawasil-Khawas  tidak dapat di rasuk oleh Jin, bahkan Jin  pula akan datang kepada mereka untuk bersahabat.



Rupa Bentuk Jin.

Pada asasnya rupa bentuk Jin  tidaklah banyak berbeza daripada rupa bentuk  manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya, sepertimana yang di miliki oleh manusia. Pada dasarnya 80 hingga ke 90 peratus Jin menyerupai manusia. Cuma yang berbezanya  fizikal Jin adalah lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh  mereka  itu ada yang pendek, ada yang  terlalu tinggi dan ada bermacam-macam warna, iaitu putih, merah biru, hitam dan sebagainya. Jin yang kekal dalam keadaan kafir dan Jin Islam yang fasik itu mempunyai rupa yang huduh dan menakutkan. Manakala Jin Islam  yang soleh pula  mempunyai rupa paras yang elok.


Menurut sesetengah pendapat tinggi  Jin yang sebenarnya adalah kira-kira tiga hasta sahaja. Pengetahuan   mereka  lebih luas dan umurnya  tersangat panjang  dan ada yang beribu tahun umurnya. Kecepatan Jin  bergerak  adalah  melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Memandangkan Jin adalah terdiri daripada makluk yang seni dan tersembunyi, tidak zahir seprti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti  Malaikat,  maka ruang yang kecil pun boleh di duduki oleh berjuta-juta Jin dan ianya juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia.



Jumlah Jin terlalu ramai sehingga menurut sesetengah pendapat bilangannya ialah jumlah semua manusia  daripada Nabi Adam hingga ke hari kiamat  di darab dengan haiwan-haiwan, di darab dengan batu-batu, di darab dengan  pasir-pasir dan  semua tumbuh-tumbuhan. Itu pun baru satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Jin. Manakala  jumlah keseluruhan Jin ialah satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Malaikat. Jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang lebih mengetahuinya.



Alam kediaman Jin  ialah di lautan, daratan,   di udara dan  di  Alam Mithal  iaitu suatu alam  di antara alam manusia dan alam malaikat.  Jika di berikan oleh Allah  kepada kita melihat Jin,  sudah tentulah kita akan melihat jarum yang dijatuhkan dari atas  tidak akan jatuh ke bumi , tetapi hanya jatuh  di atas belakang Jin, disebabkan terlalu banyaknya jumlah mereka.

Sebab  itulah  orang-orang tua kita selalu berpesan supaya anak-anak segera balik ke rumah apabila telah tiba waktu maghrib dan pintu serta tingkap rumah mesti di tutup, supaya tidak dimasuki oleh Syaitan dan Iblis. Sebagaimana sebuah Hadis yang telah diriwayatkan oleh   Imam Bukhari  daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Apabila  kamu menghadapi malam  atau kamu telah berada  di sebahagian malam maka tahanlah anak-anak mu kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran ketika itu dan apabila berlalu sesuatu  ketika malam maka tahanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu rumahmu serta  sebutlah nama Allah, padamkan lampu-lampu mu  serta sebutlah nama Allah, ikatlah minuman mu serta sebutlah nama Allah dan tutuplah sisa makanan mu  serta sebutlah nama Allah ( ketika menutupnya ) "


Hadis di atas bermaksud bahawa Jin dan Syaitan  akan tidur di waktu siang dalam cahaya dan sinar sehingga menjelang petang, di mana pada waktu itu mereka  berkeliaran mencari rezeki dan makanan, baik lelaki maupun perempuan, samada yang dewasa atau kanak-kanak.



Melihat Jin.

Pada prinsipnya Jin tidak  boleh di lihat, di sentuh dan di dengar  oleh manusia  dalam bentuk yang asal  sebagaimana ianya diciptakan, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu, Jin boleh di lihat dalam rupa bentuk  yang  diingininya. Jin juga boleh di lihat oleh manusia  dalam keadaan sihir atau  ketika meminum air sihir atau melalui  kemahuan Jin itu sendiri untuk  memperlihatkan dirinya kepada manusia.


Di dunia  semua Jin boleh melihat manusia manakala manusia yang Khawas dan Khawasil-Khawas  sahaja yang boleh melihat Jin selain daripada para Nabi dan Rasul. Manakala di akhirat pula  semua manusia mukmin yang ahli syurga  boleh melihat Jin manakala Jin yang Khawas dan Khawasil-Khawas sahaja  yang boleh melihat manusia.



Antara kelebihan  Jin yang telah diberikan oleh Allah  ialah kemampuannya untuk mengubah dirinya dalam berbagai bentuk dan rupa. Contohnya dalam peperangan Badar,  Iblis telah menampakkan dirinya  dalam bentuk seorang lelaki  dari Bani Mudlij   dan Syaitan pula  dalam rupa  Suraqah bin Malik   yang datang membantu tentera musrikin memerangi tentera Islam. ( Iblis dan Syaitan adalah juga merupakan sebahagian daripada golongan Jin ).



Dalam  Sahih Bukhari  juga ada meriwayatkan bahawa adanya Jin  yang menampakkan dirinya  dalam bentuk seekor ular  dan membunuh seorang pemuda yang cuba membunuh ular tersebut. Di samping itu Jin juga boleh menampakkan dirinya dalam rupa bentuk  haiwan yang lain seperti rupa bentuk kucing, anjing  dan sebagainya.



Kumpulan-kumpulan Jin.

Jin juga seperti manusia  yang inginkan keturunan  dan hidup berpuak-puak. Puak dan kumpulan Jin  terlalu banyak dan bercakap  dalam berbagai-bagai loghat dan bahasa.  Ada sesetengah ulama membahagikan  Jin kepada  beberapa kumpulan, antaranya kumpulan yang  menunggu kubur, kumpulan  yang menunggu gua, kumpulan yang menunggu mayat manusia, kumpulan  yang menunggu  hutan rimba, kumpulan yang menunggu  bukit bukau, kumpulan yang menunggu air mata air, kumpulan yang menunggu tasik, kolam, teluk, kuala, pulau  dan sebagainya.


Jenis-jenis Jin

Sama seperti manusia Jin juga  terdiri dari pada berbagai jenis atau bangsa, antara yang tersohor ialah :-

1. Iblis Bapa dan pujaan kepada semua  jenis Jin, Iblis dan  Syaitan..

2. Asy-Syaitan Syaitan-syaitan
3. Al-Maraddah Peragu-peragu ( pewas-was )
4. Al-Afrit Penipu-penipu
5. Al-A’waan Pelayan-pelayan
6. Al-Tayyaaruun Penerbang-penerbang
7. Al-Ghawwaasuun Penyelam-penyelam
8. At-Tawaabi Pengikut-pengikut ( pengekor )
9. Al-Qurana Pengawan-pengawan
10. Al-Ummaar Pemakmur.


Gelaran-gelaran Jin dalam istilah orang-orang Melayu.

Jin menurut orang-orang Melayu  mempunyai beberapa  nama dan gelaran menurut perwatakkan dan rupa bentuk  penjelmaan mereka.  Kebanyakan  nama Jin-Jin  itu  dimulai dengan  hantu. Hantu-hantu tersebut sebenarnya adalah terdiri daripada golongan Jin, cuma di kalangan orang Melayu,  menganggap hantu itu adalah makhluk yang berbeza daripada Jin. Antara  Jin-Jin yang popular di kalangan  orang-orang Melayu ialah :

a.  Hantu Raya                    j.   Hantu Pontianak           s. Hantu Polong
b.  Hantu Toyol                   k.  Hantu Langsuir              t. Hantu Penanggal
c.  Hantu Pelesit                  l.   Hantu Air                      u. Hantu Bukit
d.  Hantu Kubur                 m.  Hantu Pari                     v. Hantu Punjut
e.  Hantu Jerangkung        n.  Hantu Laut                     w. Hantu Bawah Tangga
f.  Hantu Galah                   o.  Jin Tanah                       x.  Hantu Kum-Kum
g.  Hantu Bungkus             p. Hantu Pocong                y. Hantu mati di bunuh
h.  Hantu Bidai                   q. Hantu  pari-pari              z. Hantu Kopek ( Tetek )
i.  Harimau Jadian              r. Jembalang Tanah         zz. Hantu Tengelong


Kerajaan-kerajaan Jin.

Jin juga mempunyai pemimpin dan kerajaannya yang tersendiri. Antara Raja Jin  alam bawah yang kafir ialah seperti Mazhab, Marrah, Ahmar, Burkhan, Syamhurash, Zubai’ah dan Maimon. Empat  raja Jin Ifrit ( Jin yang paling jahat ) yang mempunyai kerajaan  yang  besar yang menjadi menteri kepada Nabi Allah Sulaiman a.s ialah Thamrith, Munaliq, Hadlabaajin dan Shughal. Manakala Raja Jin Alam atas yang Islam pula ialah Rukiyaail, Jibriyaail, Samsamaail, Mikiyaail,  Sarifiyaail, ‘Ainyaail dan Kasfiyaail. Raja Jin yang mengusai kesemua Jin  tersebut bernama THOTHAMGHI YAM YA LI.. Manakala  Malaikat yang mengawal kesemua  Jin-Jin di atas  bernama Maithotorun  yang bergelar  QUTBUL JALALAH.

Anak-anak Iblis juga mempunyai kerajaan  yang besar antaranya :-

1.  Thubar Merasuk manusia  yang di timpa musibah dan  bala
2.  Daasim Merasuk manusia untuk menceraikan ikatan  silatulrahim, rumah tangga, keluarga, sahabat  handai,  jemaah dan sebagainya.
3.  Al-‘Awar Merasuk manusia supaya  meruntuhkan akhlak,  berzina, minum arak, liwat, berjudi dan sebagainya
4.  Zalanbuur Merasuk manusia dengan api permusuhan dan  pembunuhan.


Antara Jin, Ifrit dan Syaitan serta Iblis.

Jin, Ifrit, Syaitan dan Iblis adalah merupakan  sebahagian daripada golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin sebagaimana yang telah diterangkan di atas ialah sejenis mahkluk Allah yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan  sangat panjang usianya. Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin  yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati  terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah.


Iblis dan Syaitan juga  terdiri daripada golongan Jin dan mereka  merupakan  golongan Jin yang  sangat sombong  lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah sehingga ke hari kiamat. Sebagaimana   Firman Allah yang bermaksud :



" Iblis menjawab :  Sebab engkau  telah menghukum saya dengan tersesat, saya akan menghalang halangi mereka dari jalan  Mu yang  lurus. Kemudian saya  akan mendatangani mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan  dan kiri mereka. Engkau tak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur ( taat )."



Sesetengah ulama  berpendapat bahawa  Azazil  itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya  beliau merupakan  satu Jin yang paling  abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya  berbanding dengan manusia ( Adam ). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah telah  melaknatnya menjadi kafir  dengan nama  Iblis.



Bermula dari saat itulah Iblis  melancarkan gerakan permusuhan  dengan manusia sehingga ke hari kiamat. Allah  telah menjelaskan bahawa  terdapat tiga  jenis permusuhan dilakukan oleh Jin ke atas manusia iaitu :



1.  Melalui Kejahatan (  As-Suu’ )  : iaitu  berkenan dan gemar kepada  dosa-dosa dan maksiat hati  dan segala anggota tubuh badan.

2.  Kekejian ( Al-Fahsyaa’ )  : iaitu kejahatan  yang lebih buruk dan  jahat lagi. Kekejian ini adalah sebahagian daripada perkara  yang membawa kepada kedurhakaan dan maksiat kepada Allah.
3.  Melalui pembohongan dan menipu Allah melalui perbuatan, perkataan dan nawaitu.


Bersahabat dengan Jin.

Ramai di kalangan orang-orang  Melayu yang bersahabat dan menjadikan Jin sebagai pembantu dan Khadam mereka dalam membantu mereka melaksanakan tugas-tugas yang tertentu.  Contohnya seperti Tok Bomoh, Tok Pawang, Tok Dukun, Tok Mudim, Mak Bidan,  Mak Andam, Tukang Urut, Panglima, Hulubalang,  Tok Guru latihan pertahanan diri dan sebagainya. Walaupun begitu tidak semua golongan di atas yang menggunakan Jin dalam kerja-kerja harian mereka. Tidak dinafikan terdapat juga golongan tersebut yang benar-benar mempunyai kemahiran semulajadi tanpa pertolongan dari Jin.


Menurut Sheikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani dalam kitabnya Yawaqitu Wal Jawahir,  bahawa bersahabat dan  bersekedudukan  dengan Jin itu sangat keji. Katanya lagi  "  Barang siapa memilih dan melebihkan sekedudukan  dengan Jin daripada bersekedudukan dengan ulama, maka orang itu  sangat jahil. Kerana yang lebih  biasa bagi Jin itu  adalah perbuatannya  dan perkataannya berlebih-lebihan dan  dusta  jua seperti  kelakuan manusia yang fasik. Maka orang  yang berakal  lari ia daripada bersahabat  dan bersekedudukan dengan  Jin, seperti larinya daripada bersahabat dan bersekedudukan  dengan manusia yang fasik."

Tambahnya lagi : " Tidak sekali-kali aku melihat  seseorang yang bersekedudukan dengan Jin itu  beroleh  kebajikan  kerana asal kejadian Jin itu adalah daripada api dan api itu sangat  banyak geraknya. Dengan banyak gerak itu datanglah berlebih-lebihan  perbuatan dan perkataan orang itu.


Syeikh Muhyuddin Arabi dalam kitabnya  Futuhat  pula menjelaskan : " Adalah orang yang bersekedudukan ( bersahabat )  dengan Jin itu tidak beroleh ilmu kerana Allah. Kerana Jin itu sangat jahil akan Allah dan sifat-sifatNya.



Kadang-kadang  orang yang bersahabat denagan Jin itu menyangka  semua perkara yang dikhabarkan  dan di beritahu oleh Jin itu adalah  daripada perkara yang berlaku  di dalam alam itu adalah Karamah  daripada Allah Taala. Sebenarnya sangkaan mereka tersebut adalah tidak benar  sama sekali. Kerana segala pemberian Jin kepada manusia  tentang khasiat tumbuh-tumbuhan, khasiat batu permata, akar kayu dan segala khasiat Isim dan huruf itu adalah  merupakan salah satu bidang dalam ilmu Kimia semata-mata yang juga boleh di pelajari dan diketahui oleh  manusia.



Kata Syeikh Muhyuddi Arabi lagi : "  Sesungguhnya ramai orang yang bersahabat dengan Jin  akan menjadi takbur dan sombong dengan kelebihan yang dimilikinya itu. Sifat takbur merupakan salah satu sifat yang paling di murkai oleh Allah dan akan dimasukkan ke dalam Neraka seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran dan Hadis RasulNya.

Ringkasnya kita sebagai  seorang Islam di tegah daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan  para Jin samada Islam maupun Jin kafir kerana keburukannya lebih banyak jika dibandingkan dengan kebaikan yang akan kita perolehi. Jin akan sentiasa merasuk dan mendorong  manusia supaya melakukan kejahatan dan maksiat tanpa kita sedari.


Masuknya Jin  Kedalam Tubuh Manusia.

Jin boleh merasuk dan masuk ke dalam diri manusia  dengan  berbagai-bagai cara dan manusia yang mengunakan  khidmat Jin untuk melakukan pengkhianatan  kepada manusia lain pun melalui berbagai cara. Sebagaimana sebuah Hadis  Rasulullah  s.a.w  yang telah diriwayatkan oleh  Sayidah  Syafiyyah binti Huyay , bahawa  Rasulullah  pernah bersabda  yang maksudnya : "  Sesungguhnya Syaitan ( Jin )  itu berjalan dalam tubuh anak Adam sebagaimana  darah yang mengalir dalam tubuhnya ".
Dari Hadis di atas jelaslah bahawa  Jin  dapat masuk kedalam tubuh badan manusia dan terus sampai ke urat nadi dan darah manusia. Jin  dapat berjalan  dalam tubuh manusia  seperti arus eletrik mengalir dalam kabel penyalurnya. Jin   juga dapat menguasai  manusia sehingga  ia dapat menimbulkan perkelahian  sesama manusia, manusia kehilangan ingatan, hilang daya kemahuan dan kesedaran dan lain-lain lagi.

Jin  boleh memasuki badan manusia samada di pinta sendiri oleh  manusia atau tanpa di sedari oleh manusia itu sendiri.  Jin  mendampingi dan memasuki manusia melalui salah  satu


cara yang berikut. Antaranya

1.  Melalui  Khadam  atau  manusia itu sendiri menjadikan  Jin  sebagai sahabatnya.
2.  Melalui  " saka Baka "
3.  Melalui  Sihir  yang di lakukan oleh manusia lain ke atasnya.
4.  Kerana  manusia itu sendiri lalai dari mengingati Allah atau melakukan  perkara perkara yang di larang oleh Allah, bererti mendekatkan diri  untuk di kuasai oleh Jin dan  Iffrit.
5.  Melakukan kejahatan  terhadap  Jin  tertentu seperti  menjatuhkan sesuatu benda berat  di sesuatu tempat  yang ada Jin,  tanpa menyebut nama  Allah  sehingga        menyebabkan kematian anak  Jin,
6.   Kerana adanya  Jin  lelaki yang  jatuh cinta  kepada seorang perempuan  yang suka bersolek  atau wanita-wanita  yang suka keluar rumah untuk memperlihatkan kecantikannya dan tidak memakai tudung serta suka mendedahkan aurat.
7.  Melalui pengamalan  jampi serapah, doa dan ayat-ayat tertentu yang boleh mendatangkan  Jin .


Apabila telah memasuki badan manusia, walau dengan apa cara sekali pun  Jin  tersebut   akan mendiami salah satu tempat  berikut di anggota tubuh badan manusia. ( walaupun mereka bebas bergerak-gerak dalam badan manusia ) Antara tempat-tempat tersebut ialah  :


1. Mereka berkumpul  di mata kanan dan kiri. Sebab itulah jika seseorang itu membela  atau telah dimasuki  Jin  dalam badan mereka, mereka tidak berani bertentang mata dengan orang lain.
2. Berada di telinga kanan dan kiri, dengan itu manusia yang telah terasuk  Jin  tidak suka mendengar nasihat  dan teguran yang baik serta amat suka mendengar perkara-perkara maksiat seperti muzik yang melalaikan dan sebagainya.
3. Berada di mulut manusia, dengan itu manusia yang telah di masuki  Jin  amat suka bercakap benda-benda yang tidak berfaedah dan mendatangkan dosa seperti mengumpat, melaga-lagakan manusia lain dan sebagainya.
4. Berada di hidung manusia, menyebabkan manusia suka menghidu benda-benda yang tidak elok dan boleh merosakkan diri manusia sendiri.
5. Berada  di ari-ari ( pusat ), menyebabkan  orang tersebut sentiasa mengalami sakit dalam perut dan  pelbagai penyakit yang tidak boleh di kesan oleh doktor
6. Berada di kemaluan manusia, menyebabkan manusia suka melakukan perkara-perkara maksiat seperti berzina dan sebagainya.


Manusia yang selamat dari ganguaan Jin , Iblis dan Syaitan adalah manusia yang sentiasa  berada dalam Tauhid ( mengesakan ) Allah, melalui lidah, anggota dan hati, mereka juga berakhlak dengan akhlak Rasulullah serta beramal dengan syariat Islam. Jalan paling dekat  untuk berada dalam tauhid Allah ialah  dengan kita  mengambil contoh perbuatan  dan kelakuan  mereka yang setiap waktu dan masa berada dalam tauhid Allah, seperti Nabi Muhammad, sahabat-sahabat baginda, para ulama  dan sebagainya. Dengan itu Insyaalah akan menyampaikan diri kita  zahir dan batin  berada dalam tauhid Allah di semua tempat, waktu  dan masa melalui anggota, lidah dan hati sebagaimana mereka, iaitu selamat daripada  gangguan  para Jin, Iblis dan Syaitan atau seumpamanya.


Kata Ulama :  " Kun Ma’Allah fain lam takun ma’Allah, fakun Ma’a man ma’Allah fainnahu yusiluka illallaah "

Maksudnya : "  Hendaklah  jadikan diri kamu bersama Allah, maka jika kamu tidak boleh jadikan diri kamu bersama Allah hendaklah kamu jadikan  diri kamu  bersama dengan mereka yang telah beserta dengan Allah, maka sesungguhnya  yang demikian itu akan menyampaikan diri kamu kepada Allah "



Diri manusia mukmin yang menjadi kekasih Allah itu adalah seumpama   kalbu Alam  atau  jantung alam  atau  pusat alam  yang dikurniakan  oleh Allah daya atau kuasa graviti mengikut darjah ketinggian imam, ilmu dan amalan  mereka di sisi Allah. Diri-diri yang lain hanyalah di bawah atau di dalam kuasa atau graviti mereka.

 
 
 
 



KHADAM

Khadam ialah pembantu  atau orang suruhan yang akan membantu tuannya apabila di minta. Khadam pada asasnya terbahagi kepada dua golongan, iaitu :


1. Khadam Asal.
Khadam asal adalah terdiri daripada rohani  Malaikat  dan Jin Islam  peringkat tinggi yang nama mereka adalah seperti nama malaikat. Ia tidak mendatangkan apa-apa syarat kepada ahlinya untuk berkhidmat. Khadam jenis ini adalah diharuskan oleh syarak.

2.  Khadam Bersyarat.

Khadam jenis ini adalah terdiri daripada Jin alam rendah  samada terdiri daripada  Jin Islam  atau   Jin kafir. Golongan ini datang kepada ahlinya dengan perjanjian  dan beberapa syarat khusus dan umum, samada yang bertepatan dengan hukum syarak ataupun yang diharamkan oleh syarak. Khadam jenis ini adalah diharamkan oleh Islam.
 Khadam bersyarat ini akan datang menolong  ahlinya dengan  melalui salah satu daripada  cara  berikut :-
 
1. Dampingan Luaran.
Khadam ini akan mendampingi dan menolong  tuannya melalui luaran sahaja, iaitu hanya melalui perbuatan, ucapan atau qasad hati.

2.  Dampingan Dalaman.

Khadam jenis ini juga dikenali sebagai Tanasakhul Aruah  atau penjelmaan khadam atau Jin  dalam diri seseorang (menurun) dengan menamakan diri mereka, semasa menurun dengan nama-nama tertentu seperti Nabi Khaidir, Panglima Hitam, Wali Songo  dan sebagainya.  Jin yang meresap melalui cara ini  membolehkan  orang yang diresapi itu menunjukkan keajaiban dan perkara-perkara yang luar biasa  seperti bercakap dalam  bahasa Siam, Jawa, Arab dan sebagainya sedangkan  sebelum itu orang tersebut tidak mengetahui sedikit pun bahasa-bahasa tersebut.

Punca Lahir Dan Berkembangnya  Amalan-Amalan Karut.

Dari situ amalan Jahiliah mula bertapak semula dan ianya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi  yang lain sehingga ke hari ini dan seterusnya jika tidak di benteras akan berterusan hingga ke hari kiamat. Amalan yang ada  hubung kait dengan  puak Jin alam rendah  ini pun berpindahlah dari satu jasad  ke satu jasad yang lain pada anak cucu cicit  pengamal tersebut, yang mana ianya di panggil " SAKA-BAKA "  atau  " DATUK-NENEK ".
Kebiasaannya kesinambungan ini terjadi  dengan anak atau keturunan mereka  di suruh menggantikan  tempat datuk nenek mereka  setelah menerima isyarat-isyarat samada melalui mimpi seperti datangnya seorang tua  berjubah putih atau orang tua yang berpakaian hitam atau yang menyerupai datuk nenek mereka yang pada hakikatnya adalah jelmaan daripada Jin, yang menyuruh  mereka mewarisi ilmu kedukunan, ilmu latihan pertahanan diri,  ilmu perbidanan dan sebagainya atau melalui  perjanjian yang di terima  daripada ibu atau bapanya sebelum mereka meninggal dunia.  Bagi anak cucu yang menerima amalan dari datuk nenek mereka,  mulailah mereka mematuhi syarat-syarat atau juga di kenali sebagai " Jamu Jin " yang telah ditetapkan  itu, mengikut jenis  Jin yang mereka sahabati tersebut, antaranya :-

Syarat dan Alatan Jamu Jin.

Jika Jin Islam yang soleh dari Alam Rendah.
Antara syarat-syaratnya yang biasa ialah syarat yang  tidak bertentangan dengan hukum syarak yang wajib seperti, tidak boleh meninggalkan sembahyang  lima waktu, tidak boleh meninggalkan puasa Ramadhan, patuh dan taat kepada kedua ibu bapa, mesti berbuat baik kepada orang tua, tidak boleh makan dan minum benda-benda yang haram, tidak boleh berjudi dan sebagainya.

Pada zahirnya  syarat ini nampak baik kerana melaksanakan syariat Allah, tetapi  yang menjadi kesalahan pula ialah, ketaatan  ini berlaku setelah seseorang itu mengikat janji dengan khadam itu  untuk menunaikan hajatnya setelah  semua perintah  tersebut dilaksanakan dengan sempurna.

Jika Jin Islam yang fasik.


Antara syarat perjanjian yang mesti dipatuhi ialah  terdiri daripada perkara-perkara yang harus di sisi syarak seperti, nasi kuning, ayam panggang, bertih, telur separuh masak, darah ayam hitam, kain yang berwarna, bubur merah ( bubur kacang hijau yang di masak dengan gula merah ), bubur putih, bertih yang di tabur di atas telur dadar, tidak boleh lalu di bawah penyidai kain,  memakai pakaian khas seperti warna hijau atau kuning dan sebagainya.
Biasanya  majlis tersebut diiringi dengan bacaan tahlil dengan menjemput orang ramai kemajlis itu. Meski pun kerja ini baik namun tujuan jamuan itu diadakan  adalah bagi memenuhi perjanjian dengan khadam. Perkara dan syarat inilah yang menjadi kesalahan di sisi syarak.
Jika Jin yang kafir.

Syarat perjanjian yang mesti dipatuhi jika khadamnya terdiri daripada Jin kafir  ialah melibatkan perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak seperti, ayam hitam yang di sembelih dengan bulu dan darahnya tidak di buang ( semua  bulu-bulu dan isi perutnya tidak boleh di buang merata-rata, di panggang dan diletakkan tertiarap di atas pulut kuning atau pulut putih ), kemian yang di asap untuk memanggil Jin, senjata keturunan seperti keris, lembing, pedang untuk di puja dan sebagainya, darah kambing, semah,   sangkak, ancak, upih  dan sebagainya.



Kebiasaanya upacara seperti ini hanya dilakukan untuk keluarga sahaja atau berseorangan dengan di iringi  dengan bacaan serapah, jampi, doa atau kadang kalanya bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Selepas itu samada " Jamu " itu di beri makan kepada keluarganya atau diletakkan di suatu tempat seperti di bawah pokok besar atau di mana yang diarahkan kononnya untuk makanan roh datuk nenek.


Akibat Mematuhi Perjanjian.

Dari saat orang yang berkenaan membuat perjanjian,  mulailah mereka mematuhi syarat dan perjanjian itu samada dengan mematuhi segala hukum syarak atau mengadakan  " Jamu "  untuk khadam-khadam tersebut bagi menjaga kepentingan ( amalan keturunan )  dan menjaga  keselamatan  diri mereka  dan kaum keluarga daripada di ganggu oleh jembalang-jembalang keturunan yang pada sangkaan mereka adalah terdiri  daripada  ruh datuk nenek mereka.
Setelah persetujuan di terima atau persetujuan secara keturunan di buat ( melalui zuriat ) terjadilah   perkara-perkara yang  luar biasa  ke atas orang yang membuat perjanjian tersebut,


antaranya :

1.  Tidak sedarkan diri selama beberapa hari , setelah sedar mereka  boleh bersyarah tentang agama atau terus boleh  mengubati orang sakit  yang pelik-pelik dan sebagainya.
2.  Mereka boleh mengadakan dan mewujudkan  barang-barang seperti kemian yang di dalamnya terdapat  cincin atau batu permata atau dapat mengambil barang-barang  yang di tanam oleh orang tanpa pergi ke rumah tersebut dan sebagainya.
3.  Boleh dan mahir latihan pertahanan diri walaupun sebelum ini beliau tidak pernah belajar apa-apa jenis latihan pertahanan diri.
4.  Boleh menjadi Tok Bidan   bagi menolong  orang perempuan yang hendak bersalin.
5.  Boleh menjadi  Tok Dukun  atau  Tok Pawang yang boleh menurun /  menyelap dengan mendakwa dirinya sebagai  Nabi Khaidir, Syeh Abdul Kadir Jailani, Panglima Hitam, Wali Songo  atau  Tok Hijau  dan sebagainya.
6.  Boleh menjadi  Tok Keramat  yang mahir dan boleh bercakap tentang ilmu-ilmu agama dan mampu melakukan perbuatan yang pelik-pelik dan luar biasa  seperti berjalan di atas air, ghaib dan sebagainya.
7.  Sesetengahnya jika penerima tersebut adalah perempuan, maka beliau akan disetubuhi terlebih dahulu oleh Jin (khadam ) tersebut sebagai tanda perhubungan telah terjalin.
Semua kelakuan dan kebolehan tersebut mengikut apa yang telah mereka warisi daripada perhubungan dengan khadam-khadam yang terdiri samada Jin Islam atau Jin kafir. Setelah perjanjian  dipersetujui mulalah mereka mengadakan upacara-upacara tertentu  sebagai pemujaan terhadap khadam tersebut, seperti mengadakan majlis jamuan  atau tahlil setahun sekali dan di arah mengunjungi kubur kubur yang di anggap orang-orang soleh atau wali-wali Allah  dengan membawa makanan tertentu atau seperti yang telah dipersetujui dengan menyajikan makanan-makanan khas seperti, pulut kuning, pulut putih, terlur separuh masak, kelapa muda, kemian, ayam panggang, kuih muih yang terdiri daripada 7 jenis,berjenis-jenis dan berbagai-bagai lauk pauk dan sebagainya.


Kesan Akibatnya Ke Atas Pengamal Amalan Ini .

Sekiranya tidak di lakukan upacara seperti  di atas maka segala hajatnya tidak ditunaikan atau si waris  atau keluarganya  akan mendapat kesusahan  dan bencana, samada semasa masih hidup,  di saat-saat kematiannya  dan setelah kematian. Contohnya seperti :-

Semasa Masih Hidup

a.  Hidupnya sentiasa bermasalah
b.  Berniaga tidak menjadi, buatlah kerja apapun  tidak akan berjaya, seolah-olah ada sahaja yang menghalang
c.  Banyak halangan dalam pekerjaan yang diceburi.
d.  Sering  sakit yang pelik-pelik yang tidak dapat di kesan oleh doktor seperti histeria, gila isim, panas baran, dapat anak yang cacat dan huduh rupanya, selalu tidak sedarkan diri, sakit kepala bila tiba waktu pagi, waktu matahari  jatuh, keluarga selalu berkelahi, di ganggu mimpi ngeri dan menakutkan  dan sebagainya.
e.  Hilang anak dalam kandungan hasil tumpangan Jin semasa melakukan persetubuhan dan sebagainya.

Di Saat-saat Kematian.

Saat kematian orang yang bersahabat dengan Jin  biasanya amat menyulitkan kerana kesukaran  untuk melepaskan diri daripada khadam Jin yang telah sekian lama menjadi teman karibnya. Antara syarat-syarat untuk kematian atau memudahkan kematiannya iaitu bagi membolehkan Jin khadamnya keluar ialah :

a.  Perlu membuka perabung rumah
b.  Mesti mencungkil lantai rumah
c.  Menyapu sedikit tanah ke muka pesakit
d.  Membubuh ranting kering di atas dada si sakit
e.  Membuat kuih tujuh jenis dan di panahkan ke bukit
f.  Memecahkan dinding rumah si sakit
g.  Meletakkan si sakit di rumah kosong.
 

Kematian.
Kadang-kadang berlaku juga  kejadian yang aneh-aneh ke atas si sakit yang bersahabat dengan Jin ini  sewaktu kematiannya. Antara kejadian-kejadian tersebut adalah seperti ;-
a.  Mati sudah dua atau tiga hari tetapi masih kelihatan hidup dan  sangat kuat  makan, bila sudah mati mayat itu telah berbau busuk dan hampir reput.
b.  Mayat ditumbuhi bulu yang banyak
c.  Mayat di bawa lari oleh puak-puak Jin
d.  Mata dan mulut mayat kelihatan ternganga dan kelihatan ngeri
e.  Selepas kematiannya  kadang kala didapati diri si mati itu ( sebenarnya Jin peliharaannya ) balik semula  kerumah dan ada yang tidur serta bersetubuh dengan isterinya. ( yang pada sangkaan isteri si mati,  bahawa suaminya itu hidup semula atau bekas suaminya itu keramat atau wali )
f.  Sesetengah mayat pula selepas kematiannya  hilang di bawa lari oleh Jin peliharaannya ke dalam hutan untuk santapan  puak-puak Mereka.


Pantang Larangnya.

Pewaris keturunan ini atau penerima amalan ini tidak boleh melanggar pantang larang  yang telah ditetapkan, kerana akibat yang buruk  akan terjadi ke atas dirinya atau ke atas keluarganya. Antara pantang larang tersebut ialah :-
a.  Tidak boleh pakai kain  masuk melalui kepala
b.  Tidak boleh lalu di bawah penyidai kain
c.  Tidak boleh menziarahi jenazah
d.  Tidak boleh makan atau minum di kedai orang kafir
e.  Tidak boleh meninggalkan bacaan serampah atau jampi
f.  Tidak boleh sembahyang di masjid atau berjemaah
g.  Tidak boleh masuk ke rumah dengan kaki kanan
h.  Tidak boleh memakan benda-benda bernyawa dan sebagainya.


Ringkasnya dari keterangan-keterangan yang telah di kemukakan di atas jelaslah bahawa berkawan dan bersahabat dengan  Jin memberi banyak keburukan kepada manusia samada semasa mereka masih apatah lagi setelah mereka meninggal dunia. Tidak kira apa juga niat  dan sebab mereka menjadikan  Jin sebagai sahabat atau  Khadam mereka.
Menurut sesetengah ulama, berkawan denagan   Jin  boleh  menyebabkan manusia dan  Jin  yang menjadi sahabatnya itu, jika  Jin  tersebut terdiri dari pada  Jin  Islam, sama-sama menjadi kafir dan kedua-duanya akan di humbankan oleh Allah kedalam  Neraka.  Keadaan ini berlaku kerana manusia yang bersahabat dengan  Jin merasa  Takbur  dan lupa daratan kerana mereka  memiliki kuasa yang luar biasa yang tidak boleh di miliki oleh manusia lain dan  apa-apa yang mereka hajati  dapat diperolehi  melalui pertolongan  Jin  tersebut. Mereka juga menganggap mereka lebih berkuasa daripada Allah dan menyuruh manusia  lain meminta pertolongan hanya kepada mereka sahaja Perbuatan ini menyebabkan mereka  Syirik  kepada Allah kerana meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah, sedangkan  Syirik  merupakan suatu dosa yang amat berat dan tidak akan di ampun oleh Allah.


Manakala  Jin  yang menjadi  Khadam  manusia, menjadi kafir pula  kerana mereka juga telah  Takbur  kepada Allah kerana seronok di sanjung dan di puja oleh manusia. Kadang-kala  Jin tersebut juga mengaku mereka adalah tuhan dan menyuruh manusia menyembahnya   dengan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti  Jamu Jin setahun sekali, kenduri, sembelih kambing, korbankan sesuatu kepada Jin dan sebagainya, jika inginkan pertolongan dari mereka.



Contoh-Contoh Penyakit Ada Kaitan  Jin.


1.     Penyakit akibat daripada keturunan.
Kadang-kala terdapat juga sesetengah orang yang mengalami sakit akibat daripada keturunan atau lebih tepat lagi penyakit yang diakibatkan oleh saka-baka. Penyakit ini adalah disebabkan oleh keturunan mereka,  samada datuk, nenek, moyang atau terdapat salasilah keturunan mereka yang membela atau bersahabat dengan Jin,  pada suatu masa dahulu, dan apabila  mereka meninggal dunia tiada siapa yang sanggup mewarisi Jin belaan tersebut atau keturunannya tidak mengetahui bahawa datuk nenek mereka ada bersahabat atau membela Jin,  lalu mereka mati  sebelum sempat membuang Jin peliharaan tersebut.

Kebanyakan daripada kita tidak mengambil berat malahan tidak tahu asal usul  keturunan   mereka atau peranan datuk nenek kita di zaman dahulu, di dalam masyarakat mereka pada ketika itu. Terdapat sesetengah daripada orang-orang tua kita di zaman dahulu yang membela dan  bersahabat dengan Jin.  Mereka bersahabat  dengan Jin dengan berbagai-bagai tujuan, seperti mana  yang telah dinyatakan   di bab-bab yang lepas. Selain daripada itu mereka juga membela Jin untuk menjaga dan  mengawasi harta benda mereka daripada di curi orang, kerana pada masa itu belum terdapat polis dan sebagainya. Ada juga yang menggunakan perkhidmatan Jin untuk membuka kampung, dusun, kebun dan sebagainya, jadi Jin inilah yang akan bekerja menebas dan sebagainya untuk tuannya itu. Kerana pada waktu itu belum terdapat jentera moden dan peralatan yang canggih-canggih.

Untuk mendapatkan perkhidmatan dan bersahabat dengan Jin,  mereka akan membuat berbagai-bagai perjanjian dan " jamu "an serta upacara  pemujaan Jin. Setelah perkembangan teknologi  dan terciptanya alat-alat moden dan ditambah lagi dengan kesedaran agama  yang semakin mendalam di kalangan orang-orang Melayu sekarang, maka dengan itu    perkhidmatan Jin-Jin tersebut tidak lagi diperlukan.  Dengan itu anak-cucu dan keturunan orang yang membela Jin tersebut tidak lagi melakukan upacara-upacara men" jamu " Jin sebagaimana datuk nenek mereka dahulu, bahkan mereka juga telah terlupa ataupun tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Jadi Jin-Jin  tersebut akan sentiasa mengawasi dan menunggu peluang dan masa untuk menggangu keturunan tuannya, demi menuntut supaya mereka di puja dan di " jamu " sebagaimana pada zaman datuk nenek keturunan tersebut.


Jin tersebut akan mencari  dan menggangu keturunan  tuannya  selama-lamanya, selagi keturunan tersebut tidak membuang Jin belaan tersebut. Dalam keadaan biasa Jin tersebut tidak menggangu keturunan tuannya, tetapi jika terdapat salah seorang daripada ahli keluarga keturunannya itu,  di ganggu atau dianiayai oleh orang lain dengan menggunakan  Jin, maka Jin keturunan tersebut akan datang membantu. Tetapi Jin keturunan tidak dapat melakukan apa-apa kerana  cucu cicit tuannya tidak tahu untuk  mengadakan upacara bagi membela dan memanggil  Jin tersebut,  tambahan lagi mereka juga tidak mengetahui wujudnya Jin belaan datuk nenek mereka  yang sentiasa mengawasi dan mengikuti  perkembangan keluarga mereka. Pada ketika itu Jin keturunan tersebut pula yang akan bersama-sama dengan Jin yang di hantar untuk menaniayai ahli  keluarga tersebut. Jin yang di hantar dan Jin keturunan  sama-sama akan  menggangu keluarga tersebut, malahan gangguan Jin keturunan tersebut lebih kuat daripada Jin yang dihantar oleh orang yang khianat itu.

Jika orang yang mengalami gangguan tadi berubat, maka penyakit  yang di akibatkan oleh Jin  yang di hantar oleh orang yang mengkhianati keluarga tersebut akan lari dan  penyakit yang diakibatkanya juga akan sembuh, tetapi penyakit yang diakibatkan oleh Jin keturunan tersebut tidak akan sembuh, walaubagaimana diubati pun, melainkan jika Jin keturunan tersebut dibuang daripada keturunan  keluarga tersebut.

Kebanyakan penyakit yang diakibatkan oleh Jin keturunan ini pelik-pelik dan tidak boleh di ubati oleh kepakaran dan kebijaksaan pihak doktor dan hospital, kerana jika di lakukan pemeriksaan  di hospital, doktor akan mengatakan bahawa pesakit tersebut normal dan  tidak mengalami apa-apa penyakit. Sedangkan pesakit tersebut menderita kesakitan yang sukar digambarkan oleh sesiapa, kecuali orang yang pernah mengalaminya sendiri.
 

Tanda-tanda adanya penyakit keturunan.
Terdapat tanda-tanda orang yang mempunyai keturunan  daripada pembela atau orang yang bersahabat dengan Jin,  walaupun  mereka tidak mengalami penyakit dan sebab-sebab seperti  yang telah dinyatakan  di atas. Sebagai panduan,  kebiasaannya  orang yang ada penyakit keturunan itu akan mengalami  salah satu atau kesemua daripada tanda-tanda di bawah, antaranya :

a.  Mudah terkena Rasukan                               f. Panas Baran
b.  Cemburu                                                        g. Was-was dalam melakukan pekerjaan
c.  Iri hati                                                              h. Suka berkelahi / bergaduh
d.  Jahat Sangka                                                i. Ada halangan dan sekatan dalam pekerjaan
e.  Selalu mimpikan orang minta adakan  jamuan atau makan
Pengkelasan Keturunan.

Secara ringkasnya kebanyakan daripada keturunan-keturunan di bawah kadang-kala  bersahabat atau membela Jin, demi untuk mencapai hasrat dan membantu pekerjaan mereka dalam masyarakat. Keturunan-keturunan tersebut antaranya ialah :

a.  Keturunan Raja                                             f. Keturunan  Syed Malam Jumaat
b.  Keturunan Panglima                                    g. Keturunan Hulubalang
c.  Keturunan Tok Bomoh                                 h. Keturunan    Mak Bidan
d.  Keturunan Mudim                                         i. Keturunan Penjaga Kampung
e.  Keturunan Mak Andam                                j. Keturunan Guru latihan pertahanan diri.
 
2.  Gila.
Gila yang diakibatkan oleh rasukan Jin ini  terdapat berbagai-bagai jenis. Antara yang sering terjadi  ke atas orang-orang Melayu ialah :-

i.   Gila Babi atau gila yang seumpamanya.

Penyakit gila babi sering di kaitkan dengan babi sebab, apabila didatangani penyakit tersebut, pesakit itu suka menyondol nyondol seperti Babi dan jika dibiarkan  mereka akan masuk kedalam air dan besar kemungkinan akan mati lemas. Penyakit gila seperti ini  kebiasaannya ada kaitan dengan  keturunan atau saka baka yang berpunca dari kerasukan Jin. Biasanya benih manusia jenis ini sudah bercampur  dengan benih Jin keturunannya  semasa jatuh benih ketika si ibu dan bapa melakukan persetubuhan.

Walaupun mereka  telah membaca doa seperti yang dianjurkan oleh  Nabi s.a.w, namun oleh kerana  Jin tersebut telah sedia ada dalam diri  orang tersebut melalui saka baka dan keturunan tadi, maka Jin atau saka baka tadi tidak mudah  meninggalkan mereka, melainkan saka-baka atau Jin tersebut telah di buang  dari keluarga tersebut. Maka  hasil dari situ lah  terdapat ramai dari kalangan  orang Melayu  yang mendapat anak  yang cacat luar biasa, gila dan sebagainya.


ii.   Gila Mereyam

Gila mereyam  sering berlaku  ke atas perempuan-perempuan yang baru lepas bersalin. Orang sering mengaitkan gila mereyam disebabkan oleh batu  meriyam  yang tidak masuk kembali pada tempat asalnya. Mengikut  Sinseh Cina batu meriyam itu di kenali sebagai  Black Stone   atau  batu Hitam  yang menurut mereka , apabila batu itu naik ke kepala  akan menyebabkan seseorang perempuan menjadi gila. Gila yang disebabkan  oleh batu meriyam  ini paling  ringan ialah   perempuan berkenaan akan suka berbedak atau bersolek, walaupun baru melahirkan anak dan berkelakuan luar biasa. Antara yang paling teruk  ialah mereka sanggup memukul orang atau lari dari rumah dan berkeliaran di atas jalan-jalan raya atau merayau-rayau di merata tempat. ( Gila ini biasanya tiada kaitan dengan  Jin )

iii.   Gila Isim

Gila Isim adalah disebabkan  orang tersebut beramal dengan ayat-ayat yang di terima tanpa melalui guru. Punca gila ini adalah panas yang disebabkan  oleh khadam penjaga ayat tersebut daripada gulungan Jin  yang menggangunya. Gila jenis ini  sering berlaku kepada mereka  yang menuntut sesuatu ilmu  atau beramal dengan sesuatu ilmu  tanpa salasilah yang sahih, iaitu tanpa melalui  guru yang muktabar sehingga kepada Rasulullah s.a.w.

iv.   Gila Kena Rasuk / Gila akibat Sihir.
Kedua-dua jenis gila  di atas adalah  disebabkan  Jin samada Jin  yang di suruh oleh tuannya atau Jin yang tidak bertuan. Kadang-kadang mereka yang terkena  jenis ini  agak aggresif dan suka memukul orang  jika di ganggu atau cuba di ubati.
 
 
 
 



TOK BOMOH

Pengertian Tok Bomoh.
Tok Bomoh menurut  Kamus Dewan  ialah   tabib kampung   yang mengubati  orang sakit  dengan menggunakan  ubat tradisional  atau cara kampung  dan jampi-jampi yang tertentu dan sebagainya. Termasuk juga dalam istilah ini ialah  Tok  Pawang  dan  dukun.

Pecahan-pecahan  Tok Bomoh.
Tok Bomoh dalam masyarakat Melayu secara ringkasnya boleh dibahagikan kepada beberapa pecahan dan bidang mengikut kepakaran masing-masing. Antara yang terkenal  ialah :

a. Tok Bomoh Kayap
Tok Bomoh Kayap biasanya  mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian  yang di ambil  daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti daun sireh, kapur makan, pinang dan sebagainya.

b.  Tok Bomoh Santau
Tok Bomoh Santau biasanya  mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian  yang di ambil  daripada ayat-ayat Al-Quran dan  mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti tanah liat, bawang merah, sireh pinang dan sebagainya.

c.  Tok Bomoh Barah
Tok Bomoh Barah biasanya  mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian  yang di ambil  daripada ayat-ayat Al-Quran dan  mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti telur ayam, akar lalang, sireh pinang dan sebagainya.

d.  Tok Bomoh Patah
Tok Bomoh Patah biasanya  mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian  yang di ambil  daripada ayat-ayat Al-Quran dan  mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak, daun mengkuang, air telaga dan sebagainya.

f.  Tok Bomoh Ekor
Tok Bomoh Ekor  biasanya   menggunakan jampian  yang di ambil  daripada ayat-ayat Al-Quran dan  mentera-mentera tertentu dan jampi serapah menyeru  Jin  dalam usaha untuk menghadirkan nombor ekor yang diingininya.  Manakala peralatan yang sering digunakan ialah seperti telur ular tedung, cawat besi, keris atau senjata lama dan sebagainya.

g.  Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit.
Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit   menggunakan jampian  yang di ambil  daripada ayat-ayat Al-Quran dan  mentera-mentera tertentu dalam usaha mereka menarik duit atau mencari harta karun yang tersembunyi di mana-mana. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti stareka cap kepala ayam, talam tembaga, batu delima merah, lesong batu berlubang, keris samar kucing dan sebagainya.

h.  Tok Bomoh Urat/urut
Tok Bomoh Urat dan urut   mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian  yang di ambil  daripada ayat-ayat Al-Quran dan  mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak angin,  air telaga dan sebagainya.
.
i. Tok Bomoh Budak, Tok Bomoh kecil dan sebagainya
Tok Bomoh budak, Tok Bomoh kecil yang boleh berubat  berbagai-bagai jenis penyakit yang pelik-pelik tanpa belajar dari mana-mana, walaupun beliau masih kecil dan belum akhil baligh.
Senarai di atas adalah merupakan sebahagian daripada pecahan-pecahan  Tok Bomoh dalam istilah masyarakat Melayu. Walaupun begitu masih banyak lagi pecahan  Tok Bomoh  yang tak dapat di terangkan  dan dimasukan dalam tulisan ini kerana terlalu banyaknya pecahan tersebut.

Cara-cara menjadi Tok Bomoh dan seumpamanya.
Untuk menjadi  Tok Bomoh dan sumpamanya,  adalah melalui berbagai jalan dan caranya yang tertentu. Antaranya :


a.  Melalui warisan dari keturunan datuk  neneknya atau melalui saka-baka, di mana datuk nenek atau keturunanya yang terdahulu pernah menjadi Tok Bomoh yang terkenal dan apabila mereka meninggal dunia maka ilmu perbomohan itu menurun atau mengalir terus ke dalam tubuh anak-cucu mereka  pula.
b.  Mereka didatangi  oleh Khadam yang menyerupai datuk neneknya dalam mimpi yang memberitahunya supaya membaca ayat-ayat,  jampi -jampi atau mentera-mentera tertentu. Setelah diamalkan  ayat-ayat atau jampi tersebut maka datanglah khadam-khadam tertentu  untuk memberi pertolongan.
c.  Melalui bacaan wirid, ayat, jampi, serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkanya.
d.  Melalui amalan-amalan  latihan pertahanan diri tertentu,  ataupun  daripada  ilmu perlatihan pertahanan dirian yang dituntutnya.
e.  Melalui pertapaan  atau uzlah di tempat-tempat tertentu seperti di dalam gua, di muka kuala, di dalam hutan dan sebagainya sehingga dikunjungi oleh khadam-khadam yang bersyarat  bagi menghasilkan hajatnya.
f.  Melalui pembelajaran dan penerimaan daripada  guru-guru yang  mempunyai khadam atau yang diamalkanya melalui kitab-kitab tertentu secara bersendirian.
g.  Meniru tanpa berguru iaitu samada belajar dari kitab atau melihat cara orang lain berubat lalu di tirunya.
 
 
 
 



KESESATAN DALAM PERUBATAN

Kebanyakan kesesatan  yang boleh membawa kepada syirik dan  menyebabkan seseorang itu menjadi kafir kebiasaannya berlaku dalam bidang perubatan yang dilakukan   Tok Bomoh dan seumpamanya. Kesesatan tersebut  bolehlah dibahagikan kepada  tiga bahagian yang utama antaranya :

1. Sesat  Tok Bomoh, Tok Dukun, Tok  Pawang,  Mak Bidan dan Mak Andam dan seumpamanya
Kesesatan  yang sering berlaku pada golongan ini, ialah melalui proses mengubati pesakit atau dalam melakukan pekerjaan  mereka, mereka  mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-khadam yang terdiri samada daripada Jin  Islam  alam rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin  kafir. Mereka menjadi sesat   melalui berbagai cara antaranya :

a.  Melalui Jampi, mentera dan serapah.
Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau mentera yang menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi  membantu mereka  memberi rawatan  kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka. Biasanya jampi mentera itu  dimulai dengan bacaan  Basmallah  ………….   Dan  di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau  dengan menyebut  Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat seruan-seruan kepada Jin bagi meminta pertolongan  mereka  dalam mengubati pesakit atau mendapatkan sesuatu. 

Contohnya    seperti :
Amalan Batin.


" Bismillahirrahmanirrahim."
Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson,
aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining,
sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro,
berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
 
Serapah lekat Tulang.
" Bismillahirrahmanirrahim."
Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku,
kalau kau hendak ke dalam, kedalam tulang, kalau  kau nak keluar, keluar tulang,
kalau tidak aku sumpah  kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Serapah menepung Tawar
" Bismillahirrahmanirrahim."
Hai Jin Tanah Jembalang Bumi,
Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi,
putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga,
tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku,
dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Mentera Menepung Tawar.
" Bismillahirrahmanirrahim."
Hai ya sema yang semung, ya sema tiga terkendong,
kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi,
batang wong batang wang batang terkendong,
ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas,
siapa yang melepas, dalam asal punya melepas,
siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas,
siapa punya melepas, sema putih punya melepas,
siapa punya melepas, sema hitam punya melepas,
Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh,
pelepas kata dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Kesesatan yang telah dilakukan oleh  Tok Bomoh yang menggunakan kaedah  ini adalah terhadap dirinya sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan  itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan  seolah-olah terdapat dua pihak yang berkuasa dan dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah s.w.t dan Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terang-terang telah melakukan perbuatan syirik kerana   menyamatarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah.
 
Melalui Perbuatan / Kelakuan.

i.  Kesesatan Tok Bomoh.
Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya  boleh  berlaku  pada perbuatan dan kelakuan Tok Bomoh tersebut melalui  penjelmaan Jin ke dalam tubuh badan  mereka yang di panggil "  Tanasakhul Aruah "   semasa mereka melakukan perubatan. " Menurun "   yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah dengan bergantung  kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu merawat pesakit tersebut. Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau  Tok  Pawang  dengan mengkhabarkan berita-berita atau masalah-masalah yang dihadapi  oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya  yang  sedang mengubati  itu adalah  Jin dan bukannya  Tok Bomoh  atau  Tok  Pawang tersebut, kerana tiada  nas  dan  dalil  dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama ataupun qias  dan lain-lain pendapat yang muktabar yang  boleh di pakai dalam Islam,  yang menyatakan bahawa aruah Jin dan  wali-wali  boleh menjelma  dan masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan.


Demikian juga yang dilakukan oleh   Mak Bidan   ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hingga selesai walaupun  mereka tidak sedarkan diri. Persoalannya, siapakah  sebenarnya yang memainkan peranannya ketika  Mak Bidan  tersebut tidak sedarkan diri.
Mak Andam  juga  memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana persandingan  ala Hindu  dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari  berinai , masuk pelamin sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara  Khurafat  yang berhubung rapat  dengan majlis pemujaan  Dewa Rama  dan  Dewi Sita. Sedangkan sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa upacara  persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun Islam, tambahan lagi  mempertontonkan aurat wanita  di khayalak ramai  itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah merupakan Sunnah  Nabi s.a.w.

ii.   Kesesatan Tok Guru Latihan Pertahanan Diri.
Kesesatan  boleh berlaku ke atas tok guru latihan pertahanan diri  atau pendekar seni pertahanan diri jika mereka  melakukan salah satu  daripada perkara yang diharamkan oleh syarak. Antaranya :-
a.  Melalui  kaedah  " Mubai’at yang disertakan dengan kalimah  Qasam atau sumpah-sumpah  yang bertujuan kepada hikmah  dan perkara-perkara  luar biasa yang mencarik adat.
b.  Melalui petua-petua atau kaedah  yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak.
c.  Melalui petua-petua atau kaedah marah atau dimarahi  bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.
d.  Melalui petua-petua atau kaedah  yang berpegang  kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada Allah.
e.  Tidak tahu asal usul ilmu yang dipelajarinya  itu dan yang diajarinya kepada orang lain.


Kebiasaanya tok guru latihan pertahanan diri  juga merupakan  Tok Bomoh kerana di samping beliau  mampu berlatihan pertahanan diri beliau juga biasanya  mampu  mengubati orang sakit. Kesalahan besar yang telah dilakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang sesat ini ialah  sudahlah diri mereka sendiri telah tersesat melalui amalan-amalan yang sesat itu, kemudian mereka  mengajarkan pula ilmu sesat itu kepada anak-anak muridnya,  yang bukan saja mengamalkan  ilmu tersebut, malahan  juga akan turut tersesat sama. Jika kumpulan ini terus  mengembangkan ilmu tersebut maka akan bertambah ramai lagilah orang yang akan tersesat.


Kesalahan yang sering mereka lakukan  ialah dari segi penggunaan  jampi dan mentera  yang digunakan dalam kebanyakan latihan pertahanan diri terdapat seruan-seruan terhadap bantuan Jin bagi memulakan  latihan. Berbagai-bagai bentuk mentera dan jampi  digunakan dalam pelbagai jenis latihan pertahanan diri, antaranya  menyeru roh Panglima Hitam, atau roh-roh panglima-panglima yang lain samada Hang Tuah atau Hang Jebat dan sebagainya.
Kesesatan dalam perbuatan  dan permainan latihan diri pula ialah, terdapat sesetengah latihan pertahanan diri itu  yang mensyaratkan  pelatih pertahanan diri mestilah  tidak sedarkan diri terlebih dahulu sebelum boleh menzahirkan perkara-perkara yang luar biasa, seperti melayang diatas pucuk pokok kayu, boleh melekat di dinding  seperti cicak, boleh bertenggek di atas pucuk pisang seperti katak dan sebagainya. Perbuatan seperti itu sebenarnya menyalahi syarak kerana rohani Jin telah masuk kedalam tubuh pelatih pertahanan diri tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Pemulihan pula dilakukan dengan membaca jampi dan mentera tertentu oleh tok guru latihan pertahanan diri tersebut. Setelah sedar pelatih itu tidak ingat apa-apa dan merasa letih yang amat sangat.


iii.    Kesesatan Ulama.
Ulama boleh menjadi sesat  sekiranya mereka berhubung dengan khadam-khadam tumpangan yang terdiri daripada  rohani Jin  Islam atau Jin kafir alam rendah yang datang  mengikut perjanjian penerimaan persahabatan, samada melalui mimpi atau jaga, melalui wirid, jampi, doa dan seumpamanya. Bermula dari situ ulama tersebut menjadi popular dan akan di kunjungi  oleh orang ramai bagi meminta pertolongan seperti sembahyang hajat, mengubati penyakit, memberi kuliah-kuliah agama  dan sebagainya.

Lazimnya ulama-ulama yang terjebak dalam persahabatan dengan Khadam-khadam ini, sebenarnya mereka tertipu dan di tipu dengan syarat-syarat yang menepati hukum syarak yang didatangkan oleh khadam-khadam tersebut  atau terpedaya dengan ketinggian ilmu, kealiman, kewarakan, kesolehan, ketinggian kelulusan atau pangkat kebesaran. Mereka hanya meniru sahabat-sahabatnya yang ahli dalam babnya. Dimana mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka hanya alim dalam  ilmu zahir  dan ilmu-ilmu tertentu sahaja, tapi pada pandangan umum keilmuan mereka sudah lengkap dan mengcakupi dalam semua segi. Mereka harus sedar bahawa dalam diri mereka  masih ada  lagi sifat-sifat  mazmumah
Dari satu segi  perbuatan tersebut  memang kelihatan baik dan tidak terdapat apa-apa kesalahan, tetapi   yang menjadi kesalahan dan menyesatkan pula ialah  cara ulama tersebut  menerima amalan dan pertolongan tersebut. Mereka menerima pertolongan daripada khadam Jin  dan mereka pula memberi pertolongan  kepada orang lain melalui  bantuan khadam-khadam mereka.

Ulama-ulama jenis ini  berselindung di sebalik  keulamakan  yang ada pada mereka, kerana kepentingan dan keegoan diri serta mempunyai sikap yang buruk. Kadang-kala mereka menggunakan kedudukan  mereka untuk cuba menyebarkan fahaman dan kaedah perubatan mereka itu, sedangkan mereka tidak sedar  yang mereka telah diperbudak-budakkan oleh puak-puak Jin yang pintar menipu manusia itu.


Kesesatan Yang Dilakukan Oleh Orang Yang Berubat.

i.   Memuja Kubur-kubur yang di anggap Keramat.
Terdapat sesetengah daripada orang Melayu memuja  kubur-kubur yang di anggap keramat dalam usaha meminta pertolongan bagi mengubati penyakit yang di alaminya. Sebenarnya kubur tersebut tidak dapat memberi apa-apa pertolongan dan kesan kepada penyakit mereka. Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya meminta pertolongan hanya kepada Allah.  Di samping  perbuatan mereka itu juga  tidak ada  bezanya dengan amalan orang-orang Hindu dan Buddha.

Menziarahi kubur sebenarnya tidaklah salah atau menjadi  satu kesalahan, bahkan sunat bagi umat Islam menziarahi kubur kedua ibu bapa , sanak saudara, keluarga, sahabat handai, tok-tok guru, alim ulama, para syuhadak dan orang-orang saleh, tetapi mengadakan pemujaan atas kubur  tersebut, dengan  mengadakan sesuatu upacara  tertentu atau khusus di luar batasan syarak, itulah yang menjadi kesalahan dan  kadang-kala boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad dengan tidak disedari.  Waliyazubillahi min zalik.

Antara contoh perbuatan memuja kubur yang dianggap kubur Tok Keramat yang   berlaku dalam masyarakat kita ialah seperti memuja  kubur  Mak Bidan Tetek Lanjut di Taiping, memuja kubur  Tok Temong di Temong, Kati, Kuala Kangsar, Memuja kubur-kubur di Pulau Besar, Melaka. Mak Bidan Tetek Lanjut  yang di puja itu tidak siapa pun yang mengetahui asal usul dan kesolehannya. Jadi mengunjungi kuburnya dengan sesuatu tujuan, membayar nazar dan niat  adalah merupakan perbuatan  bidaah dholalah  yang haram  semata-mata, kerana menganggapnya keramat dengan membawa pisang, pulut kuning dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapat berkat dan sebagainya.

Manakala pemuja Kubur Tok Temong  di Kati pula, pengunjung-pengunjung mengunjunginya dengan tujuan untuk  menunaikan hajat dengan membawa pulut kuning, ancak, kemian, serta mengadakan tahlil di kubur tersebut bagi mendapatkan sesuatu hajat. Ada juga pengunjungnya yang menyembelih ayam dan di niatkan  darah dan tulang  ayam itu  adalah untuk makanan Jin penunggu  Tok Temong. Tidak ketinggalan kubur tersebut juga  di kunjungi oleh sesetengah  guru-guru latihan pertahanan diri dan pengikut mereka untuk mengambil berkat dan  lain-lain yang seumpamanya. Mengikut sejarah Tok Temong hanyalah merupakan  pemerintah asal  kawasan tersebut sebelum kedatangan Sultan ke Kuala Kangsar sahaja.

Pemuja-pemuja kubur di Pulau Besar di Melaka pula menganggap kebanyakan kubur-kubur di Pulau tersebut adalah kubur wali-wali Allah  yang  keramat. Sebenarnya  kubur-kubur di pulau tersebut banyak yang kosong tanpa penghuni. Hanya orang yang tidak tahu menilai kebenaran sahaja yang mahu mengunjunginya. Mereka di tipu oleh kumpulan-kumpulan  Jin yang mendiami pulau tersebut dan memberitahu mereka melalui mimpi supaya dibangunkan kubur-kubur untuk pemujaan.


ii.   Pengeras / Upah.
Kebiasaan pengeras yang ditetapkan oleh  sesetengah   Tok Bomoh  adalah berlainan. Ada yang menetapkan  seperti  lima ringgit  suku dengan jarum tiga batang dan garam setahil. Sesetengah pengeras pula dengan  membawa  sireh bertemu urat sebanyak tujuh helai, kapur dan pinang. Ada juga yang menetapkan  pengerasnya dengan buah kelapa masak, beras secupak dan minyak kelapa. Jika membuang barang hikmat yang tertanam upahnya adalah sekali ganda dari upah yang dikenakan oleh orang yang menanamnya, contohnya kalau RM 100.00 jadi RM 200.00 dan sebagainya. Ada juga  yang mengenakan  pengeras atau upah  sampai beribu ringgit mengikut kemampuan  dan kemampuan pesakit. Terdapat juga Tok Bomoh yang  menetapkan upah sekadar ikhlas pesakit sahaja.

 Kesalahan dan kesesesatan yang  berlaku dalam keadaan ini ialah apabila pesakit tersebut percaya jika tidak menyediakan  pengeras seperti yang di minta oleh  Tok Bomoh itu maka penyakitnya tidak akan sembuh atau sukar untuk disembuhkan atau menganggap pengeras yang disediakan itulah yang menyebabkan penyakitnya sembuh.
Sebenarnya  mengambil upah berubat dan menjampi dengan ayat-ayat  Al-Quran , Selawat-selawat Nabi  dan susunan ayat-ayat yang baik adalah diharuskan oleh syarak, berdasarkan suatu  Hadis  yang diriwayatkan oleh  Saad bin Abi Waqas.


iii.   Pemutus Ubat.
Pemutus ubat bermakna  menamatkan rawatan dengan Tok Bomoh tersebut setelah  pesakit sembuh dari penyakit yang di alaminya. Kononnya  kalau tidak  " putus ubat "   penyakit itu akan kembali semula. Berbagai jenis dan syarat   amalan pemutus ubat  diminta dan dikenakan oleh   Tok Bomoh, antaranya seperti :
a.  Pesakit mesti menyembelih seekor ayam hitam, sepinggan pulut putih atau kuning dan sebiji telur dadar yang diletakkan di atas pulut tersebut.
b.  Melepaskan ayam hitam  di tepi hutan dengan niat tertentu
c.  Mandi di kolah masjid tertentu sebanyak  3 atau 7 kali
d.  Membuat kenduri aruah dan di antara persiapannya ialah  kemian yang di bakar, pulut kuning dan lain-lain kuih muih dan sebagainya.


Apabila seseorang itu  yakin dan mempercayai serta berittikad bahawa  tok-tok Bomoh  atau doktor-doktor itulah yang menyembuhkan penyakit dengan ikhtiar dan usaha mereka atau melalui ubat-ubatan dan jampi-jampian mereka yang memberi bekas  dalam menyembuhkan penyakit itu, ini bererti dia telah menyediakan  dirinya jatuh kedalam murtad, kerana ia telah berpegang teguh dengan keyakinan tersebut sehingga menjadi satu ittikad bahawa sebab beradat yang Allah telah datangkan itu memberi bekas dalam menghasiklan sesuatu.
 
 
 
 



TANDA-TANDA TOK BOMOH YANG MENGGUNAKAN KHADAM/JIN DALAM PERUBATAN

Kebanyakan daripada orang-orang Melayu sangat mempercayai  Tok Bomoh sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara Tok Bomoh yang hak dan yang batil  ( yang menggunakan pertolongan Khadam dalam pengubatan mereka ).  Keadaan ini berlaku kerana mereka jahil tentang ajaran Islam yang sebenarnya, oleh itu mereka mudah  di tipu oleh lakunan yang dimainkan oleh  Tok Bomoh palsu ini. Sebagai panduan diperturunkan serba ringkas  contoh-contoh  Tok Bomoh yang menggunakan  pertolongan khadam dalam pengubatan mereka. Antara tanda-tanda tersebut dapat kita lihat melalui salah satu dari perkara-perkara berikut, antaranya :

a.   Cara berpakaian semasa mereka berjampi
Biasanya semasa berjampi  Tok Bomoh atau  Tok  Pawang  yang bersahabat dengan khadam ini  memakai pakaian khas, antaranya seperti :
i.  Memakai baju dan seluar yang bewarna hitam dengan melilit  kain hitam di kepala atau memakai tengkolok bewarna hitam dan sebagainya.
ii.  Memakai jubah. Kadangkala  bewarna putih dan kebiasaanya bewarna kuning, kononnya  dia dari keturunan raja. Terdapat juga yang memakai jubah hijau kononnya beliau bersahabat dengan Jin Islam.
iii.  Terdapat juga yang berpakaian  baju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok atau berketayap.
iv.  Ada juga yang  berambut panjang, yang kononnya  beliau berketurunan dari Jawa, Sumatera dan sebagainya.

b.   Mengubat Pesakit dengan Cara Menurun/Menyelap.
Sebelum  menurun  biasanya  Tok Bomoh akan membaca beberapa  serapah, jampi atau mentera tertentu dan ada kalanya  membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terdapat juga yang memegang keris dan mengasapkanya  pada asap kemian. Dalam beberapa saat sahaja masuklah Jin ke dalam tubuh  Tok Bomoh tersebut. Ada yang mengeletar, ada yang berguling-guling dan sebagainya,  ketika di masuki oleh Jin khadam mereka itu.
Suara dan raut wajah mereka  juga akan bertukar. Sesetengahnya  kelihatan sangat tua dan berkedut, manakala suara mereka juga terketar-ketar dan sangat perlahan dan adakalanya susah untuk di fahami, ini  kerana Jin sahabat mereka itu sudah tua. Matanya kadang-kala  pejam dan suka tunduk ke bawah. Suara juga sudah berubah dan mengikut  jenis dan dari tempat mana Jin itu berasal. Kalau Indonesia, ia akan bercakap  bahasa Indonesia  atau bahasa Jawa, begitulah seterusnya. Biasanya ucapan Jin tersebut di mulai dengan katanya "  Assalamualaikum, apa hajat  cucu ku datang ke mari / memanggil ku ? "

c.   Tanpa Menurun / Menyelap
Terdapat juga  Tok Bomoh yang mempunyai khadam daripada gulungan Jin yang memanggil Jin khadam mereka tanpa menurun. Cara rawatan tersebut dapat dilakukan dengan berbagai cara antaranya :
a.  Dengan meletakkan air, limau dan sintuk atau barang-barang lain yang difikirkan perlu di hadapannya.
b.  Terdapat juga Tok Bomoh jenis ini yang menilik terlebih dahulu, seperti dengan menggunakan limau dan menggolekkanya atau membelahnya kemudian dilepaskan  kedalam air dan melihat limau tersebut samada terbalik atau tertiarap. Mereka juga kadangkala  menggunakan mangkuk putih yang diisikan dengan air sambil menilik dan membuat ramalan. Terdapat juga  Tok Bomoh yang menggunakan jarum  yang diletakkan di atas air dan jarum tersebut akan berpusing dan sebagainya.

d.   Membelah Batin.
Pertolongan daripada khadam juga digunakan oleh Tok Bomoh-Tok Bomoh yang dapat membelah batin pesakitnya tanpa menggunakan sebarang alatan pembedahan seperti pisau dan sebagainya. Walaupun kadang-kala Tok Bomoh jenis ini juga menggunakan pisau tetapi tiada kesan luka  yang dapat di lihat di badan pesakit. Pesakit akan merasai seolah-olah  seperti di bedah dan dapat merasai kesan darah dan sebagainya. Setelah selesai melakukan pembedahan batin  ini, Tok Bomoh tersebut biasanya akan menggunakan daun sireh atau limau nipis untuk menyempurnakan  pembedahan ghaibnya.
 Sebenarnaya kita boleh menggunakan Khadam  dalam melakukan pekerjaan kita dengan syarat-syarat berikut, antaranya :
1. Tidak terikat dengan mana-mana syarat daripada  Khadam
2. Tidak menggunakan  Tanasukh Aruah  ( Menurun )
3. Kelakuan  yang tidak menyalahi syarak ketika melakukan rawatan
4. Perawat telah  mantap pegangan dan kefahaman  Akidah, Akhlak dan Syariat.
Sebenarnya tidaklah salah jika kita ingin menjadi  Tok Bomoh, tok dukun atau Mak Bidan, malahan Islam juga menggalakkan umatnya menceburi  Bidang tersebut, kerana   Bidang tersebut  merupakan salah satu daripada  Fardhu Kifayah  tetapi biarlah cara dan amalan serta kaedahnya itu  merupakan sesuatu yang  diharuskan oleh syarak dengan mengikuti contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, bukannya yang di terima melalui mimpi, menggunakan pertolongan khadam yang terdiri daripada para Jin dan sebagainya.

Tok Bomoh yang Makan Upah.
Terdapat sejenis Tok Bomoh lagi yang amat bahaya dalam masyarakat Melayu, yang kerjanya hanyalah untuk menimbulkan kesusahan  dan huru hara kepada orang lain. Tok Bomoh jenis ini lebih di kenali sebagai Tok Bomoh yang makan upah. Tok Bomoh jenis ini kebiasaannya  mempunyai khadam  daripada golongan Jin Islam yang fasik dan Jin  Kafir  serta kuncu-kuncu mereka.

Mereka menggunakan perkhidmatan Jin-Jin tersebut untuk menganiayai manusia lain  atas sebab-sebab tertentu, antaranya seperti iri hati, hasad dengki  atau cemburu  atas kejayaan orang lain  samada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, persekolahan atau marah kepada orang atasan  kerana tidak  terpilih untuk kenaikan pangkat atau tidak memenangi tender dan sebagainya. Terdapat juga mereka yang menggunakan Tok Bomoh jenis ini bagi membalas dendam sebab sakit hati kerana di hina, di kutuk atau kerana senda gurau yang berlebihan.
Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan perkhidmatan Tok Bomoh ini semata-mata kerana marah  atau benci kepada  orang lain di sebabkan kekayaan orang tersebut atau iri hati melihat orang tersebut lebih berada daripadanya atau marah kerana kesombongan  orang lain terhadapnya dan lain-lain lagi,
Kebanyakan kes yang dijadikan alasan oleh sesetengah orang yang  mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini kebiasaanya berhubung dengan masalah rumah tangga  contohnya seperti untuk menundukkan suami atau isteri yang terlalu garang, meruntuhkan rumah tangga orang lain, supaya dirinya nampak cantik dan di sayangi oleh suami ( dalam kes si suami  yang berpoligami ),  kerana pinangannya di tolak oleh pihak  keluarga wanita atau  kekasihnya di rampas oleh  lelaki lain dan sebagainya.

Cara-cara Untuk Melakukan Penganiyaan.
Terdapat berbagai cara yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta  bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan  penganiayaan mereka. Antaranya :

a.   Menanam barang-barang  Hikmat
Setelah mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini orang tersebut mestilah menanam  barang-barang tertentu yang telah di puja  dan di jampi oleh Tok Bomoh, seperti  minyak dagu, minyak berpuja ( minyak orang mati di bunuh ) telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati,  tulang babi, tulang kongkang, kulit babi, besi bath siam, tahi besi, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya di tempat-tempat yang biasa di duduki   dan dilalui oleh orang yang di sakitinya itu seperti  di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan,  di selit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di  pejabat, di kedai, di dinding,  bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia di tabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya  di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.

b.   Memuja gambar
Terdapat juga cara untuk menganiayai  orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti  gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai. Selain gambar,  alat-alat badan seperti pakaian, baju dalam atau  seluar dalam seseorang juga boleh digunakan  sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta , rumah tangga dan kasih sayang.

c.   Tuju melalui angin/makanan
Pengkhianatan juga boleh dilakukan dengan cara  membuat tuju kepada orang yang di sakiti  dan di hantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah Tok Bomoh  dengan di tuju dan di kasadkan kepada orang  yang dihajatinya. Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat kedalam makanan  dan minuman seseorang.

d.   Memuja Patung sebagai penganti orang yang di aniayai
 Pemujaan patung yang di puja dan dikasadkan kepada orang yang  dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibung dang sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.

Kesan  dan Akibat  ke atas  diri mangsa.
Setelah syarat-syarat yang di minta oleh  Tok Bomoh makan upah ini di penuhi dan semua peraturannya diikuti maka akan berlaku sesuatu keatas orang yang  dihajati oleh si pengupah tersebut. Antara  kesan dan tanda-tanda bahawa seseorang tersebut telah  menjadi mangsa Tok Bomoh makan upah ini ialah antaranya :
a.  Badan sentiasa sakit menyucuk-nyucuk, anggota terasa panas, bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, badan terasa kebas dan sebagainya.
b.  Perasaan menjadi resah dan gelisah, tidak boleh tidur malam, sering bermimpi yang buruk dan mengerikan, terdapat lebam-lebam bewarna biru seperti kena tokok  ditempat-tempat tertentu pada  badan.
c.  Orang yang dianiayai akan menjadi gila, hilang ingatan, tidak siuman, mereng dan seumpamanya.
d.  Sering meracau-racau, ketawa mengilai-gilai atau bercakap seorang diri.
e.  Mengalami sakit kepala  sebelah samada di sebelah kanan atau kiri.
f.  Rahim terasa sakit dan kadang-kala terasa seperti hendak jatuh
g.  Badan terasa berat seperti  ada benda di atas belakangnya dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu  yang mencakar-cakar belakangnya.
h.  Sentiasa terkenang  atau teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah.
i.  Tidak boleh duduk  dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan serabut.
j.  Selalu tidak sedarkan diri dan pengsan.
k.  Kadang-kala   si mangsa berbau busuk di merata-rata tempat.
l.  Perut mangsa menjadi buncit tanpa apa-apa penyakit. ( kata orang busung )
m.  Kadang-kala kemaluan  dirasakan telah berpindah ketempat lain  seperti berada di dahi, sedangkan orang lain tidak dapat melihatnya.
n.  Terdengar suara atau bisikan  yang memanggil  atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang mengatakan " kamu akan mati tidak lama lagi dan sebagainya.
o.  Rumah tangga sentiasa bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku.
p.  Sentiasa menolak pinangan  yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anak teruna  mereka enggan berkahwin sampai ke tua.

Tok Bomoh yang mengambil upah untuk menganiayai orang lain ini  amatlah besar dosanya dan telah menjerumuskan dirinya kelembah kekafiran begitu juga orang-orang yang mendapatkan perkhidmatan  Tok Bomoh-Tok Bomoh  dari jenis ini.  Kedua-dua belah pihak sama-sama menjadi kafir dan akhirnya sama-sama akan dihumbankan kedalam neraka  di hari  Khiamat kelak. Oleh itu sebagai umat Islam kita mestilah menjauhkan diri daripada Tok Bomoh-Tok Bomoh yang seperti ini. Anggaplah segala sesuatu yang berlaku keatas diri kita itu adalah merupakan takdir dan Qada dan Qadar daripada Allah. Semua kejadian itu adalah  atas kehendak Allah, tentu ada hikmah dan nikmat di sebalik semua kejadian tersebut, jangan suka menaruh perasaan dendam, cemburu  dan iri hati, kerana perasaan tersebut akan merusakkan diri kita sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah  serentak melalui lidah, anggota, hati yang dinamakan dengan ucapan doa, teguh cita-cita dan usaha ikhtiar, kerana Dialah yang lebih berkuasa dan lebih Mengetahui segala-galanya.

Mempelajari ilmu  Sihir, beramal dengannya untuk menyakiti dan mengkhianati sesama manusia, bererti mereka  telah mempelajari ilmu sesat ( kufur ), berada dalam kesesatan ( kekufuran ), beramal dengan  kesesatan ( kufur ), mati dalam sesat ( kufur ) dan kekal sebagai ahli neraka, selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Islam dengan ucapan dua khalimah syahadat serta taubat nasuha. Segala amalan baiknya itu akan dipindahkan oleh Allah kepada orang yang dikhianatinya. Segala kejahatan mereka  yang di sihir itu di campakkan  oleh Allah keatas diri penyihir sebagai tambahan kepada kejahatan yang sedia ada. Jika ditakdirkan  mereka yang dianiayai itu meninggal dunia, oleh sebab beradat  melalui ilmu sihirnya, maka  mati orang yang di sihir itu sebagai ahli fitrah ( syurga )  dengan syarat dia telah  menerima  penyakit tersebut dengan penuh sabar dan bergantung harap kepada kebesaran dan keagungan Allah dengan penuh kesabaran dan penuh redha.


Pengaruh  dan penglibatan Tok Bomoh dalam Adat Istiadat  Orang Melayu  Dan Amalan-amalan Khurafat.
Orang Melayu kebanyakannya  begitu mengambil berat dalam  perkara-perkara yang berhubung dengan adat istiadat, sehingga ada pepatah  Melayu yang menyatakan "  Biar Mati Anak Jangan Mati Adat " . Pepatah ini menunjukkan betapa kuat dan kukuhnya pegangan  orang-orang Melayu tentang adat istiadat mereka. Persoalannya  golongan manakah yang  mengada dan memperkenalkan adat istiadat dan perkara Khurafat  tersebut dan sejak bilakah  mulanya adat istiadat  dan perkara Khurafat itu telah bertapak dalam masyarakat Melayu ?. Persoalan yang  yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu itu  bertepatan dan selari  dengan Hukum Syarak atau bertentangan sama sekali dengan Hukum Syarak.


Amalan Khurafat ialah perbuatan  atau perkara-perkara yang menyalahi  hukum syarak yang masih  terdapat dalam aktiviti  masyarakat Melayu moden sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah kuat bertapak  dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu  itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan  dalm majlis-majlis atau perayaan tertentu. Sebenarnya banyak perkara Khurafat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu antara  contohnya ialah  apabila  ada majlis perkahwinan dengan upacara persandingan yang seolah-olah  satu kewajipan, sedangkan  persandingan itu merupakan adat Hindu yang mengagung-agungkan Dewa Rama dan Dewi Sita. Begitu juga apabila ada sesuatu kematian, dan selepas kematian mesti diadakan kenduri masuk kubur, 3 hari ( makan serabai ), kenduri pecah perut pada hari ke 7, kenduri 40 hari iaitu  ruh berpisah dengan waris dan kenduri 100 hari iaitu turun batu nisan dan bagi ruh itu memasuki dalam jemaahnya sebagai ahli kubur.


Kebiasaannya orang yang menghidup dan memainkan peranan utama dalam hal ehwal
adat istiadat Masyarakat Melayu dan perkara-perkara Khurafat   yang menyeleweng  dan bertentangan dengan Syariat Islam  ini adalah  terdiri daripada  Tok Bomoh, Tok  Pawang,   Mak Bidan, tok dukun, tok guru latihan pertahanan diri, mak andam dan seumpamanya. Peranan mereka dalam menghidupkan  adat istiadat dan perkara Khurafat  ini  bergantung  kepada Bidang masing-masing. Antara Contoh-contoh adat istiadat  dan perkara Khurafat  yang sering dilakukan oleh orang-orang Melayu sampai sekarang  antaranya ialah seperti :

a.   Mendirikan Rumah Baru.
Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda  di tiang seri rumah, menanam tahi besi / emas / perak / tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.

Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh  Tok Bomoh, kononnya  untuk mengelakkan  daripada di ganggu oleh Jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu  Jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.

b.  Upacara Menurunkan perahu / kapal  yang baru ke laut.
Upacara ini di lakukan oleh Tok Bomoh dengan harapan perahu / kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu dipulihkan  dengan jampi serapah dan mentera dengan menggunakan tepung  tawar dan sebagainya.

c.  Kenduri tolak bala.
Kenduri ini di lakukan setahun sekali  di tengah padang di sesebuah kampung, dengan setiap penduduk membawa sepinggan makanan. Tok imam di jemput untuk membaca doa dan  Tok Bomoh pula di jemput  untuk membaca jampi serapah supaya kampung tersebut  selamat dari bala bencana pada tahun tersebut.
Kenduri tolak bala sebenarnya boleh di buat  pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua dengan syarat :-
i.  Tidak bercampur  antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dalam majlis tersebut
ii.  Melaksanakan kaedah-kaedah yang tidak menjadi tegahan syarak dalam majlis itu.

d.  Upacara Persandingan.
Persandingan sebenarnya adalah salah satu bentuk pemujaan dalam agama  Hindu  di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita. Persandingan  secara ini  memperlihatkan  di sebelah perempuan  Mak Andam  sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula  Tok Bomoh sebagai pengiringnya. Kedua-dua mempelai  ini di arak dan di sanjung  serta di puja sepertimana orang-orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai  Raja Sehari.

e.   Mengandung / Kelahiran bayi
Sebelum ibu melahirkan anak,  Mak Bidan di jemput untuk mengadakan upacara  Lenggang perut . Semasa kelahiran bayi persiapan di buat dengan menyediakan  kain kuning tujuh lapis, tilam dan bantal bewarna kuning serta pulut kuning dan putih. Duri di letakkan di bawah rumah  supaya jangan di ganggu  oleh hantu penanggal. Sementara pantang larang selepas bersalin pula adalah selama 45 hari.

f.   Adat meninggal dunia dan selepas kematian.
Semasa seseorang meninggal dunia Tok Bomoh akan meletakkan gunting di atas mayat semasa baru meninggal dunia. Semasa hendak menghantar mayat kekubur diadakan pula kenduri masuk kubur, selepas 7 hari kematian, diadakan kenduri pecah perut, selepas 14 hari di adakan kenduri makan serabai ( sejenis kuih ). Kenduri 40 hari sebagai tanda ruh berpisah dari waris. Kenduri 100 hari sebagai  kenduri turun batu nisan dan  ruh si mati telah masuk ke dalam kumpulannya di alam kubur.

Sebenarnya memperbanyakkan sedekah  walau apa cara sekalipun, asalkan tidak menyalahi syarak  dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang menyalahi syarak dengan diniatkan pahala sedekah  itu untuk disampaikan  kepada aruah-aruah  orang yang telah mati daripada orang-orang Islam oleh waris-warisnya yang masih hidup, adalah memang menjadi  amalan kebanyakan ulama-ulama mazhab khasnya di Asia Tenggara daripada dahulu hinggalah sekarang.

g.   Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri.
Upacara ini biasanya di lakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang juga merupakan seorang Tok Bomoh yang dilakukan supaya pelatih-pelatih latihan pertahanan diri di gelanggang tersebut tidak mendapat sebarang kecederaan semasa berlatih. Antara alat dan upacara yang di lakukan ialah seperti menyembelih seekor kambing atau ayam hitam  dimana darah  ayam dan kambing tersebut di semah di sekeliling gelanggang. Sesetengahnya menyapu darah tersebut di tapak kaki pelatih latian pertahanan diri. Selepas itu  Tok Bomoh tersebut akan menyeru  nama-nama panglima tertentu seperti Panglima Hitam dan sebagainya. Akhir sekali  Tok Bomoh tersebut akan mengasapkan kemian di sekeliling gelanggang dengan tujuan untuk menghalau hantu-hantu jahat daripada menghampiri gelanggang  latihan pertahanan dirinya.

Salah satu adat lagi yang sering di peringatkan oleh orang-orang tua kepada anak-anak muda mereka jika hendak membuang air semasa di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi  atau di padang-padang atau ketika hendak melalui sesuatu kawasan atau pokok besar  hendaklah  meminta izin terlebih dahulu daripada Jin atau penunggu  yang kononnya menunggu tempat tersebut dengan menyebut ´ Minta tabik tok nenek, anak cucu tak tahu bahasa, nak tumpang kencing "  atau " Minta ampun tok nenek anak cucu nak tumpang lalu ".  Kononnya jika tidak meminta izin kemungkinan orang tersebut akan di sampuk oleh penunggu tempat tersebut.

Kesemua adat-adat di atas sebenarnya adalah campuran  daripada pengaruh  agama Hindu, agama Buddha dan  adat istiadat orang-orang Asli yang memuja roh. Adat-adat tersebut masih kuat diamalkan dalam budaya orang Melayu, yang menyangkakan sebahagian daripada adat Melayu yang tidak bertentangan dengan agama Islam, tetapi sebenarnya adat istiadat dan budaya tersebut terang-terang bertentangan dengan Islam.


Contoh Peralatan dalam pemujaan Jin Yang biasa dilakukan oleh Tok Bomoh, Tok Pawang dan seumpamanya.
 Peralatan yang sering digunakan oleh Tok Bomoh dalam pemujaan Jin yang kononnya dikatakan  sebagai salah satu upacara dalam adat istiadat Melayu  yang tidak boleh ditinggalkan antaranya adalah seperti berikut :

a.  Puja Kubur.
Puja kubur adalah sebahagian  daripada amalan sesetengah orang Melayu yang masih  tebal dengan adat istiadat dan tradisi Melayu kuno  dengan agama Hindu puja Dewa. Mereka percaya  bahawa  penghuni kubur itu boleh menghasilkan  hajat mereka apabila di minta terutamanya apabila mereka berada di dalam kesusahan.

 Kebiasaanya beberapa jenis makanan  atau  " jamu "   seperti ayam panggang, bertih, pulut kuning, pisang emas dan lain-lain lagi di bawa dan diletakkan  di atas kubur  itu sebagai jamuan untuk penghuni kubur tersebut,  sebelum  meminta sesuatu hajat, yang hakikatnya  adalah untuk   " jamu " Jin .  Yang jelas di sini sebenarnya  mereka telah tertipu dengan permainan Jin yang mahu menyesatkan mereka.


b.  Keris, Kemian dan Limau.
Keris sering dikaitkan dengan latihan pertahanan diri, kekuatan, kemegahan dan kemashuran. Kebiasaannya banyak daripada  keluarga orang Melayu yang mempunyai atau menyimpan keris sebagai sebahagian daripada barang pusaka yang perlu di pelihara dan di jaga dengan baik.

Keris tersebut perlu dimandikan dengan limau dan di asapkan dengan kemian serta di balut dengan kain kuning atau hitam dan di simpan di tempat yang selamat. Pemujaan keris ini selalunya di buat pada malam  jumaat dengan bacaan mentera dan jampi-jampi tertentu.
Pemujaan itu dilakukan dengan tujuan untuk memelihara kekuatan keris tersebut, supaya penjaga ( saka )  keris itu tidak menggangu keluarga mereka dan sebagainya. Sebenarnya keris tersebut tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana ianya adalah merupakan besi semata-mata tetapi  yang berperanan terhadap keris tersebut, sebenarnya adalah terdiri daripada Jin  yang menjadi  khadam kepada keris tersebut.


c.  Ancak.
Ancak di buat daripada buluh yang hampir sama dengan sangkak. Ada juga terdapat ancak yang di buat daripada daun pisang yang  di isi dengan  pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya.

Ancak juga di gunakan sebagai  " jamu " untuk Jin keturunan atau Jin penjaga kampung supaya tidak  menggangu anak cucu atau  penduduk kampung tersebut pada tahun itu. Kepercayaan menjamu  dengan menggunakan  ancak ini  masih ada sehingga ke hari ini terutamanya bagi mereka yang  masih ada lagi atau berpegang dengan saka atau  Tok-Nenek  atau  Jembalang-jembalang keturunan.


d.  Sanggu
Sanggu atau sampan biasanya diperbuat daripada upih pinang atau seludang kelapa. Upih atau seludang yang digunakan mestilah yang jatuh  dari pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok. Di ambil upih atau seludang itu mestilah pada waktu senja.
Waktu membuat sanggu pula mestilah  pada waktu tengah malam, mengadap ke arah matahari naik dan hendaklah di asap dengan kemian dan di baca  mentera atau jampi-jampi tertentu. Tujuan pemujaan Jin yang menggunakan sanggu ini kebiasaannya adalah untuk memuja Jin keturunan atau saka.

Perkakas dan alat " jamu " yang di isi di dalam sanggu ini ialah, antaranya pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan  sireh pinang. Di tengah-tengah sanggu itu dipacakkan layar, lilin di letakkan di hujung dan di belakang sanggu. Kemudian sanggu tersebut di layarkan sebagai  jamuan bagi Jin-Jin keturunannya.


e.  Sangkak
Sangkak pula di perbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat tertentu. Di atasnya  diletakkan seekor ayam panggang yang telah di proses dengan syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning  dan bertih sebagai " jamu " bagi Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau Jin penjaga kampung  supaya jangan menggangu keluarga atau kampung tersebut pada tahun itu.

Kemian diletakkan  bersebelahan dengan sangkak tersebut sebagai bauan wangi yang sangat di sukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama  untuk memanggil Jin tersebut.
Terdapat dua cara menguna dan  meletakkan sangkak ini. Jika sangkak tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan diletakkan  di dalam rumah dengan di ikuti  oleh majlis tahlil dan sebagainya. Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula maka ianya di letakkan di  tepi hutan atau di pinggir kampung dengan bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang  di sembelih pula seekor kambing atau kerbau.


f.   Pemujaan Tanduk Kerbau.
Tanduk kerbau sering dijadikan bahan pemujaan oleh sesetengah  kumpulan orang yang mempercayai akan kuasa yang ada padanya. Adakalanya digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti pertabalan pangkat atau meraikan sesuatu majlis.
Kepercayaan ini sebenarnya ada hubungan dengan  kepercayaan puja Dewa  bagi satu puak  di Tanah Jawa, yang mempercayai  adanya kuasa  pada tanduk kerbau itu apabila di puja dan di sembah. ( sebenarnya adalah kuasa Jin )
Pemujaan tanduk kerbau sering dikaitkan dengan sesuatu keturunan. Namun  apa yang jelas tanduk kerbau ini digunakan sebagai  alat pemujaan untuk menyeru Jin dan sebagai makanan atau " jamu "  kepada Jin tersebut. Tujuannya supaya Jin itu tidak menggangu kampung tersebut atau anak cucu orang yang berkenaan.
Biasanya  tanduk  tersebut  diletakkan  di atas suatu tempat tertentu, di atasnya  di nyalakan lilin. Kain warna kuning atau merah di mahkotakan  di bahagian kepala, sementara  di sekelilingnya dihidangkan  dengan kuih muih, pulut kuning, bubur  merah dan lain-lain lagi. Tok Pawang atau Tok Bomoh akan memulakan upacara  dengan membaca mentera atau jampi serapah tertentu  untuk memanggil Jin berkenaan. Kadang kala apabila Jin  itu datang, ia akan memasuki  tubuh Tok Pawang atau bomoh tersebut, dan bomoh itu akan bercakap sesuatu atau memberi nasihat atau amaran kepada mereka.


Ringkasnya pemujaan-pemujaan seperti yang dilakukan di atas adalah terang-terang bertentangan dengan agama Islam yang mulia dan semata-mata perkara Khurafat yang mesti kita jauhi demi keselamatan dan kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat. Keselamatan, kesihatan dan rezeki manusia sebenarnya telah di tentukan oleh Allah s.w.t dan bukannya bersebab dari upacara pemujaan  tersebut. Hanya orang-orang yang sesat sahaja yang masih percaya kepada kuasa-kuasa pemujaan dan perkara-perkara Khurafat  tersebut lah yang memberi sebab kepada keselamatan, kesihatan dan keselamatan mereka.
 
 
 
 


KERIS LAGENDA ALAM MELAYU

Keris tidak dapat dipisahkan daripada  orang Melayu. Keris merupakan lambang dalam alam latihan pertahanan diri  bagi hulubalang-hulubalang dalam masyarakat Melayu sejak dari dahulu hingga  kini. Kehebatan dan kemegahan seni latihan pertahanan diri juga tidak  akan teserlah  tanpa penggunaan keris. Demikian juga sebahagian  daripada permainan seni latihan pertahanan diri tidak akan sempurna  jika tidak ada permainan keris.

Keris juga merupakan  senjata utama  kepada ahli-ahli latihan pertahanan diri Melayu. Tanpa keris seperti ada kecacatan pada seni latihan pertahanan diri tersebut. Sungguhpun keris tidak di bawa berjalan merata-rata pada zaman sekarang, namun ia masih lagi berfungsi sebagai mercu kemegahan  seni latihan pertahanan diri  tersebut, terutamanya pada saat upacara tamat latihan.

Keris juga memainkan peranan penting  kepada sesetengah Tok Bomoh, Tok Pawang dan Tok Dukun. Di dalam arena perubatan  tradisional Melayu, keris digunakan  sebagai  alat perantaraan antara Jin dengan Tok Bomoh bagi mengadakan upacara tertentu. Kadang-kala keris  itu di asap dengan kemian terlebih dahulu untuk menyeru Jin yang dihajati. Setelah beberapa ketika datanglah Jin yang di seru itu melalui Tok Bomoh tersebut. Ada sesetengah Tok Bomoh yang mengeletar  tubuh badan mereka apabila dimasuki Jin, namun ada juga yang sampai berguling-guling dan tidak ketinggalan juga yang berkeadaan biasa apabila di masuki  oleh Jin tersebut. Setelah selesai upacara  itu dan Jin tersebut  telah keluar dari tubuh Tok Bomoh, maka keris tersebut akan di kucup, di asap dan disarungkan kembali ke dalam sarungnya.

Biasanya orang-orang  yang terlibat dalam bidang latihan pertahanan diri dan perbomohan gemar menggunakan keris, kerana mereka mempunyai kepercayaan yang kuat kepada kuasa keris tersebut. Sesetengahnya  mendakwa memperolehinya dalam mimpi, apabila bangun dari tidur, didapatinya keris tersebut telah berada di sisinya. Sesetengahnya pula mendapat keris tersebut setelah  sekian lama bertapa di tempat-tempat tertentu. Tidak kurang juga yang memperolehinya dari warisan turun temurun dari datuk nenek mereka, yang kononnya mereka adalah warisnya dengan disyaratkan kepada mereka yang menjaga keris itu, mestilah melakukan  apa jua syarat yang diperlukan sebagai penjaga warisan keris tersebut.
Dengan memiliki keris tersebut, jadilah  ia seorang Tok Bomoh ataupun  pendekar dengan bantuan Jin penjaga keris terebut. Keris itu dihormati sebagai tetamu dan di jaga dengan rapi. Sesetengahnya mengambil  kesempatan pada malam jumaat untuk mengasapkan  keris tersebut dengan kemian dan dimandikan dengan sintuk dan  limau nipis  bagi  menjaga kuasa  yang ada pada keris tersebut  supaya tidak hilang. Selepas  itu keris tersebut di bungkus dengan kain kuning atau hitam, di kucup dan di simpan di tempat yang khas dan selamat.
Ada di antara keris-keris itu  yang berbunyi pada waktu malam atau siang mengikut keadaan dan keperluan. Contohnya bila ada tetamu hendak datang atau bila ada sesuatu bencana yang akan berlaku seperti banjir, musuh akan datang menyerang dan sebagainya. Keadaan berbunyinya berbeza-beza. Ada yang keluar masuk sarung tanpa henti sehingga diberhentikan, ada juga yang berlegar-legar atau bergegar di tempatnya dan macam-macam cara lagi.

Mengikut perkiraan lojik, adakah keris itu mempunyai nyawa untuk berbunyi atau bergerak-gerak ataupun keluar masuk ke dalam sarungnya sendiri ?. Tetapi apa yang sebenar berlaku ialah  bergeraknya keris itu adalah disebabkan oleh Jin penjaga keris itu yang mahu memberitahu sesuatu kepada tuannya. Orang yang sebeginilah yang selalunya di anggap Tok Keramat oleh sesetengah orang.

Sebenarnya bagi orang yang memiliki keris tersebut, Jin penjaga keris itu bukan lagi sebagi khadam kepada keris itu, tetapi sebaliknya sebagai tuan kepada manusia, kerana manusia  ( tuan keris )  itu terpaksa akur dan patuh  kepada segala kehendak  Jin tersebut. Kerana itulah keris tersebut perlu di asap dan dilimaukan sebagai syarat perhubungan mereka. Jika tidak Jin itu akan menggangu tuannya atau  jika tuan keris itu sudah meninggal dunia maka Jin itu akan  menggangu anak-cucunya pula dengan berbagai-bagai kesusahan dan penyakit. Penyakit  itulah yang dinamakan  " saka baka " atau keturunan atau tok nenek. Maka bagi anak cucu yang mahu membela, maka diamlah Jin  tersebut dari menggangu, sementara yang tidak mahu menerima, saka Jin itu akan terus menerus menggangunya.
 
 
 
 



KAUM YANG SESAT LAGI MENYESATKAN

Sabda Rasulullah s.a.w  yang bermaksud :  " Umatku akan berpecah hingga menjadi tujuh puluh tiga ( 73 ) puak, hanya satu puak yang terselamat, manakala yang lain semuanya binasa.  Sewaktu di tanya : "  Siapakah yang terselamat itu ? "  Baginda menjawab " Itulah Ahlus  Sunnah Wal Jamaah "  Di tanya lagi ;  " Apakah Ahlus  Sunnah Wal Jamaah itu ? "  Baginda bersabda ; "  Perjalananku hari ini dan para sahabatku ".

Kita sebagai orang awam tertanya-tanya siapakah  72 puak yang tersesat itu. Adakah kita termasuk di dalam  salah satu puak yang tersesat itu ?. Untuk lebih berwaspada supaya kita tidak termasuk di dalam puak-puak yang tersesat itu, di sini  dibentangkan serba ringkas antara puak-puak yang tersesat tersebut, sepertimana  yang telah dijelaskan oleh  Syeikh Daud Al-Fatani  dalam bukunya  Manhalush Shafi  antaranya :


Puak-puak yang Tersesat dalam Bab Syariat.
Puak-puak yang tersesat dalam bab Syariat ini ialah, golongan yang menambah-nambahkan atau mengurangkan  sesuatu  perkara dalam bab ibadat dan hukum hakam, tanpa mempunyai sandaran dan asal usul yang jelas dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w ataupun dari  perbuatan sahabat-sahabat Nabi yang muktabar, samada perbuatan itu wajib,  haram,  sunat, makruh ataupun harus.  Kemudian perbuatan dan amalan tersebut  diamalkan pada diri, keluarga dan masyarakat. Perkara dan amalan tersebut di kenali dengan Istilah syarak sebagai   Bidaah Dholalah  yang Karohah dan Bidaah Dholalah Yang Haram yang mesti di jauhi  oleh setiap orang Islam.

Puak-Puak yang Teresat dalam Bab Akidah.
Terdapat  72 puak yang tersesat dalam bab Akidah ini, kerana pegangan dan kepercayaan mereka terang-terang bercanggah dengan pegangan Ahlus  Sunnah Wal Jamaah serta apa yang telah di bawa oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Antara kumpulan-kumpulan tersebut ialah :

1.   Kaum Rafidhiyah - 12 puak.
Kesesatan puak-puak ini dalam bab akidah berlaku kerana pegangan dan kepercayaan mereka jelas  bercanggah sama sekali dengan pegangan Ahlus  Sunnah Wal Jamaah walaupun mereka masih mengaku bahawa mereka terdiri daripada orang-orang Islam. Antara pegangan mereka ialah :

i.  Mereka berittikad bahawa Saidina  Ali k.w.h akan turun dari langit pada suatu hari nanti dengan rupa awan ketuhanan lalu berupa dengan seorang manusia, maka beliau akan melakukan beberapa pekerjaan  yang  dibangsakan kepada sifat ketuhanan. Setelah itu beliau akan naik semula ke langit.

ii.  Mereka juga berpegang bahawa Malaikat jibrail telah  tersalah memberi wahyu kepada Nabi Muhammad, sedangkan sebenarnya wahyu tersebut adalah untuk Saidina Ali k.w.h

iii.  Mereka juga percaya bahawa Nabi Muhammad  s.a.w dan Saidina Ali k.w.h  bekerjasama dan bersyarikat dalam melakukan pekerjaan keNabian.

iv.  Mereka juga mendakwa bahawa jawatan khalifah itu hanyalah khusus kepada Saidina Ali k.w.h  sahaja. Oleh itu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Osman sentiasa berada dalam kafir kerana menerima dan menjawat jawatan Khalifah Rasulullah s.a.w. Mereka juga mengkeji dan menyumpah sahabat-sahabat agung Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat lain  yang tidak seketurunan atau sebangsa dengan Saidina Ali k.w.h

v.  Mereka percaya bahawa  apabila telah keluar roh dari seseorang anak Adam ( mati ), maka roh orang yang mati  itu akan masuk pula ke dalam jasad orang lain dengan nama  dan rupa yang lain  atau serupa.

vi.  Mereka juga mendakwa bahawa Saidina Ali k.w.h  juga  akan kembali hidup semula  di akhir zaman sebelum berlakunya hari Kiamat. Beliau akan datang dan menghukum  semua musuh-musuhnya, tempat beliau sekarang ialah di awan. Bunyi guruh dan kilat  itu adalah suara cemeti Saidina Ali k.w.h.

vii.  Mereka percaya bahawa  kadang-kadang zat Allah akan zahir   dalam rupa bentuk manusia, maka ketika itu dinamakan zat tersebut sebagai Nabi atau Imam, lalu mengajak manusia kepada agama Islam yang lurus. Jika zat  Allah tidak  zahir secara demikian sudah tentulah semua manusia akan tersesat. Mereka juga percaya bahawa zat Allah itu boleh menjelma dan masuk  kedalam sesuatu lalu sebati dengan benda tersebut.


2.  Kaum Jabariah  -  12 Puak.
Puak-puak Jabariah ini juga terkeluar daripada Ahlus  Sunnah Wal Jamaah. Antara ittikad dan pegangan puak-puak ini, antaranya ialah :

i.  Keimanan, ketaatan dan kekufuran  serta maksiat adalah semata-mata daripada Allah. Manusia tidak mempunyai daya upaya dan ikhtiar apa-apa kerana semuanya telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu Semua hamba Allah ( manusia )  digugurkan daripada taklif syarak. ( kewajipan  bagi melaksanakan sesuatu perintah Allah )
ii.  Mereka juga mendakwa dan percaya setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh manusia tidak akan mendapat sesuatu kebajikan   dan pahala, begitu juga perbuatan jahat  dan maksiat yang  dilakukan  oleh manusia, juga tidak mendatangkan apa-apa  dosa dan tidak akan mendapat apa-apa siksaan di Akhirat kelak.
iii.  Bertafakkur ( bermeditasi )  itu adalah lebih baik  daripada segala  ibadat samada ibadat yang fardhu atau sunat.
iv.  Sesiapa yang menjadi kekasih Allah dan bersih jiwanya daripada  segala hawa nafsu yang jahat serta beliau  mempunyai ilmu yang tinggi, maka pada ketika itu beliau tidak perlu lagi melakukan apa-apa amal ibadat.
v.  Orang-orang kafir dan orang-orang yang sentiasa melakukan maksiat  tidak akan di tanya  serta di soal di hari Akhirat kelak , kerana  segala perbuatan mereka itu adalah  atas kehendak Allah.
vi.  Bahawa Allah tidak akan menyeksa hamba-hambanya, kerana jika Allah menyeksa hamba-hambanya  juga, maka Allah itu adalah zalim, sedangkan Allah bersifat maha Adil.
vii.  Allah akan menghidupkan orang-orang yang kafir dan yang melakukan maksiat di dalam neraka, selepas itu Allah akan mematikan mereka dan tidak akan dihidupkan lagi buat selama-lamanya.
viii.  Apabila Allah telah selesai menjadikan  segala mahkluknya  maka Allah akan beristirehat, maka tiap-tiap perkara itu akan zahir dan wujud dengan sendirinya bila tiba waktu dan masa yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak ada kena mengena dengan  kudrat dan iradat Allah lagi.
ix.  Semua harta di dunia ini adalah kepunyaan bersama semua manusia dan halal bagi sesiapa mengambilnya (mencurinya ) dan tuannya yang sah tidak berhak mencegah orang lain daripada mengambil harta benda mereka.
x.  Apabila seseorang itu terasa hendak melakukan sesuatu samada  perkara-perkara kebajikan ataupun perkara yang jahat dan maksiat, maka  hendaklah beliau segera melakukan perbuatan tersebut, kerana ianya  merupakan wahyu daripada Allah yang telah dicampakkan ke dalam hatinya oleh Allah.
xi.  Semua kewajipan dan kefardhuan yang diwajibkan oleh Allah itu  boleh dilaksanakan jika seseorang itu rajin dan boleh juga ditinggalkan jika seseorang itu merasa malas.
xii.  Segala perintah Allah itu perlu dilakukan sekali sahaja dan tidak payah lagi di ulang-ulang
xiii.  Untuk menjadi seorang muslim hanya memadai dengan mengucap dua khalimah syahadat dan tidak perlu melakukan kewajipan-kewajipan yang lain.


3.  Kaum Kharijiah. -  12  Puak.
Antara fahaman dan pegangan puak-puak Kharijiah  yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, antaranya ialah :

i.  Bahawa yang menjadikan kebaikan itu adalah Allah dan yang menyebabkan kejahatan itu adalah daripada usaha dan ikhtiar manusia  sendiri. Mereka juga menghukum kafir ke atas orang-orang Islam yang melakukan dosa-dosa besar.
ii.  Bahawa Zakat itu tidak diwajibkan  ke atas umat Islam, oleh itu mereka boleh menghimpunkan harta sebanyak  mana yang mereka sukai walau dengan apa cara sekalipun. Zakat juga tidak harus diberikan kepada sesiapa pun kerana kita tidak tahu adakah mereka itu Islam ataupun kafir.
iii.  Bahawa Allah akan menghimpunkan  semua dosa-dosa Syirik Jali dan tidak perlu mengucap dua khalimah syahadah  untuk kembali kepada Islam.
iv.  Tidak wajib berimam  dengan perkara-perkara yang Ghaib seperti malaikat,  dosa dan pahala, hari khiamat dan sebagainya.
v.  Allah tidak akan menghukum mahkluknya dengan sesuatu hukuman.
vi.  Matahari, bulan, bintang dan cakrawala di angkasa bukan sebahagian daripada mahkluk Allah.
vii.  Semua orang perempuan itu  merupakan perhiasan kepada orang lelaki, oleh itu  boleh melakukan persetubuhan  sebelum berkahwin dengan mana-mana perempuan yang disukainya.
viii.  Saidina Ali k.w.h itu merupakan seorang kafir dan hanya Saidina Umar dan Abu Bakar sahaja yang Islam.


4.   Kaum Qadariah.   -   12 Puak.

Antara pegangan dan pegangan Ittikad mereka yang menyeleweng ialah ;
i.  Segala usaha dan ikhtiar, cita-cita dan doa-doa manusia  akan memberi kesan  dengan sendirinya, setelah Allah  selesai  menciptakan ikhtiar, usaha,  cita-cita dan rangkaian doa  kepada manuisa.
ii.  Syaitan itu serupa dengan Allah   kerana syaitan juga  tidak mempunyai tubuh dan rupa yang nyata ( tidak boleh di lihat dengan mata kasar )  seperti Allah.
iii.  Yang menjadikan sesuatu kejahatan itu adalah Syaitan semata-mata dan yang menjadikan kebaikan itu hanyalah Allah semata-mata.
iv.  Sesuatu Qada dan Qadar itu bukanlah daripada Allah, tetapi datangnya daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri.
v.  Beramal  dan melakukan ibadat itu adalah merupakan perbuatan yang sia-sia sahaja, kerana   setiap yang baik dan jahat itu telah ditetapkan oleh Allah sejak dari azali lagi.
vi.  Syurga, Neraka, Hisab dan  Mizan  tidak wujud  lagi sekarang kerana belum dijadikan oleh Allah lagi, sehingga apabila telah tiba hari Khiamat.
vii.  Bahawa segala amal ibadat itu, adalah berpunca  dari usaha manusia semata-mata dan tidak diketahui lagi  samada akan beroleh  pahala atau  dosa,  jika mereka meninggalkan atau melakukannya.
viii.  Bahawa Allah tidak menciptakan Syaitan kerana  jika Allah mencipta syaitan, maka Allah juga telah menciptakan  kekufuran, maka dengan itu menunjjukan bahawa Allah  juga  suka kepada kekufuran.
ix.   Puak-puak ini benci kepada ibadat-ibadat yang fardhu dan suka kepada ibadat-ibadat yang sunat dan sembahyang  yang empat rakaat juga telah mereka jadikan dua rakaat sahaja.
x.  Semua kitab Allah yang diturunkan  dari langit  tidak di mansukh ( batal )  dengan turunnya kitab Al-Quran, dengan itu wajib beramal dengan semua isi kandungan kitab-kitab tersebut.


5.  Kaum Jahmiah   -   12 Puak.

Antara kepercayaan dan  pegangan akidah golongan ini ialah :
i.  Asma-asma Allah  dan sifat-sifat Allah itu adalah merupakan mahkluk.
ii.  Zat Allah itu wujud pada setiap tempat atas rupa hulu dan ittihad.
iii.  Orang Islam yang durhaka  apabila dimasukkan ke dalam neraka, akan kekal selama-lamanya di dalam neraka.
iv.  Apabila segala isi neraka itu menjadi abu, mereka tidak akan dihidupkan semula.
v.  Mayat orang mati tidak  merasai azab dan siksaan  atau nikmat kecuali ketika  sakaratul maut dan di dalam kubur sahaja.
vi.  Bahawa zat-zat Allah  itu berdiri di antara langit dan bumi.
vii.  Bahawa Nabi Muhammad  hanya dapat melihat  Allah di dalam  dunia sahaja dan  manusia yang lain pula  hanya dapat melihat Allah  di Akhirat sahaja.


6.  Kaum  Murjiah    -    12  Puak.

Antara Ittikad mereka yang menyeleweng dan sesat ialah ;
i.  Selepas seseorang itu telah membicarakan  rukun Iman maka ia tidak lagi difardhukan apa-apa.
ii.  Bahawa Allahlah yang menjadikan semua  mahkluknya tetapi Allah tidak pula  menyuruh  manusia melakukan kejahatan dan tidak pula melarang manusia daripada meninggalkanya.
iii.  Sesiapa yang mengucap LailahaillAllah, maka ia telah bebas  samada untuk  melakukan  ketaatan kepada Allah atau melakukan kejahatan.
iv.  Barang siapa yang mengesakan zat Allah, Sifat-sifat Allah dan segala perbuatan Allah maka  mereka tidak akan  di catatkan apa-apa dosa besar yang telah mereka lakukan.
v.  Bahawa Allah itu adalah terdiri daripada Jauhar dan ‘aradh
  (sel atau nukleus )
vi.  Iman seseorang itu   akan berkurang pada tiap-tiap tahun  dan tidak akan bertambah lagi.
vii.  Sah  sujud kepada matahari, bulan dan bintang atau mahkluk lain sama seperti sujud kepada Allah
viii.  Iman itu adalah ilmu, maka sesiapa yang tidak berilmu, maka ia telah menjadi kafir.
ix.  Seseorang manusia boleh menjadi mukmin  pada ketika yang di kehendaki oleh Allah dan manusia juga boleh menjadi kafir jika di kehendaki oleh Allah dalam sesuatu masa.
x.  Allah tidak bersifat dengan segala sifat Ujudiah.
xi.  Boleh dan sah mengikut perintah atau arahan daripada Syaitan atau jin, samada jin Islam atau kafir, walaupun perintah  bagi melakukan perkara kejahatan dan maksiat.


Puak-Puak yang Tersesat dalam Bab Sufi.
Kumpulan-kumpulan yang tersesat dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya dalam  bab Sufi pula terdiri daripada 13 puak yang besar antaranya :

1.  Kaum Marjiah.
Kepercayaan yang menjadi Ittikad dan pegangan  kaum ini  ialah  apabila mereka beramal dan telah sampai ke tahap mereka telah menjadi kekasih Allah, iaitu apabila mereka telah sampai ketahap  tiada lagi benda lain yang mereka kasihi selain daripada  Allah, maka pada tahap ini  semua kewajipan syarak  dan ibadat ke atas mereka  telah digugurkan oleh Allah. Dalam keadaan ini segala yang haram telah menjadi halal bagi mereka. Segala kewajipan yang difardhukan seperti Solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya  boleh di buat dan boleh juga di tinggalkan mengikut sesuka hati mereka.

Kumpulan ini, sesetengahnya  sangat suka bertelanjang dan tidak menutup aurat. Pada pegangan mereka semua harta di dunia ini adalah kepunyaan datuk mereka, iaitu Nabi Adam, jadi mereka sebagai cucu-cicit keturunan Nabi Adam, maka semua harta tersebut adalah halal bagi mereka mengambil dan menggunakanya  walaupun tanpa kebenaran dan meminta izin dari tuannya yang sah terlebih dahulu.

2.  Kaum Auliya’iyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak Auliya’iyah ini ialah apabila mereka telah sampai ke tahap dan martabat wali, maka terangkatlah  semua kewajipan syarak keatas mereka. Pada tahap ini, apa yang menjadi kewajipan keatas diri mereka sebagai hamba Allah seperti  Solat, puasa dan sebagainya  tidak perlu lagi ditunaikan manakala apa-apa yang telah diharamkan oleh Allah keatas manusia telah menjadi halal bagi mereka, seperti berzina, mencuri dan sebagainya. Martabat mereka sebagai wali pula adalah lebih besar dan mulia daripada martabat Nabi.

3.  Kaum Syamrakhiyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah apabila sampai ke tahap-tahap tertentu, maka Allah telah menghalalkan bagi mereka perbuatan zina dan sebagainya dan mereka pula akan berpura-pura warak apabila berada di khayalak ramai.

4.  Kaum Ibahiyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak Ibahiyah ini ialah  mereka tidak sanggup menahan diri mereka daripada melakukan  perkara-perkara mungkar yang di larang oleh Allah dan mereka juga tidak sanggup  menyuruh manusia lain supaya melakukan kebaikan dan mereka juga menghalalkan zina  kepada ahli kumpulan mereka.

5.  Kaum Haliayah.
Ittikad dan pegangan puak-puak ini, mereka boleh melakukan perkara-perkara mungkar  asalkan mereka boleh mendekatkan diri kepada Allah. Contohnya  dalam melakukan zikir, mereka akan menari-nari dan bertepuk tangan sambil berzikir. Ada yang pengsan dan mereka sandarkan semua perbuatan buruk mereka itu kepada Sunnah Rasulullah s.a.w  yang perlu di ikuti oleh semua manusia lain.

6.  Kaum Huriyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak Huriyah ini adalah lebih kurang dengan pegangan puak-puak Haliyah. Cuma apabila mereka pengsan itu, mereka berkata : "  datanglah kepada kami bidadari, maka kami setubuhi ia "  Apabila sedar dari pengsan mereka  akan pergi mandi junub.

7.  Kaum Waqi’iyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah dan segala sifat-sifatNya, AsmaNya  dan segala Perbuatan Allah tidak boleh di kenali. Hamba sama sekali tidak akan sampai kepada  Makrifatullah.

8.  Kaum Mutajalihiyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak ini, bahawa mereka tidak boleh memakai pakaian yang baru dan bersih. Mereka juga  suka melakukan perbuatan-perbuatan jahat dan suka kepada perempuan dan suka melakukan zina.

9.  Kaum Mutakasiliyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak  ini ialah mereka tidak suka  berusaha dan berikhtiar bagi mendapatkan makanan dan rezeki dari Allah. Mereka juga  meminta-minta sesuatu daripada orang ramai dan memaksa orang ramai supaya memberi harta zakat dan sedekah kepada mereka.

10.  Kaum Ilhamiyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak ilhamiyah ini ialah mereka mendakwa bahawa mereka selalu  mendapat  ilham ketuhanan. Mereka juga  meninggalkan daripada mempelajari serta membaca Al-Quran, meninggalkan zikir  dan segala selawat,  kerana  dakwa mereka bahawa Al-Quran itu menjadi pendinding  untuk mereka sampai kepada makrifatullah. Dengan itu mereka lebih suka menghafaz serta mempelajari bait-bait syair dan sebagainya.

11.  Kaum Hululiyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah menjelma dalam  diri manusia dan dalam benda-benda lain di alam ini. Mereka juga mengharuskan ahli kumpulan mereka  memandang kepada perempuan-perempuan yang elok dan cantik serta  memandang  kepada lelaki yang cantik paras rupa kerana pada pandangan mereka  di situ terdapat  Tajalli ( kebenaran yang  diperlihatkan Allah ) ketuhanan. Mereka juga suka bersuluk  ( mengasingkan diri untuk bertafakur ), melakukan zikir  dengan bercampur antara lelaki dan perempuan sambil  memeluk  dan mencium  wajah-wajah yang cantik, kerana  pada wajah tersebut terdapat  bekas  Tajalli  ketuhanan. Jika mereka mendapat anak dalam majlis tersebut, maka anak itu adalah anak  daripada  Tajalli ketuhanan. Mereka juga boleh  melakukan semua amalan dan amal ibadat hanya dengan menggunakan niat sahaja.

12.  Kaum Wujudiyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak  Wujudiyah ini, sebenarnya  adalah terdiri  yang mulhid dan zindik  semata-mata. ( Orang yang imannya telah terpesong dan tidak lagi percaya kepada agama  Allah yang sebenarnya ). Mereka mendakwa bahawa diri mereka dan zat Allah  adalah sama. Kewujudan Allah itu pula  adalah bertempat dan mempunyai masa-masa tertentu serta kewujudan Allah boleh di lihat dengan mata kasar manusia. Mereka hanya membahaskan   tentang kewujudan zat-zat Allah mengikut khayalan pemikiran mereka semata-mata sahaja.

13.   Kaum Mujassimah.
Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah itu adalah berjisim dan berbentuk seperti mana manusia, iaitu boleh di rasa,  boleh di lihat dan boleh di pegang.
Kesimpulannya segala pegangan dan akidah serta Itikad  dan pahaman puak-puak yang telah dinyatakan serba ringkas di atas adalah terang-terang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya, walaupun mereka masih mendakwa bahawa mereka adalah sebahagian daripada umat Islam. Sebenarnya puak-puak inilah yang telah merosakkan kesucian agama Islam. Mereka bukan sahaja sesat, malah telah menyesatkan orang-orang jahil yang lain,  yang mengikut ajaran dan kumpulan mereka dengan tujuan untuk mendalami ajaran Islam. Pengikut-pengikut itu juga tersesat dan menjadi kafir bersama tok-tok guru yang mengembang dan mempertahan ajaran dan pegangan kumpulan tersebut. Mereka semua akan di humbankan ke dalam neraka oleh Allah di hari Akhirat kelak.

Sebagai seorang Islam yang cintakan kepada ajaran dan kesucian agama Islam, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada semua pertubuhan dan kumpulan yang sesat tersebut dan mengikuti ahli dan kumpulah Ahlus  Sunnah Wal Jamaah sahaja. Mungkin segala ajaran dan fahaman yang di pegang oleh kumpulan dan puak-puak tersebut adalah datangnya daripada ajaran dan bisikan puak-puak jin dan Syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar dan di redai oleh Allah. Semoga Allah melindungi kita semua daripada terjerumus ke dalam perangkap puak-puak tersebut.


Antara Perkara-perkara  Yang Menyebabkan Dosa-dosa Besar
1.  Syirik jali, kufur dan murtad
2.  Membunuh seseorang  tanpa sebab yang sebenar ( tanpa hak ) dengan tiada sumber atau syubhat amal
3.  Zina
4.  Liwat
5.  Merogol binatang
6.  Meminum minuman yang memabukkan.
7.  Mencuri dengan kadar yang membolehkan dijatuhkan hukuman potong tangan.
8.  Menuduh seseorang yang baik berzina
9.  Menjadi saksi  dusta
10.  Merampas harta orang lain dengan tiada sebab yang membenarkanya berbuat demikian.
11.  Lari daripada medan peperangan jihad kerana menegakkan agama Allah, maruah diri, maruah bangsa dan harta ( negara )
12.  Makan riba
13.  Memakan harta anak-anak yatim walau dengan apa cara sekalipun  dengan tidak sebenar.
14.  Mendurhaka kepada kedua orang tua.
15.  Mendusta ke atas  Rasulullah s.a.w
16.  Menyembunyikan diri daripada menjadi saksi tanpa apa-apa keuzuran, sedangkan ia patut hadir untuk memberi keterangan.
17.  Berbuka puasa  dengan sengaja, tanpa apa-apa keuzuran
18.  Bersumpah dusta.
19.  Mendahulukan solat fardhu sebelum masuk waktunya atau melakukan solat fardhu selepas luput waktunya dengan sengaja tanpa apa-apa keuzuran syarie.
20.  Memutuskan hubungan kekeluargaan dan silatulrahim dengan jiran dan kaum kerabat tanpa sebab-sebab yang di benarkan oleh syarak.
21.  Menipu dalam sukatan timbangan barang, samada mengurang atau melebihkannya.
22.   Sengaja meninggalkan solat fardhu tanpa apa-apa keuzuran syarie.
23.  Menjatuhkan maruah seseorang Islam  yang lain tanpa alasan yang  di benarkan oleh syarak.
24.  Menyumpah dan mengeji sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.
25.  Memberi dan menerima rasuah
26.  Menegah lelaki yang halal daripada  masuk ketempat tidur isterinya atau gundiknya.
27.  Bergaul bebas antara lelaki dan perempuan yang halal nikah dalam suatu majlis yang di tegah oleh syarak.
28.  Mengadu kepada pemerintah atau pihak yang berkuasa supaya mengambil tindakan kepada seseorang tanpa alasan yang sebenarnya.
29.  Enggan mengeluarkan zakat
30.  Melupakan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang telah di hafalnya
31.  Membakar haiwan walaupun yang telah mati.
32.  Mengamalkan ilmu sihir dan segala bentuk  atau kaedah  yang bersangkutan dengan khadam bersyarat serta mengajarkanya kepada orang lain.
33.  Meninggalkan daripada menyuruh manusia supaya melakukan kebaikan dan  tidak mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Padahal ia berkemampuan melakukan  perkara tersebut.
34.  Isteri enggan melayani  suaminya tanpa alasan yang munasabah atau isteri menderhaka kepada suaminya tanpa alasan yang  dibenarkan oleh syarak.
35.  Putus asa dengan rahmat Allah
36.  Tidak menghiraukan dengan kemurkaan Allah dengan sentiasa melakukan maksiat   dan tidak pernah mengharapkan keampunan daripada Allah.
37.  Zihar, iaitu menyerupakan isterinya dengan ibunya sendiri  dari segi fizikal.
38.  Memakan makanan dan minuman yang diharamkan tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak.
39.  Memakan bangkai tanpa ada keuzuran syarak
40.  Namimah, iaitu memperlaga-lagakan kedua-dua belah pihak supaya bergaduh.
41.  Mengumpat ke atas ahli-ahli ilmu yang beramal dengan ilmunya dan menghafaz Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w


PENUTUP
Kalimah Tayibah ( Shahadataini )
Setiap Muslim wajib memastikan  bahawa diri mereka  sentiasa berada dalam ketauhidan dan keimanan kepada Allah dengan melakukan setiap perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Orang muslim juga  wajib menjaga, mengawal, memelihara kalimah Shahadah  ini supaya  tidak tercabut  daripada dirinya  atas nama Murtad, atas nama Fasik,  atas nama Jatuh Pangkat ( tidak  berakhlak ) dan sebagainya.  Kalimah shahadah seseorang itu juga boleh gugur jika mereka tidak berhati-hati dalam melakukan tindakan dan perbuatan seharian.
Kewajipan mengucap  dua khalimah shahadah  selain daripada dalam solat samada solat fardhu atau solat sunat , merupakan suatu kewajipan, apabila ;

i. Sampai umur taklif syarak bagi lelaki dan perempuan  Islam.
ii. Orang kafir yang ingin memeluk Islam
iii. Orang murtad yang ingin kembali kepada agama Islam
Manakala sunat pula  mengucap dua khalimah shahadah  bagi golongan-golongan ini, iaitu :-
i. Apabila seseorang itu telah sedar daripada pitam
ii. Apabila seseorang itu telah siuman daripada gila
iii. Apabila seseorang yang baru sedar daripada mabuk
iv. Sebelum seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan yang baik.


Antara tujuan  mengucap dua khalimah shahadah ini diucapkan adalah untuk  memastikan diri seseorang muslim sentiasa kekal dalam tauhid kepada Allah samada  Tauhid Asma, Tauhid sifat,  dan  Tauhid zat. Iaitu mengeluarkan diri seseorang daripada  syirik Uluhiyyah  dan  Syirik Rububiyyah,  melatih diri supaya  sentiasa berpegang, bergantung dan berharap atas keagungan  dan kebesaran Allah di semua tempat, kelakuan  dan masa melalui lidah, perbuatan dan hati  dan sejauh mana tahap yakin dan keiklasan  diri berada  dalam tauhid  kepada Allah. Pada tahap inilah  berkat dan  kelebihan  Allah  dizahirkan  pada diri seseorang muslim bersesuaian dengan apa yang telah tersirat dalam  surah  Ikhlas, iaitu :

1) Setiap Muslim wajib berittikad  bahawa zat Allah  bersifat dengan sifat  Wahdaniat,  iaitu  Allah  itu Maha Esa  pada perbuatan, SifatNya dan pada ZatNya. Maka dengan sifat Wahdaniat  itu, maka tertolaklah  Kam  yang lima dalam bab  Usuuluddin   pada membicarakan Wahdaniat., iaitu :-
a) Kam Munfasil pada zat, iaitu zat Allah tidak terdiri  daripada unsur-unsur tulang, daging,  darah dan sebagainya, sebagaimana manusia.
b) Kam Muttasil pada zat, iaitu  tiada zat yang lain yang menyamai zat Allah.
c) Kam Mufassil pada sifat, iaitu Allah bukan terdiri  daripada  dua benda yang sejenis denganNya.
d) Kam Muttasil pada sifat, iaitu tiada  sifat lain  yang menyamai sifat Allah
e) Kam Muttasil pada perbuatan, iaitu tiada perbuatan  lain yang menyamai  dengan perbuatan Allah.


2)  Setiap muslim  wajib berittikad bahawa zat Allah  bersifat dengan semua sifat  kesempurnaan. Contohnya zat Allah itu bersifat  Wujud, Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama’, Basar, Kalam, Kaunuhu Qadirun, Kaunuhu, Muridan, Kaunuhu Aliman, Kaunuhu Hayyan, Kaunuhu  Samian, Kaunuhu Basiran dan Kaunuhu Mutakaliman.


3)  Setiap muslim  wajib berittikad bahawa zat Allah  bersifat Qidam dan Baqa.
4)  Berittikad bahawa Zat Allah  bersifat dengan sifat Qiyamuhu Binafsihi

5)  Wajib berittikad bahawa zat Allah  itu bersifat Mukhalafatuhu Taala Lil Hawadist.

6)  Harus bagi Allah mengadakan sesuatu  atau mentiadakan sesuatu.

7)  Setiap orang muslim wajib berittikad bahawa Nabi Muhammad s.a.w dan sekelian Nabi-Nabi serta Rasul  yang diutuskan  oleh Allah  itu adalah bersifat dengan sifat.

i.  Siddiq
ii.  Tabligh
iii.  Amanah
iv.  Fatonah.

8)  Harus bagi para Rasul  itu bersifat dan berperangai  seperti manusia biasa sekadar tidak mencacatkan  pangkat  kebesaran dan kemuliaan diri mereka di sisi Allah

9)  Beriman dengan Allah  dan beriman kepada Qada dan Qadar  adalah termasuk dalam Kalimah  La ilahaillalah
 .
10)  Beriman dengan Malaikat, beriman dengan, Rasul, beriman dengan Kitab, beriman dengan Hari Akhirat termasuk dalam kalimah Muhammadur Rasulullah.

Kesimpulannya kita sebagai  seorang muslim yang mencintai agama Islam sebagai agam yang dapat menyelamatkan kehidupan kita, samada di dunia maupun di akhirat mestilah memastikan bahawa agama dan akidah kita tidak akan  terpesong daripada akidah Islam yang sebenarnya. Sebagaimana yang telah di bawa oleh  Nabi Muhammad s.aw,  sahabat-sahabat baginda dan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah..